Babak demi babak 1917


Johan Radzi

SEPARA Heart of Darkness, separa Hikayat Marathon, 1917 adalah kisah perlumbaan melawan waktu sepasang lans korperal Inggeris berlatarkan Perang Dunia Pertama.  

Sekiranya Pheidippides berlari merentasi gurun antara Marathon dan Athens untuk menyampaikan perkhabaran gembira, kita pula diberikan seorang utusan yang membawa berita gelap. Atau amaran – suatu muslihat licik sedang direncanakan Angkatan Bersenjata Jerman di Perancis Utara. 

Unit peninjau aerial telah mengesahkan bahawa  pengunduran seteru yang berlaku secara tiba-tiba hanyalah satu umpan untuk mendorong seangkatan tentera British memasuki jerangkap samar dan dibantai beramai-ramai di hadapan Baris Hindenburg. Maka tugas memaklumkan Rejimen Devonshire itu pun jatuh ke atas pundak dua lans koperal ini, salah seorangnya memiliki abang kandung yang turut bertempur di sana sebagai seorang leftenan. 

Mereka hanya punyai satu hari satu malam untuk menyelesaikan. Arahan Jeneral Erinmore jelas: patahkan serangan pasca subuh.

Syahdan, perjalanan itu bukanlah satu perjalanan iseng. Untuk sampai ke kem rejimen tersebut, dua lans korperal ini terpaksa melewati sebidang tanah bebas, parit musuh yang terbengkalai, sepotong ladang, hutan-hutan, dan sebuah pekan yang hampir binasa dek ledakan bom dan mesingan. Ini bukanlah satu penempuhan  berjarak jasmani, tetapi juga bersifat rohani. 

Jiwa Eropah sedang sakit. Kedua pemuda ini bergegas dan menyaksikan segala-galanya yang membuat kita fikir bahawa benua yang pernah hebat ini sedang terjerumus ke kancah rancu. 

Ternyata kita tidak silap. Ada sesuatu yang bernada Conradian di sini: jika Charles Marlow menyusuri Sungai Kongo di benua Afrika untuk menyaksikan kebobrokan Kolonialisme Inggeris ke atas warga pribumi, maka 1917 adalah kebobrokan rentetan nafsu nasionalisme dan xenophobia, dipacu oleh kemajuan sains dan teknologi. Akibatnya, Eropah dikirim ke zaman batu.

Filem dibuka dengan  dua lans koperal ini beristirehat di sebuah padang yang jauh daripada medan tempur. Rerumput hijau mengelus. Teduhan pokok merimbun. Bayu mendayu-dayu meniup kepala. 

Lima belas minit kemudian, mereka merentasi sepotong tanah yang gersang, mayat-mayat bergelimpangan, lopak air busuk, meriam-meriam peninggalan, lalat-lalat, bangkai kuda, dan tikus-tikus gergasi. 

Kita tahu apabila mereka terjun masuk ke parit Jerman ini, segala yang asing pun datang menyergah – poster-poster tulisan Jerman menghiasi dinding. Bahaya boleh datang daripada pelbagai sudut, dengan pelbagai cara. Sepatutnya mereka membesar di England dan lulus pengajian dan bernikah dengan wanita pilihan dan… tetapi sekarang mereka dikirim ke sini. 

Peperangan memang tak pernah memilih kasih antara yang muda atau yang tua, yang suci atau yang berdosa.

Pada babak pertama dan kedua, haiwan tikus disandang peran yang agak lumayan. Di parit Inggeris dan Jerman kita melihat tikus-tikus ini berkeliaran. “Tikus mereka pun lebih besar di sini!” si Blake terkejut ketika matanya terpaku pada mamalia yang sedang bercericip di loteng. 

Bahkan dalam sebuah kisah jenaka yang diperikan kepada sahabatnya itu, watak utamanya juga adalah tikus. Telinga kawannya yang lain telah dimamah tikus kerana menghidup wangian minyak rambutnya – seperti suatu isyarat maut yang datang mendekat.

Apa lagi yang boleh mengingatkan kita kepada suatu malapetaka ngeri yang pernah memecah di Eropah, seperti tikus-tikus? 

Maut Hitam yang pernah menular di seantero benua itu telah mengunyah 200 juta nyawa dari 1347 sehingga 1351. Para sejarawan masih berdebat sama ada wabak tersebut telah memamah sama ada 30% atau 60% daripada keseluruhan warga Eropah. Itu statistik. 

Yang nyata, sudah tentu, ia meninggalkan suatu jejak yang tak terpadamkan di dalam susur galur peradaban manusia. Berbagai rentetan politik, agama, sosial, dan ekonomi bermuasal daripada kematian-kematian yang menakutkan ini. 

Pun begitu, manusia tak pernah belajar daripada sejarah. Dan mereka yang ingkar akan dilaknat untuk mengulanginya.

Babak ketiga adalah babak penuh sinematik. Menyusup di antara puing-puing pekan Écoust-Saint-Mein, wira kita menghendap di antara bayang-bayang. Tiada lampu yang menyala di sini, atau obor yang menerangi setiap jalan. Malam sudah pun melabuhkan tirainya. Tak berapa jauh, sesebuah dua butir bom meletus, menumpahkan cahayanya kepada pekan yang suram ini. 

Antara udara gelap dan biasan suar, gereja yang terbakar, dan muncung senapang yang muncul dari jendela, wira kita mempercepatkan langkahnya. Pekan ini tampil musnah, sekaligus indah, berkat pinjaman cahaya yang memancar daripada pertempuran yang berlaku entah mana. 

Pengembaraan lans koperal itu di pekan Ecoust menjadi semacam suatu hidangan yang mengenyangkan selera visual. Penonton melihatnya seperti suatu mimpi yang jauh, separa khayali. Bergentayangan di jagat separa sedar… 

Estetika seratus peratus yang mungkin susah terjadi jika bukan hasil tangan Sam Mendes sendiri selaku sutradara.

Di salah sebuah rumah sini sang wira terserempak dengan seorang wanita muda perancis yang sedang menjaga bayinya. Seorang anak yang lahir di detik huru-hara (kita pun tertanya, siapa bapak bayi di dalam kamar ini?). Lantas kita pun teringat kepada arketaip Sang Ibu: yang merawati, menjaga, mengasihani, dan melindungi. 

Segala kekasaran perang dan kebrutalan hidup terasa begitu asing di hadapan perempuan ini. Adakah beliau Ibu Maryam yang kudus itu? 

Antara dentuman bom dan lolongan tentera, wanita ini mengendong anaknya – atau anak sesiapa - meskipun dia sendiri tidak tahu nasib yang bakal dihadapi esok. 

Sosok wanita ini semacam suatu penegasan, apalagi ketika difikirkan bahawa beliaulah satu-satunya watak perempuan yang muncul sepanjang syot filem yang berdurasi dua jam ini. 

Bukankah segala kegilaan, kepincangan, dan kebinasaan yang terjadi di dalam sejarah kita merupakan angkara lelaki-lelaki yang ingin menakluki segalanya? 

Di hujung penaksiran, adakah semua ini berbaloi? 

Ketika amanat markas tentera akhirnya berjaya disampaikan kepada Kolonel Mackenzie yang gian bertempur, semua mata tertumpu kepada anak muda yang letih ini. 

Sang Wira tak tidur semalaman. Kepenatan mengharungi jalan-jalan yang berbahaya itu masih tak tertanggal dari jasadnya. Si kepala divisyen pun mengeluarkan titah: hentikan serangan. Dan nafas lega dihembuskan. 1600 jiwa berjaya diselamatkan pada hari itu. Tetapi ada yang belum selesai. 

Wira kita didekati, dan dengan nada tak acuh si kolonel mengujar: “Besok, lusa, mereka pasti akan mengirim pesan baru lagi: serang waktu subuh…” 

Kita sudah pun mengecapi maksudnya. Seolah-olah tetiap rintangan yang dilanggari si lans corporal tadi hanyalah satu “tugas”, tidak lebih daripada itu. Kita sedang berperang, nak. Kau tidak lebih istimewa daripada kawan-kawanmu yang sedang mengacu senapang ke sebelah sana.

Seperti Charles Marlow yang akhirnya temui Encik Kurtz di hujung perjalanan, begitu juga dengan Scho ketika beliau bersua dengan Leftenan Blake, abang temannya itu. Ketegangan jadi terlerai. Si pegawai muda yang keletihan itu menahan sebaknya. Tangan yang menadahkan cincin dan rantai adiknya itu lambat  digenggam. Mungkin dia sendiri tak berkuasa untuk menelan hakikat yang pahit seperti itu. Anggota keluarganya sendiri gugur sebagai bunga bangsa di tanah yang asing kepadanya.

Adakah peperangan harus selamanya heroik? Kita sering mendengar kisah-kisah kehebatan panglima di medan tempur, atau perajurit yang perkasa memenggal musuh-musuhnya dengan senapang dan pedang. 

Ketika pulang mereka disambut seperti pahlawan-pahlawan yang terbilang di padang pemahsyuran. Tugu demi tugu pun dibangunkan di serata kota demi memperingati aksi-aksi mereka. Tetapi bagaimana pula dengan mereka yang tak sempat dibawa pulang – yang terkorban di parit, di medan, di pekan, di tebing sungai atau pesisir pantai; siapa yang akan bernyanyi untuk mereka? 

Siapa dapat mengisi lompong yang ternganga di hati ahli-ahli keluarga yang setia menunggu? 

Seperti jenaka Leftenan Leslie menemani kedua pemuda ini sebelum berangkat, “tutup mulut! Kami bertempur dan terkorban demi setiap inci ranah yang celaka ini, sekarang tiba-tiba mereka berikan kita satu batu. Dah tentu ia perangkap. 

“Tapi tak usah khuatir. Kalian pasti akan meraih pingat, semestinya. Tiada apa-apa yang dapat mendamaikan seorang balu yang berduka seperti seutas riben yang hodoh.” – 27 Januari, 2020. 

* Johan Radzi ialah seorang pengamal undang-undang yang berpangkalan di Shah Alam, Selangor DE.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen