Pendidikan sudah jadi isu politik, kata Dr Mahathir


Noor Azam Shairi

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata usaha perpaduan terhalang kerana pendidikan dipolemikkan sehingga jadi pertembungan politik yang merugikan semua pihak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Januari, 2020.

PERDANA Menteri Dr Mahathir Mohamad masih percaya sekolah wawasan adalah penyelesaian kepada usaha menjadikan sekolah sebagai tempat menyemai perpaduan antara kaum dalam kalangan rakyat sejak usia muda.

Namun usaha itu terhalang kerana pendidikan di Malaysia sudah tidak lagi dibincangkan sebagai isu pendidikan sebaliknya dipolemikkan sehingga jadi pertembungan politik yang merugikan semua pihak, katanya.

Beliau yang kini memangku portfolio pendidikan memberikan contoh polemik antara sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan, yang pada pandangannya boleh diselesaikan dengan menerapkan konsep sekolah wawasan.

Di bawah konsep itu, dua atau tiga buah sekolah rendah berlainan aliran ditempatkan di kawasan sama, berkongsi kemudahan yang sama dan menjalankan beberapa aktiviti bersama.

“Apabila kerajaan buat sesuatu keputusan, orang tengok kita buat keputusan yang betul, kita tidak buat untuk kumpulan ini atau kumpulan itu.

“Tetapi sekarang tekanannya sangat kuat… (sehingga kata) kita tidak akan sokong (kerajaan) lain dan sebagainya.

“Jadi bukan lagi pendidikan yang diberi pertimbangan yang wajar dan serius, sebaliknya politik. Semuanya sudah dipolitikkan, dan ini sesuatu yang malang,” katanya, dalam satu sarapan bersama sekumpulan wartawan di Langkawi, kelmarin.

Ini adalah kali pertama Dr Mahathir mengulas dengan panjang lebar mengenai soal pendidikan sejak mengambil tanggungjawab portfolio itu awal bulan ini.

Beliau membuat kenyataan ketika pendidikan Malaysia sejak beberapa bulan lalu dibayangi isu pengenalan tulisan Jawi di sekolah jenis kebangsaan, yang perbincangan mengenainya terheret jadi polemik kaum dan agama.

Dr Mahathir memangku jawatan menteri pendidikan selepas bekas menteri Dr Maszlee Malik letak jawatan pada 3 Januari lalu.

Sekolah wawasan

Pada pertemuan di Langkawi kelmarin, Dr Mahathir sekali lagi mempertahankan sekolah wawasan sebagai konsep yang boleh menyelesaikan isu penyatuan anak-anak Malaysia, yang sekarang belajar di sekolah berasingan mengikut aliran bahasa.

Namun beliau mengakui pelaksanaannya bukanlah mudah.

“(Isu) sekolah wawasan ini sedikit bermasalah. Kita sangat bertolak ansur. Kita benarkan banyak perkara yang dituntut daripada kerajaan.

“Tidak ada negara lain yang bertolak ansur macam Malaysia,” katanya, menjelaskan sikap pemerintah terhadap sistem sekolah vernakular berbanding negara lain.

Dr Mahathir menyebut contoh beberapa negara yang tidak memperkenalkan sekolah dalam aliran bahasa ibunda mengikut kaum sebaliknya semua kaum belajar di sekolah dalam aliran bahasa kebangsaan.

Sekolah wawasan dilihat sebagai konsep yang boleh menyelesaikan isu penyatuan anak-anak Malaysia, yang sekarang belajar di sekolah berasingan mengikut aliran bahasa. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Januari, 2020.

Tolak ansur kerajaan itu bagaimanapun menyebabkan murid kini terpisah antara bersekolah di sekolah kebangsaan yang menggunakan Bahasa Melayu dan di sekolah jenis kebangsaan yang memakai bahasa Mandarin dan Tamil, tambahnya.

“Bahasa menunjukkan identiti bangsa. Kalau mahu belajar bahasa lain, tak apalah. Masalahnya sekarang ini berpegang pada sistem (pendidikan) dalam bahasa lain (bukan bahasa kebangsaan), maka kita sudah memisahkan rakyat.”

Konsep sekolah wawasan diperkenalkan pada tahun-tahun akhir sebelum Dr Mahathir bersara semasa kali pertama jadi perdana menteri. Ia diluluskan pada 1997 dan sekolah wawasan pertama beroperasi di Subang Jaya, Selangor pada 2002.

Setakat ini ada lima kompleks yang dibangunkan dengan konsep “belajar bersama di bawah satu bumbung” ini, iaitu dua di Perak dan masing-masing satu di Pulau Pinang dan Kedah.

Dalam satu wawancara dengan The Malaysian Insight pada Ogos 2018, Dr Mahathir kesal dasar itu tidak dilaksanakan dengan jaya selepas beliau bersara pada 2003.

Selepas Dr Mahathir mengambil alih portfolio pendidikan awal bulan ini, sebuah lagi badan masyarakat Cina, Pusat Pembangunan Kebudayaan tidak mahu Dr Mahathir mengemukakan semula “idea lamanya”, termasuk sekolah wawasan dan pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Ketika konsep sekolah wawasan diperkenalkan dua dekad lalu, persatuan pendidikan Cina Dong Zong membantahnya dengan alasan sekolah wawasan akan menghakis identiti sekolah jenis kebangsaan Cina.

Dr Mahathir ketika itu menyifatkan Dong Zong sebagai kumpulan pelampau yang menentang penyatuan rakyat melalui pendidikan.

Apabila Dong Zong membantah keputusan kerajaan memperkenalkan tulisan Jawi di sekolah vernakular bermula sistem persekolahan tahun ini, Dr Mahathir menggelar persatuan itu sebagai perkauman dan hanya tahu membantah apa saja yang kerajaan hendak buat untuk pendidikan.

“Dong Zong ini rasis. (Sebelum ini) kita buat sekolah satu kampus, sekolah wawasan… sekolah Cina, Tamil dan kebangsaan dalam satu kampus, dia tak mahu… kononnya anak dia akan bercampur dengan orang Melayu, jadi dia tak suka.

“Semua dia bantah, tak pernah bersetuju apa-apa pun,” katanya, seperti dipetik laporan media pada 12 Ogos tahun lalu.

Dong Zong mendakwa langkah kerajaan itu sebagai satu bentuk Islamisasi. Ia meneruskan bantahan walaupun selepas Jemaah Menteri setuju mengenakan beberapa syarat tambahan, termasuk ia hanya diajar di sekolah vernakular selepas mendapat persetujuan persatuan ibu bapa dan guru. –  22 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Itu lah sebabnya banyak ibubapa Malaysia masukkan anak anak mereka di sekolah swasta supaya anak anak tidak ikut di libatkan politik.

    Dimuat naik 4 tahun yang lalu oleh Sin Fook Choo · Ulasan

  • Itu lah sebabnya banyak ibubapa Malaysia masukkan anak anak mereka di sekolah swasta supaya anak anak tidak ikut di libatkan politik.

    Dimuat naik 4 tahun yang lalu oleh Sin Fook Choo · Ulasan