PENGUMUMAN Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sebagai pemangku menteri pendidikan menerima reaksi bercampur dari kumpulan pendidikan Cina.
Sesetengah daripada mereka berpendapat pengalaman Dr Mahathir mentadbir negara membawa kebaikan bagi pembaharuan pendidikan negara, manakala selebihnya menolak beberapa dasar yang beliau cuba perkenalkan semasa dalam pentadbiran kerajaan lama.
Bagi Pengerusi Pusat Pembangunan Kebudayaan LLG Liu Zhi Wen, beliau tidak mahu dasar yang diperkenalkan oleh Dr Mahathir seperti Sekolah Wawasan dan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) diadakan semula.
Sekolah Wawasan dan PPSMI diperkenalkan semasa Dr Mahathir jadi perdana menteri antara 1981 hingga 2003, tetapi mendapat bantahan daripada masyarakat Cina.
Sekolah Wawasan menggabungkan semua sekolah iaitu sekolah kebangsaan serta sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil di bawah satu bumbung dengan matlamat murid belajar, bermain dan makan bersama untuk membentuk identiti Malaysia yang bersatu padu.
Konsep sekolah ini bagaimanapun tidak diterima baik oleh pendukung pendidikan Cina. Buat masa ini hanya ada lima Sekolah Wawasan yang kesemuanya di Semenanjung.
Kegagalan pelaksanaan Sekolah Wawasan banyak kali disebut Dr Mahathir dalam temu bual bersama The Malaysian Insight pada 2018. Perdana menteri ketika ditemu bual kesal dasar itu dihentikan selepas beliau melepaskan jawatan pada 2003.
Bagi PPSMI pula, Liu berkata dasar itu tidak mencapai hasil yang diingini dan dimansuhkan pada 2009 iaitu enam tahun selepas diperkenalkan. Sejak itu, murid mempelajari subjek Sains dan Matematik menggunakan Bahasa Melayu di sekolah kebangsaan manakala Mandarin dan Tamil di sekolah jenis kebangsaan.
Masyarakat Cina yang menentang PPSMI merasakan dasar itu menjadikan proses pembelajaran murid yang tidak fasih berbahasa Inggeris lebih sukar.
“Penggunaan Bahasa Inggeris untuk mengajar murid sekolah rendah Cina sudah pasti akan menjejaskan perkembangan murid. Bagi subjek Sains, murid tidak akan faham terma saintifik.
“Lebih baik jika (Sains dan Matematik) diajar dalam bahasa yang lebih difahami murid,” kata Liu.
Beliau menegaskan akan tetap membantah pengenalan semula PPSMI sambil menambah tidak ramai guru yang boleh mengajar menggunakan Bahasa Inggeris.
“Macam mana guru yang tak fasih Bahasa Inggeris hendak ajar subjek dalam bahasa itu?” soalnya.
Liu berharap Dr Mahathir akan berfikiran terbuka menangani isu dalam sistem pendidikan.
Berlainan pula bagi Guru Besar SJK (C) Choong Wen, Wong Shee Fatt yang berpendapat Dr Mahathir mempunyai banyak pengalaman dan berpandangan jauh untuk mengubah sistem pendidikan negara.
Wong menyokong dasar Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) yang bermatlamat untuk meningkatkan minat murid mempelajari empat subjek itu.
Statistik menunjukkan hampir 70% murid mempunyai minat yang rendah terhadap subjek STEM, yang akan memberi kesan ke atas pembangunan dan tenaga buruh negara.
Pendidikan STEM adalah antara dasar yang menurut bekas menteri pendidikan Maszlee Malik mahu diberi tumpuan oleh kerajaan Pakatan Harapan. – 14 Januari, 2020.
Komen