Bangsa Malaysia tinggal mimpi jika rakyat tidak usahakan


The Malaysian Insight

Konsep Bangsa Malaysia bertujuan mencipta sebuah identiti nasional yang merangkumi semua rakyat Malaysia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Ogos, 2018.

HANYA rakyat Malaysia boleh menjayakan cita-cita Bangsa Malaysia, kata pengasas ideanya Dr Mahathir Mohamad, kerana ada kekangan atas apa yang boleh kerajaan lakukan untuk menyatukan semua rakyat.

Buat masa ini, rakyat tidak menyumbang apa yang sepatutnya dilakukan, kata perdana menteri.

“Kerajaan mahu melaksanakannya tetapi sama ada rakyat terima atau tidak idea itu, itu satu perkara yang lain pula.

“Rakyat tidak buat apa yang patut mereka buat. Untuk pinda undang-undang agak senang tetapi ia akan bergantung pada rakyat sama ada mereka terima atau tidak,” kata Dr Mahathir kepada The Malaysian Insight.

Perdana menteri juga menyuarakan kesukaran yang dihadapi kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk mengutarakan idea Bangsa Malaysia.

“Ini sebuah negara demokrasi, maknanya kita hanya jadi kerajaan jika kita ada sokongan majoriti.

“Semua parti mahu menggembirakan yang majoriti, dan majoriti mahu dikenali dengan bangsa, jadi kita terpaksa kekal begitu,” katanya.

Konsep Bangsa Malaysia diutarakan oleh Dr Mahathir dalam ucapannya mengenai Wawasan 2020 pada Februari 1991, semasa pertama kali jadi perdana menteri.

Dasar itu bertujuan mencipta sebuah identiti nasional yang merangkumi semua rakyat Malaysia yang “dapat mengidentifikasikan diri dengan negara, bertutur Bahasa Melayu dan menerima Perlembagaan Persekutuan.”

Dr Mahathir kesal dasar itu tidak berkembang selepas beliau letak jawatan pada 2003.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata satu cara untuk menghidupkan semula dasar Bangsa Malaysia ialah dengan melihat pada sistem persekolahan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Ogos, 2018.

“Selepas itu (beliau letak jawatan) Wawasan 2020 jadi sebaliknya. Tiada apa yang dibuat untuk mencipta suasana itu,” katanya.

Beliau menambah perdana menteri sebelumnya, Najib Razak bergantung kepada politik perkauman untuk kekal berkuasa.

“Mula-mula beliau cuba memenangi hati orang Cina dan orang Melayu menolaknya. Apabila beliau cuba pula memenangi hati orang Melayu, orang Cina menolaknya. Itu sebabnya beliau kalah.”

Perdana menteri berkata satu cara untuk menghidupkan semula dasar Bangsa Malaysia ialah dengan melihat pada sistem persekolahan.

“Misalnya, kita tahu bagaimana sekolah terpisah kerana kita ada sekolah Cina, sekolah kebangsaan dan sekolah Tamil.

“Saya pernah cadangkan tiga sekolah ini diletakkan dalam kawasan yang sama tetapi itu ditentang oleh golongan pendidik ekstremis.

“Maksud saya, macam mana nak bersatu kalau kita tidak boleh bersama-sama dalam kampus yang sama?”

Dr Mahathir bagaimanapun cepat menambah bahawa beliau bukan mencadangkan agar sekolah jenis kebangsaan dimansuhkan.

“Saya tidak kata kita mesti hapuskan sekolah jenis kebangsaan tetapi gunakan kawasan yang sama apabila ada perhimpunan pagi, misalnya. Jangan berhimpun ikut sekolah.

“Kalau bersukan, jangan ikut sekolah tetapi ikut pasukan yang anggotanya daripada tiga sekolah.

“Ini caranya untuk menghapuskan identiti kaum dan mengenali antara satu sama lain.”

Dr Mahathir berkata untuk konsep Bangsa Malaysia berjaya, semua orang mesti menerima bahawa mereka adalah rakyat Malaysia.

Beliau menarik perhatian bagaimana di negara Asean lain seperti Filipina, Indonesia dan Thailand, rakyatnya mengasimilasikan diri mereka sendiri ke dalam identiti kebangsaan dan tidak dikenali dengan latar belakang kaum.

“Tetapi di sini di Malaysia kita mahu mengekalkan identiti kita. Kita tidak boleh hendak kedua-duanya.

“Kalau hendak kekalkan identiti, orang akan anggap kalau Cina Malaysia mestilah dari China, kalau India Malaysia tentulah dari India dan kalau Melayu Malaysia, dari Malaysia,” katanya. – 29 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen