Taliban mahu muktamad perjanjian damai dengan AS hujung bulan ini


Taliban dan AS sudah berunding selama setahun dan hampir memeterai perjanjian damai pada September 2019 sebelum Presiden Donald Trump menggelar proses damai itu sudah berakhir kerana keganasan militan itu. – Gambar AFP, 18 Januari, 2020.

TALIBAN mahu mencapai perjanjian pengunduran dengan Amerika Syarikat (AS) selewat-lewatnya hujung bulan ini, kata ketua jurucakap militan itu.

Suhail Shaheen berkata Taliban juga bersedia mengurangkan operasi ketenteraan menjelang proses memuktamadkan perjanjian itu.

Suhail mengeluarkan kenyataan itu ketika Taliban dan AS mengadakan rundingan di Doha pada minggu ini.

“Kami bersetuju mengurangkan operasi kententeraan sebelum perjanjian itu dimeterai dengan AS,” katanya.

Beliau berkata Talibam optimis perjanjian damai dengan Washington boleh dicapai pada hujung bulan ini selain pengurangan pertempuran di seluruh negara.

“Kini kita hanya menunggu saja,” katanya.

Sejak beberapa minggu lalu, Washington berulang kali menggesa militan itu mengurangkan keganasan dengan menjadikannya syarat untuk menyambung semula rundingan perjanjian pengunduran tentera AS dari negara itu.

Taliban dan AS sudah berunding selama setahun dan hampir memeterai perjanjian damai pada September 2019 sebelum Presiden Donald Trump menggelar proses damai itu sudah berakhir kerana keganasan militan itu.

Rundingan bersambung semula pada Disember di Qatar tetapi dihentikan seketika ekoran serangan dekat pangkalan tentera Bagram yang dikendalikan AS.

Sebarang perjanjian dengan Taliban akan menyaksikan dua tumpuan utama iaitu pengunduran tentera AS dari Afghanistan dan komitmen militan itu untuk tidak bersekutu dengan mana-mana kumpulan pelampau.

AS menceroboh Afghanistan kira-kira 18 tahun lalu dengan memberi alasan Taliban memiliki hubungan dengan pengganas Al-Qaeda. – AFP,  18 Januari, 2020.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen