Taliban nafi wujud gencatan senjata di Afghanistan


Kenyataan pemberontak itu muncul ketika pasukan tempatan dan antarabangsa bakal menghadapi musim sejuk di tengah-tengah perbincangan yang masih berjalan antara AS dan Taliban bagi menamatkan keganasan di Afghanistan. – Gambar AFP, 30 Disember, 2019.

TALIBAN hari ini menafikan wujud gencatan senjata di Afghanistan selepas khabar angin mengatakan kemungkinan perjanjian diadakan yang bakal menyaksikan pertempuran berkurangan di wilayah itu selepas lebih 18 tahun peperangan.

“Dalam beberapa hari yang lalu, beberapa media melaporkan perkara yang tidak benar mengenai gencatan senjata ... Faktanya, Negara Islam Afghanistan tidak mempunyai rancangan gencatan senjata,” kata Taliban dalam satu kenyataan.

Kenyataan pemberontak itu muncul ketika pasukan tempatan dan antarabangsa bakal menghadapi musim sejuk di tengah-tengah perbincangan yang masih berjalan antara AS dan Taliban bagi menamatkan keganasan di Afghanistan.

Pertempuran berdarah masih berterusan walaupun Washington sedang berusaha menjayakan rundingan dengan militan untuk mengurangkan kehadiran tentera Amerika di negara itu, dan sebagai timbal balik, pemberontak akan memastikan situasi keselamatan akan menjadi lebih baik.

Afghanistan juga bergelut dengan pertikaian politik yang berterusan selepas pihak berkuasa mengumumkan keputusan awal dalam pilihan raya presiden  yang meletakkan Presiden Ashraf Ghani terus memegang tampuk pentadbiran kerajaan bagi penggal kedua.

Pihak suruhanjaya pilihan raya masih belum mengisytiharkan keputusan sebagai muktamad selepas menerima lebih daripada 16,000 aduan berhubung pilihan raya tersebut,.

Taliban melihat Ghani sebagai boneka Amerika dan enggan berunding dengan kerajaannya, menyebabkan ramai yang takut bahawa pertempuran terhadap kerajaan Afghanistan akan terus berlanjutan walaupun AS menjamin tenteranya akan menarik pasukannya dari rantau itu. – AFP, 30 Disember, 2019.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen