Bekas jeneral selar kerajaan, ikrar untuk ‘pertahan dan lindungi’ Dr Mahathir


Amin Iskandar

Presiden Persatuan Patriot Kebangsaan Brigadier Jeneral (B) Mohd Arshad Raji berkata keputusan terbaru Putrajaya menarik balik khidmat pengawal peribadi Unit Tindakan Khas (UTK) untuk Dr Mahathir sebagai 'amatur dan tidak bertanggungjawab'. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 November, 2017.

SEBUAH kumpulan bekas tentera dan polis berikrar akan terus “mempertahan dan melindungi” Dr Mahathir Mohamad selepas Putrajaya menarik balik khidmat pengawal peribadi Unit Tindakan Khas (UTK) untuk bekas perdana menteri itu.

Presiden Persatuan Patriot Kebangsaan Brigadier Jeneral (B) Mohd Arshad Raji menyifatkan keputusan terbaru Putrajaya itu sebagai “amatur dan tidak bertanggungjawab”.

“Kita tidak boleh jadi patriot kepada bangsa ini jika tidak bersimpati dengan pemimpin negara yang telah berkhidmat kepada rakyat, negara dan Raja-Raja,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Persatuan Patriot Kebangsaan dianggotai bekas anggota beruniform seperti tentera dan polis.

Arshad berkata, Persatuan Patriot Kebangsaan akan menyalahkan kepimpinan negara sepenuhnya sekiranya sesuatu tidak diingini berlaku kepada Dr Mahathir.

Putrajaya pada Rabu lalu menarik balik pengawal peribadi Dr Mahathir, langkah yang dilihat sebagai “pembalasan” terbaru terhadap negarawan itu sejak beliau menjadi pengkritik kerajaan nombor satu dan pengerusi Pakatan Harapan (PH). 

Putrajaya, setahun yang lalu juga, menamatkan kontrak perkhidmaan tukang masak dan pembantu pejabat Dr Mahathir serta menarik balik khidmat polis pengiring.

Menurut Arshad berkata keputusan itu adalah “tidak bermaruah serta merendahkan” bekas pemimpin yang memimpin negara selama 22 tahun dan membawa banyak kemajuan ekonomi kepada negara.

“Para pemimpin dunia memberi perhatian yang tinggi kepada beliau dan Malaysia pernah mendapat penghormatan semasa kepimpinannya. 

“Semasa kemelesetan global 1998, tindakan Dr Mahathir menyelamatkan ekonomi kita.

“Tidak kira apa pun beliau hari ini, beliau pastinya tidak berhak menerima layanan yang tidak bertanggungjawab seperti itu oleh kerajaan,” kata Arshad.

Sebelum ini, pengguna media sosial berpendapat tindakan pentadbiran Perdana Menteri Najib Razak menarik balik khidmat UTK kepada Dr Mahathir tidak wajar dan memalukan.

Menyifatkan ia sebagai bersifat peribadi, pengguna media sosial berkata sekiranya berlaku sesuatu kepada Dr Mahathir, Najib akan menyalahkan antara satu sama lain. – 3 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen