Najib, Rosmah mungkin berdepan lebih banyak pendakwaan 


Chan Kok Leong

Pendedahan rakaman audio oleh SPRM hari ini tidak akan menjejaskan perbicaraan kes SRC International dan 1MDB melibatkan bekas perdana menteri Najib Razak.– Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 8 Januari, 2020

PERTUDUHAN baharu menanti bekas perdana menteri Najib Razak dan isterinya Rosmah Mansor, susulan pendedahan rakaman audio oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia hari ini.

“Terdapat pelbagai kesalahan baharu yang berlaku daripada rakaman ini,” kata Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya ketika ditanya adakah pertuduhan baharu akan dibuat mengenainya hari ini.

“Berdasarkan kepakaran kami, kita boleh lihat terdapat unsur-unsur salah guna kuasa dan individu yang terlibat adalah daripada mereka yang berjawatan tinggi. Ini tidak sepatutnya berlaku,” kata Latheefa pada sidang media di ibu pejabat SPRM, Putrajaya hari ini.

Najib dan Rosmah masing-masing berdepan 42 dan 20 pertuduhan membabitkan salah guna kuasa, pengubahan wang haram dan rasuah.

Ini merupakan kali pertama SPRM mendedahkan rakaman audio melibatkan tujuh individu berkenaan kepada media.

Menurut agensi anti-rasuah, tujuh individu yang dikenal pasti oleh pihak forensik adalah Najib, Rosman, Ahli Parlimen Baling Abdul Azeez Abdul Rahim, bekas ketua pesuruhjaya SPRM Dzulkifli Ahmad, setiausaha sulit Najib, Shukry Mohd Salleh dan dua individu dari Emiriah Arab Bersatu.

Rakaman itu menunjukkan individu bercakap mengenai kes 1Malaysia Development Berhad dan bagaimana ia memberi kesan kepada Najib dan anak tirinya, Riza Aziz susulan pendedahan oleh Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat pada 2016.

Perbualan itu berlaku antara Januari hingga Julai, 2016 dan menunjukkan pihak yang terlibat berkonspirasi untuk menutup kes berkenaan.

Menurut Latheefa, rakaman itu dihantar kepada SPRM oleh sumber yang tidak dikenali selepas tahun baharu.

“Terdapat isu yang serius seperti salah guna kuasa, konspirasi jenayah, menghalang keadilan, menjejaskan keselamatan negara, pembuatan bukti palsu melalui bantuan asing dan lain-lain.

“Saya mengarahkan pegawai untuk mengambil langkah perlu. Kita akan menyerahkan dokumen ini kepada pihak berkuasa untuk siasatan lanjut,” kata Latheefa, dalam sidang media itu.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan siapa yang menghantar rakaman berkenaan kepada SPRM.

“Untuk keselamatan, kami tidak akan dedahkan siapa yang beri rakaman ini dan kami tidak tahu berapa banyak sumber yang mencari rakaman ini atau sama ada ia dilampirkan sekali sebelum ia dihantar kepada kami.

“Bila kita dapat kita terus menjalankan proses forensik bagi mengenal pasti siapa mereka dan menjalankan siasatan. Berdasarkan apa yang kami tahu mengenai individu terlibat, kita boleh kenal pasti mereka dengan mudah.”

Latheefa berkata, rakaman berkenaan tidak akan menjejaskan perbicaraan Najib Razak dalam kes SRC International dan 1MDB.

“Kami dedahkan rakaman ini untuk kepentingan umum. Saya fikir ia terlalu panjang dan bukan hanya untuk ketelusan tetapi kita tidak mahu lagi melemahkan institusi bebas seperti SPRM, dan Jabatan Peguam Negara.

“Dokumen rahsia yang disebarkan dan kerosakan berlaku. Oleh itu, kami perlu berkongsi dengan anda apa yang berlaku.” – 8 Januari, 2020


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen