CEO Prasarana digantung tugas, kata sumber


Lee Chi Leong Diyana Ibrahim

Ketua Pengarah Eksekutif Prasarana Mohamed Hazlan Mohamed Hussain digantung tugas sejak 24 Disember lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Januari, 2020.

SYARIKAT pengangkutan awam negara Prasarana Malaysia Berhad menggantung tugas ketua pengarah eksekutifnya Mohamed Hazlan Mohamed Hussain kerana masalah prestasi tidak memuaskan, kata beberapa sumber.

Sumber memberitahu The Malaysian Insight, lembaga pengarah menggantung tugas Hazlan untuk disiasat berhubung kualiti perkhidmatan transit aliran ringan (LRT) yang mendapat banyak aduan awam.

Beliau digantung tugas sejak 24 Disember lalu, kata sumber.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengesahkan Hazlan sedang digantung tugas dan disiasat, namun menegaskan ia keputusan lembaga pengarah Prasarana.

“Bukan keputusan kementerian, itu keputusan lembaga pengarah,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Loke juga enggan mengulas bila pengumuman akan dibuat mengenai kedudukan Hazlan dan meminta perkara itu dirujuk kepada Prasarana.

The Malaysian Insight difahamkan Prasarana akan mengadakan sidang media mengenainya pada Khamis.

Buat sementara waktu, tugas Hazlan dipangku oleh Ketua Pegawai Operasi (COO) Muhammad Nizam Alias yang baru dilantik ke jawatan itu pada 7 September lalu.

Prasarana memiliki dan mengendalikan perkhidmatan tren dalam bandar di Lembah Klang merangkumi tiga rangkaian LRT, monorel dan transit aliran deras (MRT). Ia juga memilik dan mengendalikan perkhidmatan bas lompat-lompat di Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang, Perak, dan Pahang.

Sumber memberitahu The Malaysian Insight, Prasarana sudah membentuk sebuah jawatankuasa khas yang dibarisi beberapa ahli lembaga pengarah. Mereka diberi tugas menjalankan siasatan dalaman terhadap Hazlan.

“Keputusan penggantungan dibuat oleh lembaga pengarah kerana tidak mahu mengganggu siasatan, sehinggalah kita dapat hasil siasatan.

“Kini jawatankuasa khas sedang sedaya upaya untuk habiskan siasatan dan dapat mengemukakan laporan siasatan kepada syarikat,” katanya.

Sementara itu seorang lain mendedahkan siasatan terhadap Hazlan ada kaitan dengan prestasi yang didakwa kurang memuaskan sepanjang beliau menerajui syarikat itu sejak September 2019.

“Prestasi beliau dianggap tidak baik oleh lembaga pengarah. Masalah LRT tidak diselesaikan.

“Bila sistem (pengangkutan) tergendala beliau tidak tunjuk tanggungjawabnya kepada rakyat, tidak ada penjelasan umum diberikan,” katanya.

Hazlan dilantik oleh Kementerian Kewangan ke jawatan itu pada 3 September 2018, mengambil alih tugas Masnizam Hisham yang dipendekkan tempoh perkhidmatannya.

Beliau berkelulusan ijazah sarjana muda dalam bidang kejuruteraan awam dari Imperial College of Science and Technology, London, pada 1988, dan mempunyai pengalaman luas serta rekod perkhidmatan dalam bidang pengangkutan awam, minyak dan gas, pos serta lebuh raya.

Sebelum menerajui Prasarana, Hazlan pernah bertugas sebagai pengarah kumpulan di beberapa bahagian di DRB-Hicom, Ketua Pegawai Operasi RapidKL, Ketua Pegawai Operasi Unit Strategik Pos Malaysia Berhad dan Pengurus Besar Bahagian Operasi Plus Expressways.

Hazlan dilantik ke Prasaranan dengan mandat menetapkan dasar baru syarikat bagi memperkasakan lagi tahap perkhidmatan pengangkutan awam. – 7 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen