Soalan mengenai Zakir Naik disalah tafsir, kata UniMAP


Siasatan yang dijalankan universiti mendapati soalan tersebut telah disemak mengikut prosedur yang betul oleh panel ahli akademik dari pelbagai kaum dan agama, kata Naib Canselor UniMAP R Badlishah Ahmad. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Januari, 2020.

SOALAN berkaitan penceramah dari India, Zakir Naik dalam kertas peperiksaan Hubungan Etnik ditafsir di luar konteks, kata Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) R Badlishah Ahmad.

Badlishah berkata siasatan yang dijalankan universiti itu mendapati soalan tersebut mengikut prosedur akademik yang ditetapkan, dan kesemua panel penilai soalan yang dilantik universiti terdiri daripada pelbagai bidang dan kaum.

“Penularan soalan yang dianggap menyentuh sensitiviti kaum ini adalah kerana ia ditafsir di luar konteks objektif pengajaran dan pembelajaran bagi kursus itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati kesilapan adalah pada terjemahan perkataan ‘ignorant’ kepada Bahasa Melayu dalam salah satu soalan, yang mana diterjemah kepada ‘bodoh’.

Jelas Badlishah, semua soalan termasuk yang berkaitan Zakir adalah selari dengan tajuk “Cabaran-cabaran Hubungan Etnik dan Isu-isu Semasa” dan matlamat kursus Hubungan Etnik adalah untuk melahirkan masyarakat mengikut “acuan Malaysia”.

Beliau juga berkata selepas ini penilaian soalan akan diperkemaskan agar tidak lagi menyentuh isu secara spesifik dan UniMAP tidak akan lagi akan memasukkan pilihan jawapa  pada soalan berbentuk pendapat.

Soalan yang mencetus kontorversi di media sosial itu menggambarkan Zakir sebagai ikon dunia Islam dan banyak berjasa dalam menyebarkan Islam.

Soalan kemudian bertanya kepada pelajar mengapa Zakir tidak dibenarkan lagi berdakwah.

Pelajar diberi pilihan jawapan:

  1. Rakyat Malaysia yang malas mengambil tahu.
  2. Rakyat Malaysia yang mudah rasa terancam tanpa usul periksa.
  3. Rakyat Malaysia yang bersifat menuruti sahaja tanpa usul periksa.
  4. Rakyat Malaysia yang bodoh tentang agama masing-masing.  – 4 Januari, 2020.

Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen