Peletakan jawatan Maszlee tidak selesaikan masalah Pakatan, kata penganalisis 


Lee Chi Leong

Banyak isu lain yang perlu diselesaikan PH, bukan hanya isu pendidikan untuk kembalikan keyakinan rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Januari, 2020.

TAHAP keyakinan yang rendah terhadap Pakatan Harapan melibatkan lebih daripada isu pendidikan, dan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad perlu melakukan lebih berbanding peletakan jawatan Dr Maszlee Malik sebagai menteri pendidikan, kata penganalisis.

Dr Awang Azman Awang Pawi berpendapat, tindakan tegas perlu diambil, dan ia termasuklah peletakan jawatan Dr Mahahthir sendiri untuk memberi laluan kepada peralihan kuasa, atau perkukuhkan lagi Kabinet menerusi rombakan.

“Perdana menteri perlu membuat keputusan berani, untuk menggantikan mana-mana menteri Kabinet yang tidak menonjol. Bukan sahaja dari Bersatu, tetapi juga dari parti lain sekiranya prestasi mereka tidak memuaskan,” kata Awang Azman kepada The Malaysian Insight.

Maszlee yang merupakan bekas ahli akademik dan ahli Parlimen Simpang Renggam, mengumumkan peletakan jawatannya semalam selepas 20 bulan memegang jawatan sebagai menteri pendidikan.

Walaupun dipuji sebagai menteri yang meningkatkan akses pendidikan kepada golongan miskin, terpencil dan pelajar berkeperluan khas, komunikasi yang kurang baik serta silap langkah dalam membuat keputusan terus membayangi pencapaian ini.

Maszlee disenaraikan dalam kedudukan antara menteri yang mempunyai prestasi teruk selepas 20 bulan PH mengambil alih kerajaan melalui pelbagai kaji selidik yang dijalankan sepanjang tempoh itu.

‘Kambing hitam’

Berikutan kekalahan teruk PH pada pilihan raya kecil Parlimen Tanjung Piai pertengahan November lalu, terdapat gesaan untuk rombakan Kabinet.

“Sekiranya hanya Maszlee yang digugurkan, dan tiada pembaharuan lain, Maszlee hanya dilihat sebagai kambing hitam untuk membuat beberapa tambahan.

“Namun kita tahu terdapat lebih banyak isu yanng melibatkan kementerian lain; isu perpaduan nasional, alam sekitar, Felda dan perumahan,” kata Awang Azman. 

Dr Maszlee Malik, bekas ahli akademik dan ahli Parlimen Simpang Renggam, umum letak jawatan sebagai menteri pendidikan selepas 20 bulan memegang jawatan itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Januari, 2020.

Pensyarah pengajian Melayu Universiti Malaya itu juga percaya, pengundi hanya mahu melihat Dr Mahathir mempercepatkan peralihan kuasa kepada bakal perdana menteri, Anwar Ibrahim.

Peralihan kuasa daripada Dr Mahathir kepada Anwar akan dibuat sebelum berakhirnya penggal PH sebagaimana yang diipersetujui oleh semua parti. Bagaimanapun tiada tarikh ditetapkan, menyebabkan timbul lebih banyak spekulasi dan desas-desus, terutamanya dalam kalangan penyokong PKR.

Dr Mahathir bagaimanapun telah menyatakan peralihan kuasa akan berlaku selepas Malaysia menjadi tuan rumah persidangan Apec 2020 hujung tahun ini.

Tiada lagi eksperimen

Seorang lagi penganalisis, Dr Mazlan Ali berkata, beliau menjangkakan rombakan kabinet yang “kecil namun signifikan” dan bukan rombakan yang besar.

“Peletakan jawatan Maszlee menunjukkan Dr Mahathir mengambil serius terhadap semua pandangan terutamanya selepas timbul pelbagai kontroversi, sebelum dan selepas pilihan raya kecil Tanjung Piai. Terdapat juga isu yang memberi kesan kepada PH seperti issu Jawi dan isu lain yang membabitkan Kementerian Pendidikan.”

Beliau berkata, Dr Mahathir perlu yakin dengan individu yang dipilih untuk menggantikan Maszlee dalam portfolio yang sensitif dan kompleks itu.

“Dr Mahathir tidak boleh lagi bereksperimen, beliau perlu meletakkan seseorang yang berpendirian tinggi sebagai ganti,” kata pensyarah sains politik dan pentadbiran awam Universiti Teknologi Malaysia itu.

Mazlan juga bersetuju bahawa lebih banyak yang perlu dilakukan oleh Dr Mahathir terhadap Kabinetnya, kerana peletakan jawatan Maszlee hanyalah “kompromi” sebagai tindak balas terhadap penolakan pengundi kerana kekalahan PH dalam pilihan raya kecil Tanjung Piai.

“Saya rasa Dr Mahathir cuba memperbetulkan beberapa perkara; dengan peletakan jawatan ini, mungkin untuk meredakan keadaan,” tambah Mazlan.

PH kalah di Tanjung Piai kerana pengundi Cina yang menyokongnya pada pilihan raya umum ke-14 tahun lepas. Sementara itu, Barisan Nasional meningkatkan jumlah undi Melayu kerana penyokong PAS, parti Islam itu tidak meletakkan calon pada pilihan raya itu. – 4 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen