Mufti Perlis sokong petisyen tutup sekolah vernakular


Alfian Z.M. Tahir

Dalam hantarannya di Facebook,Asri menulis "Jom sign" dengan meletakkan pautan ke petisyen berusia lima bulan di Change.com. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Disember, 2019.

SELEPAS menyalahkan sekolah vernakular menjadi pencetus pertikaian kaum dan agama, Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainal Abidin kini mendesak pengikutnya di media sosial untuk menandatangani petisyen bagi menggesa penutupan SJKC dan SKJT, atau sekolah vernakular Cina dan Tamil.

Dalam hantarannya di Facebook,Asri menulis “Jom sign” dengan meletakkan pautan ke petisyen berusia lima bulan di Change.com.

Petisyen “Menghapuskan terus SJK(C) dan SJK(T) dan mewujudkan satu aliran nasional Malaysia”, telah mensasarkan 150,000 tandatangan. Ia kini mempunyai lebih daripada 125,000 tandatangan.

Terdahulu hari ini, Asri, yang juga dikenali sebagai Dr Maza, berkata perselisihan akan berterusan di kalangan pelbagai komuniti negara selagi pendidikan vernakular dibenarkan untuk diteruskan.

Ulasan Asri itu muncul selepas perintah mahkamah menghentikan kongres terhadap silibus tulisan Jawi yang dianjurkan oleh kumpulan Pendidikan Cina Dong Jiao Zong pada hari Sabtu.

“Selagi sekolah vernakular yang tidak berbahasa kebangsaan tidak dihapuskan dalam negara ini, selagi itulah kemelut pergeseran dan kebiadapan antara kaum tidak akan berhenti.” katanya.

“Hendaklah kita semua bersatu dan melupakan perbezaan antara kita dalam mengembalikan kekuatan negara dengan kuasa politik yang menjanjikan ketegasan dalam menghadapi kebiadapan ini.,” katanya tanpa menyebut siapa yang harus bersatu untuk menghadapi cabaran ini atau merujuk langsung kepada kongres yang dihentikan oleh pihak polis. 

Pemerhatian di Facebook beliau didapati ramai pengikut Asri menyokong petisyen itu dan bersetuju dengan idea penutupan sekolah vernakular, namun ada juga yang membantah gesaan itu.

“Satu sekolah, satu konsep dan satu jiwa dan satu hari semuanya boleh bersatu,” kata Zai Asia.

“Malaysia akan menjadi lebih harmoni apabila terdapat hanya satu sekolah kebangsaan,” kata Afiq ZA.

“Ikut apa yang telah dilakukan Singapore, tidak ada sekolah Cina atau India, hanya satu sekolah walaupun majoriti orang Cina,” kata Zackir Hussein Madon.

“Adakah kita bersedia membuka sekolah sains Mara (MRSM), UiTM dan sekolah berasrama penuh (SBP),” kata sebuah akaun, Kamal Yun.

“Saya akan menandatangani hanya selepas mesyuarat PIBG mencapai 75% daripada ibu bapa,” kata Muchlis Abd. – 30 Disember, 2019. 



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Tidak mahu kanak-kanak Melayu dapat pendidikan yang baik di sekolah Cina. Kini lebih 100,000 murid Melayu di Sekolah-sekolah Cina. Mengapa begitu ramai ibu-bapa Melayu tidak yakin dengan sekolah kebangsaan? Tidak mahu budak-budak Melayu di Sekolah Cina jadi lebih pandai dari budak-budak Melayu di sekolah kebangsaan!!

    Dimuat naik 4 tahun yang lalu oleh Ravinder Singh · Ulasan