Jika kita tidak dijajah, mengapa sambut Merdeka?


Sheridan Mahavera

Sambutan Merdeka tidak bermakna jika pandangan bahawa negara tidak dijajah diterima. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Disember, 2019.

SEBAHAGIAN Malaysia adalah jajahan British, kata pakar sejarah mengulas dakwaan terbaru bahawa bekas penjajah itu lebih banyak memberi kebaikan berbanding kepercayaan membawa keburukan sebelum ini.

Ini dapat dilihat daripada bagaimana British mentadbir Sarawak, Sabah, Pulau Pinang dan Melaka secara langsung dan meletakkan residen mereka di negara Melayu lain untuk memberi “nasihat” yang perlu diikuti oleh Sultan negeri itu.

Bekas profesor Universiti Malaya Dr Syed Husin menjelaskan yang terdapat dua aspek penting dalam pentadbiran British di sembilan negeri Melayu antara 1874 dan 1957 yang menjadikan kesemua negeri itu sebagai jajahan.

Pertama, Sultan Melayu yang memerintah negeri itu tidak mempunyai kuasa pentadbiran kecuali dalam hal ehwal adat dan agama Islam.

Ini bermakna mereka tidak berkuasa ke atas perkara lain seperti ekonomi, sekuriti, hubungan luar atau percukaian, kata Syed Husin.

Kedua, Sultan dan kerabat Melayu yang menentang British seperti yang berlaku di Perak semuanya disingkirkan daripada takhta atau diusir dan digantikan dengan mereka yang patuh kepada tuan penjajah itu.

“Jika negeri Melayu tidak dijajah dan Sultan Melayu berkuasa, mengapa ada antara mereka yang disingkirkan secara paksa jika melawan British? Ini hanya boleh berlaku jika ada kuasa lain mengatasi Sultan.”

Syed Husin berkata demikian untuk membidas kenyataan bekas ketua polis negara Hanif Omar yang British dijemput Sultan Melayu untuk membangunkan negara.

Pada perhimpunan pesara polis semalam, Hanif berkata yang kemerdekaan sebenarnya diberikan Sultan Melayu kepada kerajaan awam.

Perhimpunan itu diadakan untuk membantah cubaan menghidupkan semula Parti Komunis Malaya dan ideologinya.

PKM melancarkan pemberontakan bersenjata selama 12 tahun terhadap pentadbiran penjajah British dan pemerintahan demokrasi berparlimen raja berpelembagaan yang diamalkan selepas Merdeka.

Bekas ketua polis negara Hanif Omar semalam berkata British dijemput Sultan Melayu untuk membangunkan negara dan kita tidak dijajah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Disember, 2019.

Pakar sejarah lain seperti mendiang Prof Khoo Kay Kim juga pernah mengeluarkan pandangan bahawa negeri Melayu bukanlah jajahan tetapi “naungan” British.

Seorang lagi pakar, Dr Faisal Musa dari Institut Alam dan Tamadun Melayu (Atma), Universiti Kebangsaan Malaysia pula mengakui terdapat perbezaan pandangan pakar sejarah tentang kehadiran British di Tanah Melayu, menganggap mereka bukan penjajah tetapi “mempengaruhi” Sultan Melayu.

Tetapi, pandangan ini bermasalah kerana ia mencadangkan Sultan bekerjasama dengan British, kata Faisal.

“Ia menyokong hujah yang Sultan Melayu bersubahat dengan British. Adakah ini maksud mereka? Yang Sultan Melayu ketika itu tidak cukup bijak sampai terpaksa terima British?

“Saya rasa beliau perlu lebih berhati-hati menafsir sejarah ikut kemahuannya,” kata Faisal merujuk kepada Hanif.

Sejarah tidak boleh ditafsir ikut pandangan sendiri, kata Dr Faisal Musa daripada UKM. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Disember, 2019.

Tambahnya lagi, dalam kes Sabah, Sarawak, Melaka dan Pulau Pinang, British memerintah negeri itu secara langsung sebagai wilayah jajahan mereka.

“Adakah Sarawak dan Sabah bukan Malaysia? Adakah Melaka dan Pulau Pinang bukan Malaysia?”

Syed Hussin pula menjelaskan yang Merdeka diperolehi menandakan peralihan kuasa daripada pentadbiran penjajah kepada kerajaan dipilih rakyat dan pentadbiran sendiri serta bukti kebebasan daripada Empayar British.

“Jika kita tak merdeka dari British mengapa kita sambut Merdeka?” – 25 Disember, 2019.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen