British bukan penjajah tapi bantu bangunkan negara, kata bekas KPN


Hanif berkata ramai pihak berfikir bahawa British adalah penjajah tetapi tanggapan itu salah kerana mereka datang atas jemputan untuk bangunkan negara. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 24 Disember, 2019.

BRITISH bukan penjajah seperti didakwa kebanyakan pihak, sebaliknya mereka datang untuk membantu membangunkan Tanah Melayu, kata Hanif Omar

Bekas ketua polis negara itu berkata British dijemput oleh Raja-Raja Melayu ke negara ini untuk membangunkan negara ini.

“Ramai tidak tahu dengan British. Mereka fikir British adalah penjajah, sebenarnya mereka bukan. Mereka datang atas jemputan Raja-Raja Melayu dengan hasrat membangunkan negara. Semua negeri kecuali Johor.”

“Sultan Johor memberi Singapura kepada British. British tidak membantu membangunkan Johor kerana Johor membawa rakyat dari China dan Indonesia. Negeri yang lain meminta bantuan daripada British,” katanya kepada media selepas himpunan antikomunis di Padang Merbok, Kuala Lumpur hari ini.

Beberapa tahun lalu, sejarah dihormati Khoo Kay Kim mencetuskan kontroversi dnegan kenyataan sama iaitu Tanah Melayu bukan jajahan British tetapi negeri naungan.

Hanif yang berkhidmat sebagai ketua polis negara keempat dari 1974 hingga 1994, berkata Tunku Abdul Rahman tidak berunding secara terus dengan British apabila berjuang untuk kemerdekaan.

“Tunku mendapatkan khidmat daripada sultan dan beliau tidak terus pergi ke London. Sultan merestui hasrat beliau.

“British dijemput juga oleh sultan untuk berunding. Kemerdekaan diberikan oleh sultan-sultan, dan ini tidak diberitahu kepada kita,” katanya.

Kira-kira 400 bekas polis menghadiri himpunan antikomunis hari ini.

Himpunan itu dianjurkan oleh Persatuan Bekas Pesara Polis Malaysia (Respa). – 24 Disember, 2019.

Berita penuh di sini.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen