Jangan keliru, agungkan sejarah komunis, titah Sultan Selangor


Perjuangan PKM tidak berlandaskan konsep pembentukan negara selepas merdeka yang berpaksi pada demokrasi raja berperlembagaan, titah Sultan Sharafuddin Idris Shah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Disember, 2019.

JANGAN terkeliru dengan fakta sejarah sehingga mengagung-agungkan perjuangan Parti Komunis Malaya (PKM) yang tidak berteraskan semangat pembentukan Malaysia, titah Sultan Selangor.

Perjuangan PKM tidak berlandaskan konsep pembentukan negara selepas merdeka yang berpaksi pada demokrasi raja berperlembagaan, titah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

“Fakta perjuangan ideologi Parti Komunis Malaya ini merupakan satu fakta sejarah yang perlu rakyat generasi sekarang memahaminya dengan mendalam agar kita tidak terpesong dengan fakta-fakta yang mengelirukan tentang perjuangan mereka,” titah baginda di Shah Alam, hari ini.

Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pengurniaan Darjah dan Bintang Kebesaran sempena ulang tahun keputeraannya yang ke-74 di Istana Alam Shah.

Jelas baginda, fakta sejarah terang-terang menunjukkan bagaimana anggota pasukan keselamatan baik polis atau tentera berkorban ketika negara diancam komunis.

Mereka yang terkorban mempertahankan kedaulatan dan maruah negara dari anasir komunis ini pula terdiri daripada berbilang kaum.

Sultan Sharafuddin bertitah demikian ketika perjuangan komunis kembali jadi perdebatan hangat susulan laporan mengenai abu mayat bekas pemimpin PKM Chin Peng atau Ong Boon Hua dibawa pulang senyap-senyap ke Malaysia.

Chin Peng meninggal dunia di Bangkok enam tahun lalu.

Abu mayat Chin Peng dibawa pulang menjelang sambutan 30 tahun Perjanjian Damai Hat Yai yang membawa kepada perletakan senjata PKM. Peristiwa bersejarah itu turut mencetuskan kontroversi selepas majlis memperingatinya dilaporkan kepada polis.

Episod abu mayat Chin Peng dan majlis itu kini sedang disiasat oleh polis.

Dalam titah ucapannya, Sultan Sharafuddin juga mahu rakyat negerinya belajar dari sejarah dan menjaga perpaduan antara masyarakat berbilang kaum.

“Beta ingin menegaskan bahawa di dalam kita meraikan perpaduan yang sedia ada kita tidak boleh sama-sekali melupakan sejarah pembentukan negara kita,” katanya, merujuk kepada peristiwa hitam 13 Mei 1969.

“Rakyat Beta tentu tidak mahu peristiwa hitam ini tercetus semula. 

Oleh itu jadikanlah detik hitam ini sebagai panduan kita agar kita tidak mengulangi kesilapan kita dahulu dan memperbaiki hubungan antara kaum ke arah yang lebih baik dan harmoni,” titah baginda.

Sultan Sharafuddin menyeru rakyat Selangor agar berhati-hati dan berhemah dalam memberi pandangan, serta tidak mempersoalkan hal-hal yang sudah dipersetujui dan termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Kita perlu memelihara hati dan perasaan antara kaum agar setiap yang kita tuturkan tidak akan menyakitkan hati mana-mana pihak,” titahnya.

Baginda juga menyeru rakyat Selangor agar terus menjaga keharmonian negeri dengan hormat menghormati antara satu sama lain.

“Janganlah perpaduan yang kita bina bersama sejak sekian lama ini diruntuhkan hanya kerana kita mempunyai perasaan syak wasangka antara satu sama lain dan hilang rasa hormat sesama kita yang berlainan agama dan bangsa ini,” titahnya. – 11 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen