Krisis PKR ancam Pakatan, kata ahli akademik


Mustafa K. Anuar

Adegan tumbuk menumbuk yang berlaku di Kongres Pemuda PKR hujung minggu lepas tidak diperlukan Malaysia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Disember, 2019.

KRISIS kepimpinan PKR yang sedang berlaku dibimbangi akan melemahkan Pakatan Harapan dan membangkitkan persoalan tentang peralihan kuasa perdana menteri kepada Anwar Ibrahim, kata ahli akademik. 

Mereka memberitahu The Malaysian Insight krisis itu menimbulkan kebimbangan besar kerana PKR yang berpecah belah boleh melemahkan PH secara keseluruhannya. 

Pakar Sains Politik Dr Azmil Tayeb dari Universiti Sains Malaysia berkata PKR perlu mengatasi masalah kepimpinan dan pemimpinnya perlu menghentikan perebutan kuasa yang makin menjadi-jadi, dan menumpukan kepada pentadbiran. 

“Anwar Ibrahim selaku pemimpin parti sedang tersepit. Beliau perlu mendisplinkan dan menyatukan parti, dengan menggantung atau memecat Mohamed Azmin Ali dan kumpulannya. 

“Tetapi, pengaruh Azmin besar dalam parti dan boleh mempengaruhi ramai ahli parti. 

“Kerana itu, tindakan selanjutnya untuk meminggirkan Azmin akan juga melemahkan parti, (dan) mungkin menolak Azmin masuk parti lain seperti Bersatu atau beliau sendiri tubuhkan parti baharu, yang mungkin dapat menjelaskan mengapa Anwar hanya keluarkan kenyataan sindir Azmin, tidak lebih-lebih.” 

Bagaimanapun, tiadanya tindakan ke atas Azmin, tambah Azmil, rakyat akan melihat Anwar sebagai pemimpin yang lemah seterusnya boleh menjejaskan parti dan PH. 

Pakar Sejarah Ariffin Omar pula berpandangan krisis PKR boleh menjadi bencana besar kepada PH. 

“Ia sepatutnya jadi tulang belakang PH, tetapi nampaknya sekarang sedang berpecah belah.” 

Situasi sekarang bakal menjejaskan keyakinan rakyat kepada pakatan pemerintah dan sekiranya berterusan boleh memberi kesan buruk kepada PH, katanya kepada The Malaysian Insight. 

Pergaduhan yang berlaku hujung minggu lepas pada Kongres PKR juga mengukuhkan andaian rakyat bahawa parti itu sedang bergolak hebat, kata Profesor Zaharom Nain dari Nottingham University Malaysia. 

Krisis ini melemahkan PH yang baharu jadi kerajaan dan kurang pengalaman mentadbir, malah Anwar dan Azmin pentingkan diri sendiri jika terus bergaduh, kata Zaharom. 

“Ahli politik yang pentingkan diri ini perlu ingat agenda reformasi, dan kepentingan rakyat dan Malaysia perlu mengatasi motivasi dangkal dan jelik mereka,” tambahnya. 

Anwar akan menjadi calon bukan pilihan untuk menjadi perdana menteri sekiranya gagal menyatukan partinya, kata Zaharom. – 10 Disember, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen