Walau dilanda kontroversi, bajet Jakim terus meningkat


Chan Kok Leong

Di bawah Bajet 2018, dua agensi pembangunan dan penguatkuasaan Islam negara, Jakim dan Jawi menerima peruntukan mencecah RM1.03 bilion.– Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Oktober, 2017.

WALAUPUN berdepan pelbagai kontroversi berkaitan pegawainya dan kebakaran pusat tahfiz, Jakim dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) diberikan lebih banyak peruntukan menerusi Bajet 2018.

Dana itu adalah peruntukan sebanyak RM1.03 bilion untuk pembangunan Islam yang merupakan salah satu daripada 12 senarai di bawah Perbelanjaan Operasi Jabatan Perdana Menteri 2018.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menerima peruntukan terbanyak dengan tambahan RM65.9 juta ke atas RM744.9 juta yang diterimanya tahun ini. Jumlah itu menjadikan jumlah bajet Jakim pada 2018 adalah RM810.9 juta, peningkatan sebanyak 8.8% berbanding Bajet 2017.

Jawi turut diperuntukkan tambahan RM24.4 juta untuk tahun depan menjadikan keseluruhan bajetnya adalah RM119 juta. Jumlah ini merupakan peningkatan kepada 26% daripada peruntukan tahun ini yang berjumlah RM94.6 juta.

Awal bulan ini, Jakim menjadi tumpuan selepas salah seorang daripada pegawainya, Zamihan Mat Zin menimbulkan kemurkaan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar selepas dia mengkritik titah baginda berhubung kedai dobi untuk orang Islam sahaja di Muar. Kritikan itu menyebabkan Sultan Ibrahim menitahkan Jabatan Agama Islam Johor (Jainj) menghentikan sebarang urusan dengan Jakim.

Sebuah lagi agensi penguatkuasa Islam, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), yang juga terletak di bawah bidang kuasa Pembangunan Islam Jabatan Perdana Menteri, turut menjadi perhatian media selepas bangunannya di Jalan Datuk Keramat yang digunakan sebagai asrama sementara pusat tahfiz terbabit dalam kebakaran.

Tragedi itu menyebabkan 21 pelajar dan dua guru terkorban. Walaupun Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Noh Omar mengeluarkan kenyataan bangunan berkenaan tidak mempunyai langkah keselamatan pencegahan kebakaran, MAIWP mahupun Jamil Khir masih tidak memberi sebarang penjelasan.

Jabatan lain seperti TV Al-Hijrah, Institut Kemajuan Islam Malaysia (IKIM), Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (Jawhar) kekal dengan bajetnya seperti pada tahun 2017.

Bagi Jakim, peningkatan terbesar dalam peruntukan 2018 adalah Pembayaran Tetap RM596 juta (2017: RM537 juta). Peruntukan untuk Perkhidmatan dan Pembekalan Jakim pula menyaksikan peningkatan ketara sebanyak RM6 juta kepada RM135.69 juta.

Untuk Emolumen, Jakim diperuntukkan RM79.1 juta untuk 1,400 kakitangannya.

Keseluruhannya Anggaran Perbelanjaan Persekutuan Jabatan Perdana Menteri 2018, kerajaan memperuntukkan RM5.21 bilion Perbelanjaan Operasi dan bakinya RM12.21 bilion untuk Perbelanjaan Pembangunan. – 29 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen