Sultan Johor larang pihak berkuasa agama negeri berurusan dengan Jakim


Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkata Jakim tidak lagi dialu-alukan untuk memberi nasihat kepada Johor mengenai hal ehwal Islam kerana agama adalah bidang kuasa negeri ketika Majlis Konvokesyen ke-17 di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia hari ini. – Gambar Facebook, 14 Oktober, 2017.

SULTAN Johor melarang Jabatan Agama Islam Johor (Jainj) daripada berurusan dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), lapor Sinar Harian.

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkata Jakim tidak perlu memberi pandangan dan nasihat kepada Johor mengenai hal ehwal Islam kerana agama adalah bidang kuasa negeri sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Beberapa orang mufti dan pakar agama telah keluarkan pandangan dan hujah mereka berkaitan perkara ini, namun malangnya ada pula seorang penceramah bernama Ustaz Zamihan Mat Zin yang mengkritik tindakan saya dan memperlekeh mufti-mufti tersebut.

“Gaya cakapnya sangat angkuh dan sombong, seolah-olah dia sahaja yang betul dan mencerca bangsa lain.

“Saya anggap dia hanya seperti tin kosong yang tidak ada otak,” kata Sultan Ibrahim ketika Majlis Konvokesyen ke-17 di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia hari ini.

Pada Khamis, Zamihan ditahan reman selama dua hari bagi memudahkan siasatan di bawah Akta Hasutan kerana didakwa mengkritik larangan Sultan Johor mengenai dobi untuk orang Islam sahaja.

Jakim pada Rabu mengesahkan Zamihan berada di bawah jabatannya tetapi kini dipinjamkan ke Jabatan Penjara di bawah Kementerian Dalam Negeri.

“Nampaknya ustaz ini dah pandai berbohong pula, macam mana kita nak belajar dengan dia. Jangan nak temberang dengan saya, lepas ini cukuplah berceramah depan cermin sahaja untuk kenal diri sendiri.

“Kalau betul dia penceramah Jakim saya tidak tahu dari mana Jakim pungut dia, selepas ini juga saya mengarahkan Jainj tidak perlu lagi buang masa berurusan dengan Jakim,” kata beliau.
Zamihan juga merupakan presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Jabatan Agama Islam Selangor juga mengharamkan Zamihan daripada memberi ceramah di masjid dan surau negeri, manakala Majlis Agama Islam Selangor mengarahkan siasatan terhadap Zamihan kerana didakwa mengkritik institusi diraja semasa ceramahnya di sebuah masjid di Shah Alam pada Ahad. – 14 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen