Jangan jadi parti taasub pemimpin, Tian Chua ingatkan PKR


Mohd Farhan Darwis Chan Kok Leong Lee Chi Leong

Naib Presiden PKR Chua Tian Chang ketika menggulung perbahasan pada Kongres Nasional PKR yang diadakan di Melaka, hari ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 8 Disember, 2019.

CHUA Tian Chang atau Tian Chua mengingatkan PKR supaya jangan jadi parti yang terlalu taksub mengagungkan pemimpin, ketika kongres tahunan di Melaka hujung minggu dilihat bertumpu pada isu memastikan presiden Anwar Ibrahim lancar diangkat sebagai perdana menteri.

Katanya, kongres tahunan PKR sepatutnya lebih fokus membincangkan isu rakyat berbanding “mengampu-ampu pemimpin”.

Ucapan beliau menggulung perbahasan selaku Naib Presiden PKR bagaimanapun mendapat sorakan perwakilan yang dilihat tidak sehaluan dengan pandangannya.

Selain bersorak, sebahagian daripada mereka juga berdiri sebagai bantahan sambil mengangkat plakad bertulis “Anwar Ibrahim PM ke-8”.

“Bukan saya tak mahu angkat banner seperti ini Anwar PM ke-8. Saya tidak perlu angkat banner untuk tunjuk kesetiaan saya… untuk tunjuk sokongan saya, Anwar menjadi perdana menteri,” kata Tian Chua dalam ucapannya.

Jelas beliau, isunya bukan Anwar sebagai perdana menteri, tetapi PKR kini sudah jadi parti yang ahli-ahlinya taasub kepada pemimpin.

“Itulah bahayanya bagi parti (apabila) kita jadi parti pemerintah. Ini bukan sebab Anwar. Lepas Anwar akan ada perdana menteri, akan ada presiden lagi,” katanya.

Menurut Tian Chua, kedudukan Anwar sebagai calon perdana menteri bukan isu kerana ia ketetapan yang sudah dipersetujui dalam Pakatan Harapan.

Tian Chua sebaliknya tegas mempertahankan kelompok yang dekat dengan timbalan presiden Mohamed Azmin Ali walaupun beberapa kali disorak oleh perwakilan.

Beliau kecewa dengan sikap perwakilan yang menggunakan pentas perbahasan untuk menyerang dan label melabel sesama mereka sehingga mengakibatkan berlakunya insiden boikot oleh sebahagian perwakilan semalam.

“Semalam ramai di kalangan perwakilan bersorak pengkhianat dan pecat. Saya kembali untuk berhadapan dengan rakan-rakan yang sebut nak pecat yang menamakan di kalangan kita pengkhianat.

“Saya tak pernah takut berhadapan FRU, keganasan dan kekejaman polis apatah lagi takut berhadapan dengan rakan yang tak bersepandangan dengan saya,” katanya.

Beliau mengingatkan parti bahawa kejayaan dan pencapaian PKR selepas dua dekad penubuhannya sehingga jadi kerajaan sekarang tidak boleh menafikan sumbangan pimpinan yang sudah berjuang untuk parti, termasuk Azmin.

Sebelum menutup ucapannya, Tian Chua menyerahkan kepada ahli dan pimpinan parti untuk menentukan masa depan PKR – apakah akan jadi parti yang kekal pada perjuangan untuk rakyat atau jadi parti yang setia membuta tuli kepada pemimpin.

“Anda boleh cuba dan tenggelamkan suara saya tetapi tetap saya akan bersuara walau berseorangan pun saya tetap pertahankan kesucian, prinsip, dan perjuangan parti,” katanya.

“Parti ini di tangan anda.”

Tian Chua adalah antara pimpinan PKR yang dilihat mendukung Azmin yang kekal berada dalam kongres hari ini ketika mereka yang lain bertindak memboikotnya sejak petang semalam. – 8 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen