Pergaduhan tercetus lagi di Kongres Pemuda PKR


Chan Kok Leong Mohd Farhan Darwis Lee Chi Leong

Tengah hari ini, sekali lagi tercetus pergaduhan di luar MITC Melaka di mana Kongres Pemuda PKR sedang berlangsung. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 6 Disember, 2019.

PERGADUHAN tercetus lagi, kali kedua di Kongres Pemuda PKR hari ini apabila kumpulan penyokong memakai uniform biru PKR dan sekumpulan belia mendakwa sebagai perwakilan berlawan di luar bangunan persidangan itu di Melaka.

Kekecohan bermula di luar Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) apabila kumpulan itu cuba memasuki premis berkenaan.

Selepas usaha mengesahkan identiti mereka gagal, kumpulan belia itu cuba juga untuk masuk.

Akibatnya, tolak menolak berlaku dan kemudian beralih kepada tumbuk menumbuk sebelum pengawal keselamatan berjaya meleraikan pergelutan dan menghalau kumpulan itu keluar.

Pergaduhan antara mereka kemudian bersambung lagi di luar bangunan sebelum polis masuk campur dan meleraikan.

Kira-kira 100 belia berkemeja T warna hitam berusia 16-40 tahun kelihatan di luar MITC.

Awal pagi ini, kekecohan berlaku di bangunan itu apabila pengerusi Mizan Adli yang dipecat, cuba menyertai persidangan sebagai bantahan terhadap pemecatannya.

Perwakilan Pemuda PKR menggantikan Mizan dengan setiausaha Pemuda PKR Melaka Rashid Abu Bakar sebagai pengerusi baharu. Antara yang turut dilantik ialah Setiausaha PKR Kedah Wan Mohamed Syahezral Shahidan sebagai timbalan pengerusi baharu.

Akmal tidak kenal geng baju hitam

Sementara itu, Ketua Pemuda PKR Akmal Nasir berkata tidak tahu identiti kumpulan remaja berbaju hitam yang hadir dan duduk di dalam kawasan dewan persidangan kongres sayap PKR itu.

Ketua Pemuda PKR Akmal Nasir berkata beliau tidak tahu identiti kumpulan remaja berbaju hitam yang hadir dan duduk di dalam kawasan dewan persidangan kongres sayap PKR itu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 6 Disember, 2019.

Akmal berkata pihaknya perlu mendapatkan penjelasan daripada sekretariat kongres kerana hanya perwakilan, pemerhati, wakil media, dan wakil Majlis Pimpinan Pusat (MPP) yang sah saja boleh memasuki dewan persidangan.

“Sepatutnya hanya perwakilan dan pemerhati yang sah boleh masuk ke dalam dewan, saya tak tahu (siapa mereka) kerana saya duduk di depan sejak pagi.

“Memang tradisi PKR ada pakaian pelbagai. Ada pakai baju Melayu, ada pakai uniform ada juga datang daripada cabang tertentu mereka ada uniform sendiri.

“Dalam isu ini kalau ada laporan atau aduan elok pihak sekretariat kalau libatkan soal disiplin lembaga disiplin untuk tangani masalah ini,” kata Akmal kepada pemberita.

Beliau berkata demikian pada sidang media sejurus sesi persidangan kongres berhenti rehat, tengah hari tadi.

Kekecohan dan pergaduhan di persidangan kongres AMK berlaku sejak 8.40 pagi tadi dan berlarutan sehingga pukul 12.30 tengah hari.

“Kekecohan atau sedikit salah faham yang ini bagi saya kalau ada tindakan libatkan fizikal kita serahkan kepada pihak polis untuk disiasat,” katanya yang juga ahli Parlimen Johor Baru itu.

Akmal juga memberi jaminan akan merujuk kepada sekretariat kongres perkara sebenar yang berlaku sehingga tercetus pergaduhan yang berlarutan.

“Saya akan merujuk dengan sekretariat apa sebenarnya yang berlaku. Perjalanan majlis kena sempurna dan kita kena hormati hak perwakilan dalam kongres.

“Pihak keselamatan cuba kawal keadaan dan perjalanan itu baik, walaupun ada terpaksa berdiri, kehadiran hari ini luar biasa. Mungkin pihak sekretariat kena buat post mortem tahun depan kita kena buat dua tiga kali ganda lebih besar,” katanya. – 6 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen