Kongres Pemuda PKR pilih pengerusi tetap pagi ini


Mohd Farhan Darwis Chan Kok Leong Lee Chi Leong

Ketua Pemuda PKR Akmal Nasir berkata kongres pagi ini akan dimulakan dengan pemilihan jawatan pengerusi tetap susulan pemecatan pengerusi tetap dan timbalan pengerusi tetap sayap itu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 6 Disember, 2019.

KONGRES Pemuda PKR pagi ini akan dimulakan dengan pemilihan jawatan pengerusi tetap, kata ketua Pemuda PKR Akmal Nasir, susulan pemecatan penyandang jawatan itu dan timbalannya minggu lalu.

Pada 28 November lepas, Majlis Pimpinan Pusat Pemuda PKR melucutkan Muhamad Mizan Adli Mohd Noor dan Mohd Ramly Ahmad masing-masing daripada jawatan sebagai pengerusi dan timbalan pengerusi tetap sayap pemuda dengan alasan mereka terlebih umur.

Akmal berkata pemilihan pengerusi tetap yang baharu sudah dimaklumkan kepada semua pimpinan sayap Pemuda.

Beliau juga menasihati Mizan dan Ramly supaya tidak mencetuskan kekecohan dengan berkeras untuk mempengerusikan kongres hari ini.

“Nasihat saya hormat keputusan yang telah dibuat. Kita akan mulakan (kongres pagi ini) dengan agenda pemilihan pengerusi tetap.

“Perkara ini sudah bincang dalam mesyuarat Pemuda PKR dan semua maklum,” kata Akmal kepada The Malaysian Insight, malam tadi.

Akmal ditemui selepas perasmian serentak kongres sayap oleh timbalan presiden parti Mohamed Azmin Ali di Ayer Keroh, Melaka.

Proses pemilihan pengerusi tetap yang baharu pagi ini akan dikendalikan oleh Ketua Penerangan PKR Shamsul Iskandar Md Akin selaku wakil Majlis Pimpinan Pusat (MPP), tambahnya.

Shamsul adalah juga bekas ketua Pemuda PKR antara 2007 dan 2014.

“Keputusan (pemecatan) dibuat dengan berasaskan fakta.

“Bagi saya, kita hanya ingin memastikan kongres berjalan dengan baik,” kata Akmal.

Awal minggu ini, Mizan memberitahu The Malaysian Insight beliau tetap akan hadir ke kongres hari ini untuk menjalankan tugas mempengerusikan persidangan. Beliau menegaskan kedudukannya masih sah kerana MPP Pemuda PKR tiada kuasa untuk memecatnya.

Mizan dan Ramly juga memberi amaran pemecatan mereka bakal menyebabkan PKR dikenakan tindakan oleh pendaftar pertubuhan termasuk diharamkan seperti Umno pada akhir 1980-an.

Akmal sebelum ini mengesahkan Mizan dan Ramly dipecat kerana terlebih had umur untuk memegang jawatan semasa pemilihan, iaitu 35 tahun sebagai anggota Pemuda PKR.

Pelucutan jawatan itu dimaklumkan kepada mereka oleh setiausaha sayap, Ahmad Syukri Md Razab melalui sepucuk surat bertarikh 27 November.

Timbalan Ketua Pemuda PKR Muhammad Hilman Idham yang bertelagah dengan Akmal, turut membantah pemecatan yang disifatkan dibuat tidak mengikut peraturan dan perlembagaan parti.

Bekas timbalan ketua Pemuda PKR Dr Afif Bahardin juga menyifatkan pelucutan jawatan itu sebagai tidak demokratik dan satu tindakan pengecut oleh Akmal.

Katanya, umur tidak pernah jadi isu kerana sayap itu pernah dipengerusikan oleh Mat Shuhaimi Shafie dan Azmizam Zaman Huri semasa mereka berumur lebih 35 tahun. – 6 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen