Pemuda PKR lucut jawatan pengerusi tetap, timbalan


Zaim Ibrahim

SAYAP Pemuda PKR berdepan satu lagi kontroversi kepimpinan, hampir seminggu menjelang kongres nasional tahunan yang akan berlangsung di Melaka pada 6  Disember ini.

Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan (AMK) hujung minggu lalu melucutkan jawatan pengerusi dan timbalan pengerusi tetapnya, dengan alasan mereka tidak sepatutnya dipilih ke jawatan itu kerana mencecah umur lebih 35 tahun.

Sebahagian pimpinan Pemuda PKR bagaimanapun menyifatkan pelucutan jawatan itu sebagai tidak sah kerana dibuat di luar kongres.

Mizan Adli Mohd Noor dilucut dari jawatan pengerusi tetap AMK bersama Timbalannya, Mohd Ramly Ahmad, ketika kongres yang akan mereka pengerusikan nanti sudah terbelit kontroversi.

Majlis Pimpinan AMK sebelum ini membuat keputusan tidak menjemput Timbalan Presiden parti Mohamed Azmin Ali untuk merasmikan kongres. Ia sebaliknya mengundang Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang juga bekas presiden dan kini pengerusi penasihat parti.

The Malaysian Insight difahamkan Mizan Adli dan Ramly dilucutkan jawatan dalam mesyuarat pimpinan sayap pada Sabtu lalu.

Pelucutan jawatan itu dimaklumkan kepada mereka oleh Setiausaha sayap, Ahmad Syukri Md Razab melalui sepucuk surat bertarikh semalam, 27 November.

Majlis Pimpinan AMK sebelum ini membuat keputusan tidak menjemput Timbalan Presiden parti Mohamed Azmin Ali untuk merasmikan kongres. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 November, 2019.

“Ketetapan ini dibuat setelah mesyuarat menyemak dan mendapati beberapa peruntukan dalam Peraturan Tetap AMK 2014 telah tidak dipatuhi semasa pemilihan dibuat dalam Kongres Nasional Tahunan AMK 2018,” kata Syukri dalam surat itu, yang salinannya dilihat oleh The Malaysian Insight.

Ketua Pemuda PKR Akmal Nasir yang dihubungi oleh The Malaysian Insight enggan memberikan sebarang komen.

Syukri yang dihubungi kemudian mengesahkan pelucutan jawatan Mizan Adli dan Ramly, namun enggan juga mengulas lebih lanjut. 

Mizan Adli dan Ramly dalam satu kenyataan mengesahkan mereka menerima surat pelucutan jawatan itu melalui WhatsApp pada 12.45 pagi tadi.

Mereka mempertikaikan alasan pelucutan jawatan yang diberi dan meminta penjelasan lebih terperinci kenapa dipecat tanpa alasan yang lebih kukuh.

Mereka juga menggesa biro politik PKR menyiasat pelucutan jawatan mereka “tanpa prejudis dan profesional”.

“Ia melibatkan status sah ROS (pendaftar pertubuhan) dan melibatkan ROS.

“Kita tidak mahu Keadilan (PKR) juga bakal diharamkan seperti Umno,” kata mereka, merujuk pada insiden pengharaman parti itu pada 1988.

Mizan Adli dan Ramly dipilih dalam kongres nasional pada November tahun lalu mengikut perlembagaan parti, iaitu dipilih tiga tahun sekali dalam kongres nasional semasa pemilihan parti.

Perlembagaan PKR memperuntukkan penyandang dua jawatan itu dipilih dalam kongres tahunan pada tahun pemilihan parti untuk memegang jawatan bagi tempoh tiga tahun. Perlembagaan parti juga memperuntukkan mereka memegang jawatan sehingga pengerusi dan timbalan pengerusi tetap yang baharu dipilih.

Mereka yang dipilih adalah dalam kalangan ahli sayap yang hadir di kongres. Peraturan Tetap AMK juga memperuntukkan mereka yang mencapai umur 35 tahun pada 31 Disember tahun berkenaan bukan lagi anggota AMK.

Sementara itu, seorang sumber sayap Pemuda PKR memberitahu pelucutan jawatan pengerusi dan timbalan pengerusi tetap ini tiada kaitan dengan perpecahan dalaman parti antara kem Akmal dan Timbalannya, Hilman Idham.

“Ini hanya untuk memperbaiki disiplin parti,” kata sumber, yang hadir dalam mesyuarat pimpinan AMK pada 24 Disember lalu.

Sumber sama juga menafikan pelucutan jawatan itu ada kaitan dengan kongres yang akan berlangsung pada 6 Disember ini.

Sumber sayap Pemuda PKR memberitahu pelucutan jawatan pengerusi dan timbalan pengerusi tetap ini tiada kaitan dengan perpecahan dalaman parti antara kem Ketua Pemuda Akmal Nasir Akmal Nasir dan Timbalannya, Hilman Idham. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 November, 2019.

Dalam keputusan mesyuarat Sabtu lalu, Majlis Pimpinan AMK juga berpendapat “ada pertikaian munasabah” terhadap proses pemilihan apabila jumlah undi keseluruhan bagi pemilihan dua jawatan itu melebihi jumlah perwakilan yang layak mengundi.

Pemilihan dua jawatan itu dikendalikan oleh Jawatankuasa Pemilihan Pusat secara undi angkat tangan selepas nama calon dicadang dan disokong oleh perwakilan. 

Surat yang ditandatangani Syukri menyebut 270 ahli AMK hadir dalam kongres pada November tahun lalu tetapi undi yang dikira untuk dua jawatan itu ialah 400 dan 397 undi.

Surat sama juga memberitahu keputusan pelucutan jawatan itu sudah dimaklumkan dan diterima oleh Majlis Pimpinan Pusat PKR yang juga bermesyuarat pada Sabtu lepas.

Sementara itu, bekas timbalan ketua AMK Dr Afif Bahardin menyifatkan pelucutan jawatan pengerusi tetap sayap Pemuda PKR dan timbalannya sebagai tidak demokratik dan satu tindakan pengecut.

“Jawatan ini dilantik oleh anggota parti ketika kongres. Ini amalan parti sejak penubuhan sehingga sekarang.

“Sama analoginya macam pelantikan speaker Dewan Rakyat atau dewan undangan negeri, dilantik di dalam dewan melalui undian dalam kalangan anggota dewan.

“Maka secara dasarnya majlis pimpinan pusat AMK tiada kuasa untuk pecat kerana mereka (Mizan dan Ramly) diundi dan dipilih secara demokratik di dalam kongres,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight.

Afif, yang kalah kepada Akmal semasa pemilihan parti setahun yang lalu, turut menyifatkan bekas lawannya itu mengkhianati mandat yang disuarakan oleh anggota sayap semasa kongres.

Afif juga menarik perhatian soal umur tidak pernah jadi isu sebelum ini.

Katanya, sayap itu pernah dipengerusikan oleh Mat Shuhaimi Shafie dan Azmizam Zaman Huri semasa mereka berumur lebih 35 tahun. – 28 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen