PENYINGKIRAN pengerusi tetap sayap Pemuda PKR dan timbalannya daripada jawatan semata-mata kerana mereka sudah melebihi had usia 35 tahun, kata Ketua Pemuda Akmal Nasrullah Mohd Nasir.
Beliau berkata ia sejajar perlembagaan parti yang menetapkan anggota sayap Pemuda berumur di bawah 35 tahun.
“Jika anda melihat perlembagaan parti, ia ada disebut,” katanya hari ini.
“Jadi, apa yang kita lakukan sebenarnya adalah untuk menegakkan peraturan yang ditetapkan oleh parti,” kata Akmal kepada pemberita di Parlimen hari ini.
Pengerusi tetap Pemuda, Muhamad Mizan Adli Mohd Nor dan timbalannya Mohd Ramly Ahmad, dimaklumkan mengenai penamatan perkhidmatan mereka dalam surat bertarikh 27 November dan ditandatangani oleh Setiausaha Pemuda Kebangsaan, Ahmad Syukri Che Ab Razak.
Usia maksima bagi jawatan itu ialah 35 tahun, sebagaimana dinyatakan dalam perlembagaan parti.
Akmal berkata kedua-dua mereka sudah melepasi had umur ketika PKR mengadakan pemilihan tahun lalu.
“Mereka sudah terlebih usia (35 tahun). Jika anda lihat perlembagaan parti, mereka tidak boleh melebihi usia itu.
“Sayap Pemuda hanya perlu dikendalikan oleh belia,” kata Akmal, yang juga ahli Parlimen Johor Bahru.
Bagaimanapun, beliau tidak mengatakan mengapa mereka dibenarkan bertanding semasa pemilihan jika sudah melepasi had umur.
Surat penamatan perkhidmatan Mizan dan Ramly juga menyatakan mereka menerima lebih undi berbanding jumlah perwakilan yang hadir semasa pemilihan Pemuda PKR pada konvensyen sayap itu tahun lalu, yang mencadangkan terdapatnya penipuan.
Mizan dan Ramly masing-masing mendapat 400 dan 397 undi, tetapi hanya ada 270 perwakilan yang hadir, kata surat itu.
Kedua-duanya berkata mereka akan merujuk perkara tersebut kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan. – 28 November, 2019.
Komen