PENGERUSI dan timbalan pengerusi tetap sayap Pemuda PKR masih sah dalam jawatan dan pemecatan mereka oleh majlis pimpinan pusat (MPP) sayap dibuat tanpa mengikut peraturan yang betul, kata Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Hilman Idham.
Katanya, MPP AMK tiada kuasa untuk melucutkan jawatan pengerusi dan timbalan pengerusi tetap sayap itu kerana jawatan mereka dipilih oleh kongres nasional, yang juga kuasa tertinggi dalam parti.
“Saya menggesa kepimpinan parti segera bertindak untuk menarik semula surat perlucutan tersebut memandangkan ianya dengan jelas telah melanggar peruntukan-peruntukan yang termaktub dalam Perlembagaan Parti Keadilan Rakyat dan Peraturan Tetap AMK Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ketua AMK Akmal Nasir semalam mengesahkan Muhamad Mizan Adli Mohd Noor dan Mohd Ramly Ahmad masing-masing dilucutkan jawatan sebagai pengerusi dan timbalan pengerusi tetap sayap Pemuda, seminggu menjelang kongres nasional yang akan berlangsung di Melaka.
Katanya, mereka telah terlebih had umur untuk memegang jawatan itu, iaitu 35 tahun sebagai anggota AMK.
Pelucutan jawatan itu dimaklumkan kepada mereka oleh setiausaha sayap, Ahmad Syukri Md Razab melalui sepucuk surat bertarikh 27 November.
Hilman dalam kenyataannya bagaimanapun menegaskan had umur itu tidak terpakai ke atas pemegang jawatan sehingga tamat tempoh khidmat, mengikut peraturan tetap AMK.
Katanya, Syukri cuba memesongkan fakta untuk menghalalkan pelucutan jawatan itu dengan merujuk satu peruntukan tetapi menyembunyikan peruntukan yang lain.
Sementara itu, Syukri dalam reaksi balas berkata peruntukan umur kekal itu tidak terpakai kerana Mizan dan Ramly sudah melebihi had umur 35 tahun semasa pemilihan pada November tahun lalu.
“Semasa pemilihan Pengerusi Tetap dan Timbalan Pengerusi Tetap dijalankan pada 16 November 2018, Mizan Adli sudah berumur 35 tahun, manakala Mohd Ramly pula sudah berumur 38 tahun,” katanya.
Hilman juga mempertikaikan dakwaan Syukri yang mendakwa jumlah undi keseluruhan bagi pemilihan dua jawatan itu pada November tahun lalu melebihi jumlah perwakilan ke kongres AMK yang layak mengundi.
Katanya, keputusan pemilihan yang dilaksanakan oleh jawatankuasa pemilihan parti (JPP) sudah disahkan dalam Kongres Nasional PKR 2018.
“Wibawa dan integriti JPP harus dipertahankan,” katanya.
Semalam, Mizan dan Ramly memberi amaran tindakan ke atas mereka itu bakal menyebabkan PKR dikenakan tindakan oleh pendaftar pertubuhan termasuk diharamkan seperti Umno pada akhir 1980-an.
Di bawah Seksyen 3A Akta Pertubuhan 1966, pendaftar pertubuhan mempunyai kuasa luas untuk menguatkuasakan peruntukan di bawah akta berkenaan.
Semalam, bekas timbalan ketua AMK Dr Afif Bahardin juga menyifatkan pelucutan jawatan pengerusi dan timbalan pengerusi tetap sayap Pemuda PKR sebagai tidak demokratik dan satu tindakan pengecut.
Katanya, umur tidak pernah jadi isu kerana sayap itu pernah dipengerusikan oleh Mat Shuhaimi Shafie dan Azmizam Zaman Huri semasa mereka berumur lebih 35 tahun. – 29 November, 2019.
Komen