Kad kredit Zahid dicaj RM40,000 pada lawatan luar negara, kata saksi


Timothy Achariam

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berdepan 12 pertuduhan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM117 juta. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 21 November, 2019.

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu yang kad kredit Ahmad Zahid Hamidi dicaj sebanyak RM40,000 ketika lwatan ke Seoul, Korea Selatan dan Kiev, Ukraine pada 2014 dan 2015 ketika beliau menjadi timbalan perdana menteri.

Naib Presiden Maybank Anoop Singh A/L Gulzara Singh dalam keterangannya pada perbicaraan kes Zahid hari ini memberitahu mahkamah yang presiden Umno itu mempunyai dua keping kad kredit dan satu kad caj dengan bank itu- sekeping Visa Platinum, sekeping Mastercard Gold dan sekeping kad Platinum American Express.

Beliau memberikan butiran kad pada 26 Mei 2015, kad American Express dicaj sebanyak RM30,635.80 untuk transaksi di dua buah kedai dan sebuah pasar raya di Seoul, Korea Selatan.

Terdapat juga caj tambahan untuk transaksi runcit lain sebanyak RM1,810.66 di negara itu.

Anoop Singh, yang merupakan saksi pendakwaan kesembilan dipanggil memberi keterangan berkaitan semua transaksi kad kredit yang dibuat Zahid antara tahun 2014 dan 2015.

Beliau juga memaklumkan mahkamah yang Zahid membuat beberapa transaksi runcit lain di Kiev, Ukraine berjumlah RM7,604.90.

Saksi bagaimanapun tidak memberikan butiran lanjut transaksi di luar negara itu.

Kes didengar Hakim Collin Lawrence Sequerah dengan Raja Rozela Toran dan Lee Seng Fatt menjadi pendakwa raya.

Transaksi di Kiev dibuat ketika Zahid dan ketua polis negara ketika itu Khalid Abu Bakar ke Ukraine untuk siasatan lanjut nahas penerbangan Malaysia Airlines MH17.

Saksi kelapan pendakwaan Muhammad Nabil Saleh pula memberi keterangan yang pada 2012, Zahid memintanya menjadi ahli pemegang amanah Yayasan Akalbudi.

Nabil berkata selaku pemegang amanah sejak 2012, beliau tidak pernah diajak berunding tentang derma, perbelanjaan, penyata kewangan atau mana-mana aktiviti yayasan.

“Perkara itu diputuskan dan diuruskan sendiri oleh Ahmad Zahid Hamidi dan diluar pengetahuan saya,” katanya.

Nabil ditanya peguam Ahmad Zaidi Zainal adakah beliau tahu yang Zahid menggunakan dana untuk membayar pegawai penyelamat Malaysia ketika tragedi MH17.

“Adakah awak tahu yang Zahid menggunakan dana untuk membayar semua kos makanan, penginapan, elaun dan lain-lain pegawai penyelamat Malaysia ketika tempoh itu?” tanya Zaidi.

“Tidak, saya tidak tahu tentang perkara itu,” kata Nabil.

Nabil berkhidmat sebagai pegawai khas Zahid untuk Parlimen Bagan Datuk daripada 2013 sehingga 2015, mengakui ada sebahagian dana Yayasan Akalbudi digunakan untuk pembinaan masjid, rumah anak yatim dan sekolah tahfiz di Seberang Prai, Pulau Pinang.

Zahid berdepan 12 pertuduhan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM117 juta.

Menurut kertas pendakwaan, Zahid dituduh menggunakan wang yayasan itu membayar hutang kad kreditnya.

Perbicaraan diteruskan Isnin depan. – 21 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen