Keputusan permohonan Najib tangguh bicara kes pinda laporan audit 1MDB hari ini


Bede Hong Timothy Achariam

Najib Razak dituduh menggunakan kedudukannya dengan mengarahkan pindaan pada laporan akhir pengauditan 1MDB sebelum laporan itu dimuktamadkan dan dibentangkan kepada PAC pada 2016. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 November, 2019.

PERBICARAAN ketiga Najib Razak, bagi kes pindaan laporan akhir pengauditan 1Malaysia Development Bhd (1MDB), bermula hari ini walaupun mahkamah terlebih dahulu perlu memberi keputusan atas permohonan bekas perdana menteri itu untuk menangguhkannya.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohamed Zaini Mazlan akan memberi keputusan itu pagi ini, sama ada untuk membenarkan perbicaraan ditangguhkan sehingga 13 Januari tahun depan.

Rabu lepas, pasukan peguam Najib memberitahu mahkamah mereka memerlukan sedikit masa untuk membuat persiapan membela diri bagi pertuduhan yang dihadapinya dalam kes SRC International, di mana beliau dituduh menyeleweng RM42 juta dana awam.

Bagaimanapun, bekas CEO 1MDB Arul Kanda Kandasamy yang dituduh bersubahat dengan Najib meminda laporan audit 1MDB membantah permohonan untuk menangguhkan perbicaraan.

“Saya fikir adalah tidak adil bahawa semua orang bercakap tentang kepentingan semua orang dan dia hanya mengikut orang lain. Mahkamah harus melihat kepentingan semua tertuduh dan bukan hanya seorang tertuduh.

“Justeru, berdasarkan itu, saya membantah dan meminta mahkamah menolak permohonan ini dan perbicaraan bermula pada Isnin,” kata peguam N. Sivanathan yang mewakili Arul Kanda kepada mahkamah.

Najib, 66, dituduh menggunakan kedudukannya dengan mengarahkan pindaan pada laporan akhir pengauditan 1MDB sebelum laporan itu dimuktamadkan dan dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC). Beliau di tuduh melakukan kesalahan itu di Pejabat Perdana Menteri antara 22 Februari dan 26 Februari 2016.

Arul Kanda, 43, dituduh bersubahat dengan ahli Parlimen Pekan itu.

Bekas CEO 1MDB Arul Kanda Kandasamy, 43, yang dituduh bersubahat dengan Najib meminda laporan audit 1MDB membantah permohonan untuk menangguhkan perbicaraan.  – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 November, 2019.

Perbicaraan telah ditetapkan bermula hari ini sehingga 29 November dan dari 13 hingga Januari tahun depan. Seramai 30 saksi akan dipanggil untuk memberi keterangan.

Pasukan pendakwaan akan diketuai oleh bekas hakim Mahkamah Persekutuan Gopal Sri Ram dan dibantu Timbalan Pendakwa Raya Mohd Akram Gharib.

Najib diwakili barisan peguam pembelaan yang terdiri daripada Muhammad Shafee Abdullah, Harvinderjit Singh, Wan Aizuddin Wan Mohammed, Muhammad Farhan Muhammad Shafee and Syahirah Hanapiah.

Selain Sivanathan, Arul Kanda juga diwakili oleh peguam Jasmine Cheong dan Dhanyaa Shreeya Sukumar.

Di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 tertuduh boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Arul Kanda didakwa bersubahat dengan Najib meminda laporan audit itu untuk melindungi bekas perdana menteri itu dikenakan sebarang tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB, di tempat dan masa sama mengikut Seksyen 28(1) (c) Akta SPRM 2009 dibaca bersama Seksyen 23 (1) dan 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman sama, jika sabit kesalahan.

Keseluruhannya, Najib menghadapi 42 pertuduhan bagi lima perbicaraan kes jenayah.

Bagi perbicaraan yang belum dimulakan, Najib dihadapkan dengan enam tuduhan jenayah pecah amanah melibatkan RM6.6 bilion dana kerajaan yang dibayar untuk melangsaikan hutang dengan International Petroleum Investment Company (IPIC) milik Abu Dhabi dan tiga tuduhan pengubahan wang haram melibatka RM27 juta dana SRC International. – 18 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen