Pengundi Tanjung Piai dinasihatkan keluar awal


Pengerusi SPR Azhar Azizan Harun berkata pengundi dinasihatkan tidak memilih untuk keluar mengundi pada saat akhir. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 November, 2019.

PENGUNDI bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai Sabtu ini dinasihatkan supaya keluar mengundi pada awal pagi serta tidak memilih untuk keluar mengundi pada saat akhir.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Azizan Harun dalam kenyataan hari ini berkata SPR menyeru semua pengundi bagi PRK itu untuk keluar melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai pemilih berdaftar.

“Pengundi dinasihatkan merancang masa dan keluar pada awal pagi serta tidak memilih untuk keluar mengundi di saat-saat akhir walaupun waktu mengundi ditetapkan dari 8 pagi hingga 5.30 petang,” katanya.

Beliau mengingatkan pengundi supaya membawa kad pengenalan dan kad pengundi atau catatan maklumat pengundian serta menunjukkannya kepada Kerani Pengundian Pertama (KP1) di saluran bagi memudahkan KP1 untuk membuat semakan nama pengundi serta membantu kelancaran proses pengundian.

“Selain itu, pengundi juga dinasihatkan tidak menyerahkan kad pengenalan mereka kepada mana-mana pihak selain daripada petugas pilihan raya,” katanya.

Beliau juga menyarankan kepada pengundi yang tidak menerima kad pengundi kerana berkemungkinan telah berpindah atau belum mengetahui maklumat pengundian untuk membuat semakan lebih awal sebelum hari mengundi.

“Semakan boleh dibuat melalui saluran-saluran seperti portal semakan daftar pemilih https://pengundi.spr.gov.my; menerusi aplikasi MySPR Semak; menghubungi hotline SPR di talian 03-88927018; atau SMS ke 15888 dengan menaip SPRSEMAKNO. KAD PENGENALAN.

“Semasa membuat semakan, pengundi disarankan untuk mencatat dan menyimpan maklumat berkenaan pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan pemilih,” tambahnya.

Seramai 52,698 daripada 52,986 pengundi biasa layak mengundi pada Sabtu ini. Seramai 227 orang telah mengundi secara pos.

PRK Parlimen Tanjung Piai menyaksikan pertembungan enam penjuru melibatkan calon Pakatan Harapan Karmaine Sardini, calon Barisan Nasional Dr Wee Jeck Seng, Dr Badhrulhisham Abdul Aziz mewakili Barisan Jemaah Islamiah, Wendy Subramaniam daripada Gerakan serta dua calon Bebas iaitu Dr Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya iaitu timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Md Farid Md Rafik akibat komplikasi jantung pada 21 September lepas. – Bernama, 14 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen