Buku haram: Di mana penulis muda?


ZF Zamir

BARU-BARU ini, kita mendapat berita beberapa buah buku telah diwartakan haram melalui Warta Kerajaan Persekutuan bertarikh 28 September yang ditandatangani Menteri Dalam Negeri, Ahmad Zahid Hamidi.

Antara buku tersebut termasuk koleksi esei Faisal Tehrani bertajuk “Aku __, Maka Aku Ada!”, “Islam Tanpa Keekstreman: Berhujah Untuk Kebebasan” oleh Mustafa Akyol serta dua jilid “Wacana Pemikiran Reformis” terbitan Islamic Reinassance Front (IRF). Empat buku itu diharamkan bersama-sama 10 terjemahan Al-Quran, termasuk 4 penerbitan berasaskan terjemahan oleh penterjemah terkemuka kelahiran India, Abdullah Yusuf Ali.

Malah untuk Faisal Tehrani, bukunya yang diharamkan itu adalah buku ke-7 yang dikenakan tindakan oleh kerajaan Malaysia.

Yang sebenarnya berlaku ialah kita tidak lagi terkejut dengan berita-berita seperti ini. Harian Metro pada 2 Ogos 2017 melaporkan “KDN haram lapan terbitan,” Berita Harian pada 21 Ogos “KDN larang 18 penerbitan,” dan pada 30 Mac “KDN haram 19 penerbitan”. Pada 24 November 2016, tajuk beritanya berbunyi “KDN larang 21 penerbitan”, 9 September 2016 “KDN haram 4 buku…”, 1 Jun 2016 “KDN haram 3 buku…” dan ini boleh diteruskan.

Sehingga hari ini ribuan buku telah diharamkan, ribuan penulis disenyapkan dan ratusan penerbit telah dilarang. Sebagai seorang pengarang, saya fikir ini sesuatu yang sukar sekali diterima.

Malangnya, ada perkara lain yang lebih sukar diterima iaitu di mana suara penulis ketika semua ini berlaku? Mengapa pengharaman buku ini dibenarkan?

Daripada 13 Sasterawan Negara, hanya A. Samad Said yang bangun bersuara dan mempertahankan Faisal Tehrani. Daripada puluhan persatuan penulis termasuk persatuan penulis dari setiap negeri mahupun persatuan penulis di peringkat nasional, tiada satu pun suara yang mempersoalkan tindakan pihak berkuasa mengharamkan buku ini.

Di mana lambakan penulis muda dan penerbit baru yang berkobar-kobar sedang merancakkan industri buku di negara ini ketika ini semua berlaku?

Demokrasi tipu

Sebenarnya yang sedang berlaku ialah terorisme terhadap hak asasi penulis. Henry Giroux dalam temuramahnya di Truthout bertajuk ‘On State Terrorism & Ideological Weapons of Neoliberalism’ menegaskan salah satu tanggungjawab penulis adalah untuk memahami bagaimana proses pembelajaran terbentuk daripada mekanisme melalui identiti individu dan kolektif yang dibentuk mengikut kehendak politikal.  

Ini boleh dilihat melalui trend pengharaman buku-buku yang melibatkan dua identiti bangsa kita iaitu agama dan fahaman politikal. Ini bermakna, hanya satu jalur pemikiran sahaja yang dibenarkan.

Kata Giroux lagi, hari ini demokrasi sebenarnya adalah ekspresi kosong berupa pseudo-patriotisme. Demokrasi telah dipadamkan maksud sebenarnya dan hanyalah ritual yang memualkan. Malah lebih menyakitkan, kesemua buku yang diharamkan ini tidak melalui proses perbincangan ilmiah ataupun pertembungan intelektual antara penguatkuasa yang berkuasa dengan penulis ataupun penerbit.

Dalam bahasa mudahnya, pengharaman buku yang berlaku hari ini hanyalah sejenis kebebasan versi masyarakat berasaskan pasaran yang memijak-mijak mereka yang lemah oleh mereka yang kuat atau dalam bahasa lainnya – totalitarianisme.

Memang pada awalnya kita rasa bebas untuk menulis dan berekspresi. Tetapi sebenarnya yang berlaku adalah sebaliknya. Salah satu buku yang diharamkan pada 2014 adalah sebuah novel bertajuk Perempuan Nan Bercinta.

Persoalannya, apakah pada zaman pasaran bebas hari ini penulis fiksyen masih tertakluk dengan undang-undang yang menetapkan jenis fiksyen apakah yang boleh mereka tulis? Mengapa perlunya sebuah ketetapan oleh pihak berkuasa untuk mengajar dan meletakkan garis pemisah antara subjek yang boleh ditulis dengan subjek yang dilarang untuk ditulis oleh penulis?

Lebih membingungkan, ia berlaku terhadap genre fiksyen. Dalam genre ini sepatutnya penulis mempunyai tiket khas iaitu imaginasi dan persoalan yang perlu dijawab adalah – apakah pada masa depan penulis muda kita juga perlu berdepan dengan undang-undang dan tatacara untuk menulis hanya sebuah fiksyen dari pemerintah?

Keganasan dan terorisme struktural seperti inilah yang sedang kita, warga penulis di negara ini, hadapi sekarang. Polisi-polisi untuk melemahkan sesetengah institusi sedang dirangka dan sedang dijalankan.

Giroux menegaskan lagi, hari ini, dominasi oleh mereka yang berkuasa bukan sahaja dilaksanakan melalui struktur ekonomi. Ia juga sedang giat digerakkan dalam bentuk identiti, nilai dan hubungan sosial untuk memenuhkan keperluan masyarakat pasaran bebas.

Dalam bahasa mudahnya, golongan elit yang berkuasa telah berjaya meniru institusi yang boleh membentuk identiti berdasarkan pasaran dan dalam masa yang sama telah menghapuskan institusi yang boleh menghasilkan budaya maklumat kritikal.

Kejahilan yang direka cipta

Sebenarnya kejahilan yang sedang kita hadapi hari ini adalah hasil reka cipta pemerintah yang mahukan hanya satu jalur pemikiran dalam masyarakat dan hanya beberapa identiti palsu yang boleh digunakan untuk dipakai sebagai topeng budaya oleh bangsa kita.

Untuk memastikan kita semua kekal jahil dalam identiti palsu dan topeng palsu ini, budaya konsumerisme dan budaya selebriti diperkenalkan untuk mengalih tumpuan masyarakat daripada kewarganegaraan berasaskan solidariti kepada masyarakat berasaskan konsumerisme.

Buktinya, tiada solidariti terhadap penulis yang diharamkan bukunya oleh kerajaan. Masyarakat penulis dan dunia penulisan tetap hidup aman dan damai, bekerja seperti biasa malah kolum-kolum di dada akhbar dihiasi penuh dengan acara memabukkan seperti Akademi Fantasia Megastar.

Giroux melihat semua ini dalam kerangka bahawa konsumerisme mengehadkan keperluan warganegara untuk beraksi dalam tanggungjawab sosial.

Untuk para penulis yang sedang dipukau ini, nilai sosial hanyalah aktiviti privasi yang tidak memerlukan solidariti. Masalah sistemik di dalam ruang separa sedar penulis dan pegangan mereka ini akhirnya menjelaskan mengapa kebanyakan buku yang dihasilkan pada hari ini tidak lagi berupaya untuk mencabar status quo ataupun menyelesaikan masalah sosial masyarakat. 

Serangan ideologi

Untuk para penulis, serangan yang dijalankan pada hari ini adalah serangan ideologi, menggunakan kekuatan institusi-institusi kerajaan dan jentera oleh pihak berkuasa untuk menutup kebebasan ekspresi dan daya kreativiti untuk melumpuhkan kemampuan berfikir masyarakat.

Apabila seorang penulis berjaya didiamkan dan ribuan buku berjaya diharamkan, ruang publik berjaya dikawal dan masyarakat tidak akan mendapat akses kepada ruang berfikir yang lebih baik. Dalam bahasa mudahnya, jika pihak berkuasa berjaya mengawal penulis, masyarakat lebih mudah untuk dibentuk mengikut acuan golongan elit sesuka hati mereka.

Senjata ini amat berkesan hari ini, sehingga keganasan terhadap ideologi ini tidak lagi disedari oleh golongan penulis muda kita. Penulis muda kita semuanya menemukan kebebasan dalam berkarya dan tidak lagi sedar sebenarnya hari ini, mereka hanyalah berlegar-legar dan berpusing menulis mengikut acuan dalam kerangka yang hanya dibenarkan oleh golongan elit yang memerintah, iaitu sekumpulan kecil orang yang berusaha untuk mengawal pemikiran masyarakat mengikut fahaman sempit mereka.

Ribuan tajuk terbit saban bulan, dan ratusan penulis muda tumbuh setiap hari ketika mereka menulis di Facebook atau Wattpad. Tetapi tidak ada satu pun anak muda yang bangkit berdiri ketika yang lain dipaksa duduk dan menurut.

Mereka menganggap, dalam bahasa pemikiran mereka yang simplistik, tidak menunjukkan sikap terhadap pengharaman buku hari ini juga adalah sejenis penyataan sikap – tanpa menyedari ketika mereka bersikap untuk bersama-sama dengan pihak berkuasa dalam hal ini, mereka telahpun menjadi tawanan dalam perang ideologi ini.

Zaman kacau

Haidar Bagir di dalam buku terbarunya, Islam Tuhan, Islam Manusia menulis secara spesifik mengenai zaman sekarang yang disifatkannya sebagai ‘zaman kacau’. Menurutnya, masyarakat hari ini menjadi sasaran ‘misinformasi’ & ‘disinformasi’ akibat gejala ‘information spill over’.

Kesannya, masyarakat yang lahir hari ini adalah masyarakat yang ‘depressed’ kerana kemajuan sains & teknologi menghasilkan kehampaan psikologi dan spiritual.

Tulis Haidar Bagi lagi: “Maka, banyak orang, karena tak lagi punya waktu dan energi untuk meng-‘engage’ berbagai pemikiran dan informasi yang membanjir itu, berusaha mencari pegangan keyakinan yang simplistik dan instant.”

Termasuklah penulis muda, yang hari ini kerjanya saban hari mengira bilangan followers di media sosial, pegangan dan keyakinan bukanlah sesuatu yang mustahak untuk difikirkan. Tetapi sejarah menunjukkan, buku adalah ubat pembodohan, dan upaya menghancurkan buku sebenarnya adalah upaya menghancurkan sejarah.

Fernando Baez di dalam Penghancuran Buku mengingatkan kita semua: “Buku adalah perlembagaan ingatan yang kekal, yang harus dipelajari sebagai kepingan kunci dari warisan budaya suatu masyarakat.”

Beliau menyambung: “Buku dihancurkan bukan sebagai objek fizikal, melainkan sebagai tautan ingatan salah satu tiang identiti manusia atau masyarakat… tidak wujud identiti tanpa ingatan. Jika kita tidak ingat siapa kita, kita tidak akan mengenal siapa diri kita.”

Sebagai penulis, perang yang sedang kita hadapi pada zaman kacau ini adalah perang ideologi untuk menghapuskan sejarah dan budaya berfikir di dalam masyarakat. Sebagai penulis, kita semua bertanggungjawab untuk melawan naratif besar yang sedang dipaksakan ke dalam pemikiran kita.

Atau bersiap sedialah untuk kalah dalam perlawanan ini dan sujudlah menjadi hamba kepada penguasa – ketika itu nanti kita sebagai penulis mungkin tidak lagi dibenarkan untuk menulis, hatta fiksyen sekalipun!

 

* Ini adalah pendapat penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insight.

* ZF Zamir ialah penulis buku ‘Sekolah Bukan Penjara, Universiti Bukan Kilang’ dan pengasas bersama NGO Teach For The Needs (TFTN) dan The Wakaf Buku (TWB). Sebelum ini juga beliau mengetuai badan penerbitan Thukul Cetak sehingga 2017 sebelum meletakkan jawatan sebagai CEO untuk meneruskan projek terbaru beliau iaitu Akademi Thukul.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen