Tembok Berlin dan politik identiti


TIGA tahun lalu, dunia seolah-olah terhenti pada 9 November, ketika semua tertumpu kepada keputusan pilihan raya Presiden Amerika Syarikat ke-45.

Calon kontroversi Republikan, Donald Trump menyanggah ramalan awal apabila memenangi perebutan jawatan yang dianggap terulung di dunia daripada Hillary Clinton. 

Pelbagai analisa dan rumusan dibuat oleh pelbagai pihak, pakar ekonomi dan politik, sehingga rakyat bawahan di kedai kopi. 

Polarisasi sokongan kelihatan ketara di Amerika Syarikat, tidak lama sejak dua penggal sebelum itu pertama kalinya melantik dan mengekalkan seorang presiden berkulit hitam. 

Kempen politik Trump bersandarkan sentimen yang penuh prejudis, xenofobia dan kebencian berasasnya identiti ras dan agama. 

Ini menimbulkan persoalan sama ada negara yang sering didakwa polis dunia dan jaguh demokrasi itu sedang menuju ke belakang.

9 November juga merupakan tarikh penting dalam pergolakan Perang Dingin (Cold War). ‘Kedinginan’ yang beransur hilang pada tahun 1989 rentetan runtuhnya Tembok Berlin, mercu pertembungan idealogi Barat dan Komunis sepanjang hampir 40 tahun selepas berakhirnya Perang Dunia ke-2. 

Keruntuhan ini disimbolikkan dengan pengumuman Parti Komunis Jerman Timur (East German Communist Party) yang membenarkan warga German Democratic Republic (GDR) atau Jerman Timur untuk menyeberangi tembok yang mereka gelarkan dalam bahasa Jerman “Antifaschistischer Schutzwall“ ke bahagian Berlin Barat.

Nazi Jerman diingati sebagai penyumbang kepada tragedi kemanusian yang paling besar dalam lipatan sejarah dunia. Ironinya, Nazi bangkit dengan memulakan Perang Dunia ke-2, membantai bangsa Yahudi di Eropah dengan projek holocaust, menguasai sebahagian besar Eropah dalam tempoh singkat dan mengaibkan empayar Britain dengan pengunduran di Dunkirk. 

Namun demikian, kekalahan demi kekalahan di dua penjuru Eropah yang bermula di pantai Normandy dan kejatuhan Third Reich di kota Berlin yang hangus merupakan titik-titik penting kejatuhannya.

Seusai dikalahkan dalam perang pada tahun 1945, bangsa Jerman tidak mampu untuk pulih dan terus menikmati keamanan. 

Persaingan dua blok kuasa ideologi dunia antara kuasa perikatan khususnya Amerika Syarikat dan Kesatuan Soviet menghimpit Jerman dalam pertembungan ideologi yang kejam. 

Di kota Berlin, keluarga, rakan dan saudara dipisahkan oleh sempadan geografi ciptaan manusia yang berkongsi budaya dan bahasa yang sama.

Penyatuan bangsa Jerman, bermula dengan keruntuhan Tembok Berlin, mengakhiri pemisahan hubungan sesama manusia disebabkan ideologi politik, dan sehingga kini Jerman diiktiraf sebagai salah satu kuasa politik dan ekonomi dunia. 

Tahap demokrasi dan hak asasi juga meningkat. Malahan Angela Merkel, Canselor Jerman juga antara yang terawal menawarkan perlindungan kepada pelarian-pelarian daripada krisis Syria.

Jerman tidak tersinggung untuk menulis sejarahnya yang pahit dan hitam. Mengaku dengan jujur merupakan satu konsensus bagi membawa negara terus ke hadapan tanpa terbeban dengan legasi. 

Bagi Amerika Syarikat pula tidak sukar menulis sejarahnya, kerana ia berada di pihak yang menang dalam menentang tirani dan kezaliman.

Amerika Syarikat kini di persimpangan. Tidak berapa lama selepas kejayaan gerakan hak civil atau “civil right movement” abad lalu berhasil menuntut keadilan hak warga bukan kulit putih. 

Hakikatnya, rakyat di negara itu masih lagi dihantui dengan falasi hirarki keturunan dan kaum. Lebih daripada itu, pemenang hadiah Nobel, Paul Krugman meluahkan kebimbangan bahawa negara itu kini mungkin menuju sebuah negara yang gagal  “failed state and society”.

Apakah yang menjelaskan pemisahan ini? Ahli ekonomi dan saintis politik, Fukuyama berpendapat pengembangan Identity Politics - pandangan politik berasaskan agama, etnik dan gender kini mencabar demokrasi secara konfrontasional. 

Hal ini yang diistilahkah oleh Fukuyama sebagai New Tribalism mencetuskan krisis demokrasi dalam dunia Barat.

Tahun ini genap 30 tahun runtuhnya tembok Belin, krisis demokrasi bukan lagi dilihat kepada kepincangan proses pilihan raya. 

Krisis demokrasi kini berpusat sekitar maudu’ dan kupasan identiti. Lebih parah, agama dan etnik menjadi segala-galanya kepada pertimbangan dan asas keputusan. 

Apakah warna kulit kau dan agama kau - menjadi jualan yang sangat laris oleh para politikus.

Kita melihat dengan jengkel sikap Trump terhadap golongan minoriti agama dan warna kulit di Amerika Syarikat. 

Kita bingung dengan kebangkitan golongan haluan far-right dan white supremacy di Eropah. Kita juga hampa dengan kemunculan golongan yang anti imigran dan anti Islam Jerman. 

Namun tanpa kita sedar, kita juga bermain dengan politik identiti secukup rasa? – 13 November, 2019.

*Urwah Saari adalah pembaca The Malaysian Insight*

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen