Tahanan Ops Lalang menunggu maaf Dr Mahathir


Bede Hong

Kua Kia Soong masih ingat hari-hari gelap ketika ditahan di bawah Operasi Lalang dan semua haknya yang dinafikan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 23 Oktober, 2017.

TANGGAL 27 Oktober ini genap 30 tahun Operasi Lalang. Pada tarikh itu tiga dekad yang lalu 106 orang ditahan tanpa bicara manakala lesen penerbitan tiga buah akhbar ditarik balik. Episod itu kekal jadi peringatan tentang apa yang boleh berlaku sekiranya tidak ada sistem semak dan imbang. Episod itu meninggalkan parut yang dalam pada jiwa Malaysia. Sebagai mengenang hari itu, The Malaysian Insight menemu bual mereka yang terlibat — tahanan dan ahli keluarga, warden pusat tahanan dan polis.

INI sesuatu yang Kua Kia Soong tidak boleh faham: Kita minta maaf kalau terlanggar seseorang atau kalau buat kesilapan yang kecil tetapi susah sangat hendak meminta maaf kerana memporak-perandakan hidup 106 orang.

Hidup mereka yang ditahan tanpa bicara di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) memang porak peranda. Mereka diugut, dinafikan tidur, ditekan secara psikologi dan dipaksa untuk membayangkan yang buruk-buruk tentang ahli keluarga.

Mereka dikurung bersendirian selama berjam-jam, tanpa tahu siang atau malam. Kenapa? Hanya kerana sangkaan atau ancaman yang dibuat-buat bahawa keselamatan negara dalam bahaya.

Sampai ke hari ini, Kua masih ingat hari-hari gelap ditahan di bawah Operasi Lalang. Atas alasan inilah, katanya permohonan maaf kerana penahanan 106 orang di bawah ISA itu mustahak dalam apa juga perbincangan mengenai Operasi Lalang 1987.

Kua, aktivis, pengarang, pendidik dan bekas wakil rakyat DAP, tidak teragak-agak menyalahkan Dr Mahathir Mohamad, perdana menteri dan menteri dalam negeri pada masa itu.

“Kalau Dr Mahathir datang kepada saya minta maaf dan saya tidak terima, bolehlah kata ada sesuatu yang tidak kena dengan saya,” kata Kua dalam satu wawancara dengan The Malaysian Insight.

“Tetapi Dr Mahathir sehingga ini masih enggan minta maaf dan mengatakan beliau tidak bertanggungjawab,” katanya.

Kua, 68, ditahan dua kali di bawah ISA. Pertama, pada 1987 dan kali kedua selepas terlibat dalam Persidangan Asia Pasifik mengenai Timor Timur yang kedua pada 1996.

Kua baru-baru ini mengulangi gesaan agar Dr Mahathir meminta maaf dan menegaskan sebagai menteri, beliau bertanggungjawab terhadap apa yang terjadi.

Pada 27 Oktober 1987, seramai 106 orang termasuk ahli politik, aktivis dan ahli akademik ditahan tanpa bicara di bawah ISA.

Kua sendiri ditahan selama 445 hari.

“Sesetengah mereka yang dibebaskan sebelum 60 hari pertama memuji polis dan ada yang dapat sambutan hari jadi semasa dalam tahanan. Ada juga yang keluar dan kata polis baik dengan mereka.

“Ada juga yang didera,” kata Kua, dan menambah beliau percaya kebanyakan ahli politik tidak didera secara fizikal.

“Bagi sesetengah orang, ditahan di bawah ISA itu satu kehormatan untuk dipakai dalam kerjaya politik mereka. Mereka boleh kata ‘Saya maafkan Dr Mahathir’ walaupun beliau tidak pernah minta maaf,” katanya.

Kua merupakan ahli Parlimen Petaling Jaya Utara antara 1990 hingga 1995 sebelum keluar DAP. Beliau kemudian jadi pengarah dan penasihat kepada Suara Rakyat Malaysia (Suaram) yang berjuang memansuhkan undang-undang tahanan tanpa bicara ini.

Menurut Kua, tindakan kerajaan itu mendapat kritikan hebat antarabangsa, termasuk daripada bekas perdana menteri.

“Banyak yang mengatakan Dr Mahathir bertanggungjawab. Beliau bukan saja perdana menteri tetapi menteri dalam negeri. Perintah tahanan itu ditandatangani oleh menteri dalam negeri, iaitu beliau sendiri. Beliau tidak boleh kata tidak bertanggungjawab.”

Berikut petikan wawancara tersebut:

TMI: Apa yang berlaku pada hari saudara ditahan?

Kua: Ops Lalang bermula pada 27 Oktober 1987. Daripada senarai mereka yang sudah ditahan, saya tahu saya akan kena tahan. Malah, wartawan pun tahu. Pada hari pertama, Lim Fong Seng, pengerusi Dong Zong (Persekutuan Persatuan Lembaga Sekolah-Sekolah Cina Malaysia) ditahan dan kami adakan sidang media.

Semua wartawan ambil gambar saya. Saya kata tak payahlah. Mereka tahu dan saya tahu saya akan ditahan pada malam nanti. Saya telefon isteri saya dari Dewan Perhimpunan Cina dan beritahu padanya, ia sudah bermula. Kami tahu ia akan berlaku.

Pada malam itu, saya tidak dapat tidur maklumlah menunggu polis Cawangan Khas datang pada bila-bila masa. Tidak lama kemudian, lebih kurang pukul 2 pagi, mereka datang. Dua buah kereta, antara lapan hingga 12 anggota.

Dua inspektor datang ke pintu. Menariknya ialah mereka beri saya sekeping borang yang tertulis “anda boleh jadi/adalah/akan jadi ancaman kepada keselamatan negara”. Mereka minta saya tanda tangan. Saya berita saya tidak akan tanda tangan kerana saya tidak fikir saya ancaman kepada negara.

TMI: Apa jadi semasa tahanan?

Kua: Tempoh 60 hari pertama itu menyukarkan. Sebaik saja keluar dari pintu sel, mereka beri cermin mata gelap yang akan menutup pandangan. Sepanjang jalan sampai ke bilik soal siasat kita tidak nampak apa-apa.

TMI: Adakah pegawai yang sama yang menyoal siasat?

Kua: Ada beberapa orang yang menyoal siasat. Semasa soal siasat, mereka bertukar-tukar, ada yang baik, ada yang garang. Itu strategi yang mereka gunakan. Sekali sekala, akan ada polis yang baik yang datang dan kata “Oh, kita faham keadaan anda, blah blah blah.”

Tempoh 60 hari adalah masanya mereka kacau-bilaukan deria supaya kita mengaku salah. 60 hari adalah masanya untuk mengenang hidup kita sendiri sejak bayi. Banyak masa untuk mengenang dan menyesal.

Soal siasat itu adalah untuk buat kita menyesal, untuk buat pengakuan di televisyen. Kita akan ada banyak masa untuk mengenang masa lalu. Anak-anak saya ketika itu masih kecil. Anak lelaki saya masuk sekolah, saya terlepas hari pertama dia ke sekolah.

TMI: Apa yang saudara mahu sekarang?

Kua: Kami mahukan permintaan maaf yang bersungguh-sungguh, bukan sambil lewa, meminta maaf atas apa yang beliau (Dr Mahathir) buat. Kami bukan sasaran sebenarnya pada 1987. Menahan kami adalah sebahagian daripada iklim takut yang cuba beliau wujudkan pada masa itu.

Apa yang mencetuskan tindakan itu memanglah kontroversi berhubung sekolah Cina, penghantaran penyelia yang tidak layak ke sekolah Cina. Jadi ada bantahan dan sebagainya. Untuk meredakan keadaan, boleh saja tarik balik penyelia itu.

Tetapi Dr Mahathir membenarkan suasana tegang itu berkembang. Mereka menganjurkan tunjuk perasaan yang sangat tegang di Stadium TPCA di Jalan Raja Muda di Kampung Baru. Antara yang hadir ialah Perdana Menteri (Najib Razak) yang memberikan ucapan yang berbaur perkauman. Orang bawa sepanduk yang menakutkan.

Boleh lihat ini dalam Kertas Putih kerajaan, boleh lihat juga dalam buku saya. Semua itu tidak perlu. Jadi mereka tahan kami. Melancarkan Operasi Lalang sebenarnya mencipta suasana takut supaya beliau boleh menyerang badan kehakiman yang merupakan sasaran sebenar Dr Mahathir apabila memecat Ketua Hakim (Salleh Abas) dan beberapa hakim mahkamah agung yang lain.

Kenapa beliau buat begitu? Pada masa itu, Kumpulan B Umno di bawah Tengku Razaleigh Hamzah mencabar Kumpulan A di mahkamah. Salleh sudah memanggil panel penuh Mahkamah Agung untuk mendengar kes itu.

Jadi Dr Mahathir mengambil tindakan awal, pecat ketua hakim dan gantikan hakim Mahkamah Agung. Seluruh badan kehakiman trauma. Tidak hanya rakyat tetapi hakim juga. Keputusan kes Umno sepertimana yang kita tahu memihak kepada Team A (yang diketuai oleh Dr Mahathir).

Badan kehakiman sejak itu tidak lagi seperti sebelumnya. Kita masih lagi dalam era yang badan kehakimannya terjejas.

Sekiranya ahli politik Pakatan Harapan ini demokrat, mereka tentu akan mendesak Dr Mahathir meminta maaf kerana penahanan tanpa bicara adalah salah satu pencabulan hak asasi manusia yang paling buruk. Tidak ada negara demokratik di dunia yang ada tahanan tanpa bicara iaitu ISA.

Kalau saya pijak kaki saudara, saya akan minta maaf. Tetapi ini tangkap dan tahan begitu banyak orang. Pada 60 hari pertama, kamu dikurung seorang diri dalam sel tanpa tingkap, tak tahu siang atau malam.

Apa yang kami minta ialah untuk Dr Mahathir minta maaf. Tetapi apa yang mereka ini kata ‘Oh, lupakan saja sebab negara sekarang teruk’. Teruk macam mana negara ini kalau banding semasa di zaman Dr Mahathir?

TMI: Minta maaf itu bagaimana?

Kua: Minta maaf saja. Cukup kata ‘Saya minta maaf atas apa yang anda lalui, atas penderaan yang sesetengah kamu lalui’.  Apa yang kami lalui adalah penderaan mental walaupun ada merasai penderaan fizikal.

TMI: Sejauh pengalaman ditahan mengubah anda?

Kua: Saya seorang aktivis di England semasa berumur dalam 20-an, berkempen untuk pembebasan Prof Syed Hussain Ali. Walaupun saya aktivis yang berkempen menentang ISA, apabila ia berlaku pada saya, saya tidak jangka pengalamannya bagaimana. Ditarik kebebasan. 60 hari yang mengerikan.

Pengalaman itu menjadikan banyak orang paranoid. Saudara akan terperanjat sesetengah kawan saya yang jadi aktivis sebelum Operasi Lalang kemudian berhenti selepas itu. Sesetengah yang tidak ditahan pun, yang juga aktivis, mengalah dalam sekelip mata. Balik kepada hidup yang biasa.

Bagi saya, bagi Dr Nasir Hashim (Parti Sosialis Malaysia), ia tidak mengubah kami. Ia satu pengalaman sebenar ditahan, bagaimana kebebasan dirampas. Mereka yang kata tidak perlu minta maaf, mereka lupa apa rasanya jadi manusia. Kerana tahanan tanpa bicara bertentangan dengan hak asasi manusia, kerana ia sangat tidak berperikemanusiaan menahan orang tanpa memberikan mereka peluang untuk dibicarakan.

TMI: ISA digantikan dengan Sosma (Akta Kesalahan Keselamatan [Langkah-Langkah Khas] 2012), Pota (Akta Pencegahan Keganasan 2015) dan Poca (Akta Pencegahan Jenayah 2017). Apa komen saudara?

Kua: Saya penasihat Suaram dan kami berkempen menentang undang-undang ini. Sebarang undang-undang yang membenarkan tahanan tanpa bicara tidak harus ada dalam undang-undang kita.

Ada yang kata kita perlu undang-undang ini untuk tangkap pengganas dan menghalang serangan. Mereka kata begitu juga tentang ISA. Mereka gunakan undang-undang yang sama terhadap Maria Chin (pengerusi Bersih 2.0).

Kalau kes-kes ini tidak ada… Khairuddin (Abu Hassan), Matthias Chang, Maria Chin, mereka gunakan undang-undang ini terhadap mereka yang bukan pengganas.

Polis sudah membuktikan mereka tidak boleh dipercayai dengan undang-undang ini. Apabila ISA digubal pada 1960, perdana menteri pada masa itu Abdul Razak Hussein memberi jaminan ia tidak akan disalah guna.

Satu perkara tentang undang-undang anti pengganas di barat, di United Kingdom, Amerika Syarikat, Australia dan Eropah, ia tidak gunakan ke atas rakyat. Mereka gunakan ke atas orang asing. Itu sebabnya ada Teluk Guantanamo untuk warga asing di luar Amerika.

TMI: Apa pandangan saudara tentang Dr Mahathir?

Kua: Ini masanya untuk Pakatan Harapan dan Dr Mahathir menangani kleptokrasi yang sudah diinstitusikan. Mereka bercakap tentang kleptokrasi iaitu 1MDB. Tetapi apa yang mereka buat dengan kleptokrasi yang diinstitusikan yang ditubuhkan oleh Dr Mahathir sejak beliau memerintah pada 1987.

Saya tidak benci orang. Kalau saya benci, saya akan jadi lain hari ini. Saya tidak perlu membenci sesiapa. Saya tidak kritik orang seperti Dr Mahathir. Saya kritik apa yang beliau buat.

Kalau saudara sudah berkeluarga, apabila ada anak-anak dan saudara mengajar anak-anak dan mendisiplinkan anak-anak, kita mesti pastikan yang kita kritik ialah tingkah lakunya bukan orangnya. Ini perbezaan yang mustahak. Apabila saya kritik Dr Mahathir, saya kritik apa yang beliau buat.

Kalau beliau datang sini, saya akan jemput beliau untuk duduk. Tetapi saya tetap akan tanya: Apakah tidak mahu minta maaf pada saya?

TMI: Adakah masyarakat sudah belajar daripada Operasi Lalang?

Kua: Saya rasa ada. Tahukah anda berapa banyak tahanan yang ditahan di bawah ISA sejak ia diperkenalkan pada 1960 sampai 2012? Lebih daripada 10,000 orang.

Jadi sebelum Operasi Lalang, ada mereka yang dituduh oleh kerajaan sebagai komunis. Sekarang ini kita perlu tahanan tanpa bicara untuk pengganas. Senangnya. Dahulu komunis, dan mereka tangkap semua orang. – 23 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen