Dr Mahathir mesti minta maaf atas Operasi Lalang 1987, kata bekas tahanan


Dr Mahathir Mohamad yang merupakan menteri dalam negeri ketika Operasi Lalang pada 1987 bertanggungjawab menandatangani perintah penahanan di bawah ISA itu 30 tahun lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Oktober, 2017.

DR Mahathir mesti mengaku bertanggungjawab dan meminta maaf terhadap Operasi Lalang dan segala kekejaman yang berbangkit daripada tindakan pentadbirannya tiga dekad lalu, kata seorang bekas tahanan penangkapan beramai-ramai pada 1987 itu.

Penasihat Suaram, Kua Kia Soong berkata Dr Mahathir tidak boleh mengelak daripada bertanggungjawab kerana beliau adalah menteri dalam negeri pada masa itu.

“Sekiranya ada mana-mana ahli Pakatan Harapan yang bersetuju dengan Dr Mahathir, menteri dalam negeri dan perdana menteri pada 1987, bahawa beliau tidak bertanggungjawab atas Operasi Lalang, silakan tampil ke depan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kua adalah antara 106 tahanan yang ditangkap di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dalam operasi pada 27 Oktober 1987. Beliau merakamkan episod penahanannya itu dalam bukunya, 445 Days under Operation Lalang.

Dr Mahathir dijadual bersemuka dengan sebahagian bekas tahanan Operasi Lalang dalam sebuah forum di George Town, Pulau Pinang pada 28 Oktober ini.

Forum anjuran Institut Pulau Pinang itu akan menampilkan bekas tahanan, ahli keluarga mereka dan Dr Mahathir.

Menurut Kua, sejak bersara dari jawatan perdana menteri, Dr Mahathir cuba mengelak daripada tanggungjawab itu dengan mengatakan Operasi Lalang dilakukan oleh polis.

Usaha “membersihkan rekodnya” itu jadi makin mendesak sejak beliau jadi pembangkang, katanya.

Pada kemuncak kritikannya terhadap pentadbiran Perdana Menteri Najib Razak, Dr Mahathir keluar Umno dan mengasaskan parti baru, Bersatu, yang kemudian bergabung dengan parti-parti pembangkang lain dalam Pakatan Harapan. Beliau kini mempengerusikan pakatan itu.

Tetapi, kata Kua, dalam usaha mengaburi mata mereka yang mungkin tidak mengingati episod penangkapan besar-besaran ahli politik, aktivis dan ahli akademik itu, Dr Mahathir sendiri terlupa bahawa beliaulah yang menandatangani perintah penahanan di bawah ISA itu 30 tahun lalu.

Ketua polis negara tidak menandatangani perintah tahanan tersebut tetapi Dr Mahathir sebagai menteri dalam negeri.

“Semua ahli parlimen sepatutnya tahu fakta asas ini,” katanya.

Penafian Dr Mahathir itu, tambah Kua, bukan mengejutkan kerana Operasi Lalang adalah penyalahgunaan kuasa paling buruk sepanjang 23 tahun pentadbiran bekas perdana menteri itu, dalam usaha terdesak untuk kekal berkuasa.

Kua merujuk kepada krisis dalaman Umno ketika Dr Mahathir dicabar oleh Tengku Razaleigh Hamzah untuk jawatan presiden Umno pada 1987.

Kua mengingatkan tentang bagaimana isu-isu “sensitif” dimainkan ketika itu, yang katanya, bertujuan mencetuskan suasana tegang di dalam negara.

“Semua ini adalah bagi memberi justifikasi pada Operasi Lalang untuk menangani mereka yang kononnya ‘musuh’ yang dikenal pasti oleh kerajaan,” tambahnya.

Kua juga menyebut Anwar Ibrahim, yang ketika itu menteri pelajaran, sendiri pun sudah meminta maaf atas peranannya dalam pelan menyeluruh Dr Mahathir itu.

“Dr Mahathir tidak boleh lari daripada catatan sejarah,” kata Kua merujuk kepada beberapa tulisan yang merakamkan episod Operasi Lalang.

Kata Kua, Dr Mahathir mesti meminta maaf bukan saja kepada mereka yang ditahan serta atas segala pelanggaran hak asasi manusia yang berbangkit, tetapi mesti juga meminta maaf kepada mereka yang didera semasa ditahan, baik secara fizikal mahupun mental.

Jelas beliau, semua penderaan itu juga sudah dinyatakan dengan terperinci oleh beberapa tahanan antaranya Dr Nasir Hashim, Chow Chee Keong, Irene Xavier serta paderi Yeshua Jamaluddin dalam kes mahkamahnya pada Oktober 1988. – 14 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen