Dr Mahathir akan jumpa tahanan Ops Lalang dalam forum


Chan Kok Leong

Dr Mahathir Mohamad dijadual akan berdepan dengan pengkritiknya dalam sebuah forum di George Town, Pulau Pinang pada 28 Oktober ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Oktober, 2017.

PADA 1987, 106 orang ditahan tanpa bicara atas apa yang disifatkan oleh pentadbiran Mahathir pada ketika itu sebagai tindakan untuk menghalang rusuhan kaum.

Tiga puluh tahun kemudian, lebih daripada 30 tahanan itu akan bersemuka dengan Dr Mahathir Mohamad dan berbincang tentang penangkapan mereka di bawah Ops Lalang ketika negara masih bergelut dalam simpang siur isu agama dan perkauman.

Dr Mahathir, yang didakwa otak di sebalik tindakan keras pada 27 Oktober 1987 itu dijadual akan berdepan dengan para pengkritiknya dalam sebuah forum di George Town, Pulau Pinang pada 28 Oktober ini.

Forum anjuran Institut Pulau Pinang itu akan menampilkan bekas tahanan, ahli keluarga mereka dan Dr Mahathir.

“Ini akan sedikit sebanyak menyelesaikan apa-apa yang masih terbuku tentang apa yang dikatakan penangkapan terbesar ahli politik, aktivis dan ahli akademik di negara ini,” kata seorang ahli jawatankuasa penganjur yang enggan didedahkan namanya.

Tangkapan terbesar menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sebelum itu ialah selepas rusuhan kaum 13 Mei, 1969.

Forum itu juga akan membincangkan apakah undang-undang yang menekan seperti ISA yang kini digantikan dengan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012, masih lagi relevan di Malaysia.

Selain Dr Mahathir, forum itu akan menampilkan Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah; penasihat DAP Lim Kit Siang dan Ahli Parlimen Parit Buntar Dr Mujahid Yusof Rawa.

Yunus Ali, arwah suami Maria, dan Lim adalah antara 106 yang ditahan dalam Ops Lalang.

Yunus ketika itu baru balik dari United Kingdom selepas sempat berjuang dengan Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO). Beliau juga aktivis semasa di Universiti Malaya manakala Lim pula setiausaha agung DAP dan ahli Parlimen Tanjong.

Bapa Mujahid, Yusuf Rawa, presiden PAS antara 1982 hingga 1989, adalah antara yang melobi ketika itu agar tahanan ISA berkenaan dibebaskan.

Punca Ops Lalang

Menurut ahli akademik, Ops Lalang muncul ketika ada ketegangan etnik di Malaysia selepas Kementerian Pelajaran melantik 100 penolong kanan dan penyelia di sekolah rendah jenis kebangsaan Cina.

Ini menimbulkan protes pada 11 Oktober, 1987 oleh Dong Jiao Zong, dengan MCA dan Gerakan menggesa boikot tiga hari di sekolah Cina.

Walaupun boikot itu kemudiannya dibatalkan, Pemuda Umno yang ketika itu diketuai oleh Najib Razak, yang juga menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, mengadakan rapat umum di Kampung Baru pada 17 Oktober menggesa peletakan jawatan timbalan presiden MCA, Lee Kim Sai.

Kemuncak hari-hari yang meresahkan itu kemudian ialah kejadian amuk yang tidak ada kaitan. Prebet Ada Jaafar, 23, mencuri senjata di sebuah kem tentera di Ipoh dan mengamuk di Chow Kit, Kuala Lumpur, membunuh seorang dan mencederakan dua yang lain.

Dr Mahathir, ketika itu perdana menteri dan menteri dalam negeri, dikatakan meluluskan penangkapan tersebut selepas berdepan masalah dalam Umno setelah menang tipis pemilihan jawatan presiden.

Empat hari selepas penangkapan besar-besaran itu, KDN menarik lesen empat akhbar – The Star dan Sunday Star, Sin Chew Jit Poh dan Watan.

Walaupun semua akhbar itu dapat semula lesennya pada 22 Mac ,1988, aktivis media berkata kebebasan media tidak lagi serupa.

Dalam sebuah buku bertajuk “Doctor M: Operation Malaysia – Conversations with Mahathir Mohamad” pada 2011 yang ditulis oleh wartawan Amerika Syarikat, Tom Plate, bekas perdana menteri itu berkata: “Polis yang mengambil tindakan terhadap mereka dan saya menerima keputusan mereka.” – 13 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Mahathir terpaksa guna segala tipu daya dan helah serta 'jilat semula ludahnya' semata-mata untuk tarik undi rakyat kepada pihak pembangkang. Dia tidak ikhlas pun sebenarnya selain sanggup jadi pak turut DAP.

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan