Isu VEP di Tanjung Piai langgar peraturan Parlimen, kata pengerusi PAC


Aturan Mesyuarat Dewan Rakyat menetapkan sebarang kenyataan dan dokumen yang belum dibentangkan adalah sulit, kata Pengerusi PAC Dr Noraini Ahmad. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 November, 2019.

SIASATAN Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) terhadap sistem Permit Kemasukan Kenderaan (VEP) tidak wajar digunakan dalam kempen Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai, kata pengerusinya hari ini.

Dr Noraini Ahmad berkata, PAC masih belum menyiapkan sepenuhnya prosiding siasatan dan membincangkan isu itu secara terbuka boleh dianggap melanggar Aturan Mesyuarat Dewan Rakyat.

Katanya, Aturan Mesyuarat menetapkan sebarang kenyataan diberikan kepada jawatankuasa Parlimen tidak boleh didedahkan sebelum jawatankuasa terbabit membentangkan laporan kepada Dewan Rakyat.

“Kerana itu, semua kenyataan dan dokumen dalam prosiding PAC boleh dikategorikan sebagai sulit dan tidak boleh dibincangkan di luar prosiding.

“PAC masih belum menyempurnakan prosiding (terhadap VEP)...dan kerana itu sangat tidak bertanggungjawab untuk mengaitkan mana-mana pihak terlibat dalam prosiding, atau menggunakan nama PAC dalam kempen PRK Tanjung Piai,” kata Noraini dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas laporan polis dibuat ke atas calon BN Wee Jeck Seng semalam kerana VEP, projek era BN yang dikategorikan sebagai bermasalah dalam Laporan Audit Negara 2017.

Laporan audit mendapati masalah wujud seperti kenaikan mendadak perbelanjaan operasi dan kontraktor projek TCSens Sdn Bhd hanya mempunyai RM35 dalam akaunnya ketika dianugerahkan projek itu.

Wee didakwa mempunyai kaitan dengan TCSens yang mendapat projek itu menerusi rundingan terus berbanding tender terbuka.

Wee menyifatkan laporan polis itu sebagai bermotif politik.

Noraini menjelaskan yang PAC tidak mempunyai kuasa pendakwaan dan prosiding jawatankuasa bukanlah untuk mencari kesalahan, salah guna kuasa dan korupsi.

Sehingga kini, PAC sudah mengadakan lima prosiding mengenai VEP dan sedang menyediakan laporan terakhir untuk diberikan kepada kerajaan, katanya lagi. – 6 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen