10 didakwa tuduhan tambahan sokong LTTTE


AHLI Dewan Undangan Negeri (Adun) Seremban Jaya P Gunasekaran, Adun Gadek (Melaka) G. Saminathan dan lapan lelaki sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini, bagi menghadapi pertuduhan berkaitan kumpulan pengganas LTTE.

Pada 29 Oktober kesemua mereka didakwa di Mahkamah Sesyen di beberapa negeri. Hari ini 10 lelaki itu dibawa ke tiga Mahkamah Sesyen berasingan di Kuala Lumpur, bagi menghadapi pertuduhan tambahan.

Dua lagi lelaki juga didakwa hari ini menjadikan semua yang didakwa, 12 orang.

Pendakwaan mengemukakan dua pertuduhan iaitu memberi sokongan kepada kumpulan LTTE dengan menggunakan aplikasi media sosial Facebook dan YouTube dan hadir pada majlis berkaitan kumpulan itu, mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sepanjang hayat atau maksimum 30 tahun atau denda dan boleh dirampas mana-mana harta yang digunakan atau diniat untuk digunakan, untuk melakukan kesalahan itu, jika sabit kesalahan.

Juga pertuduhan memiliki item berkaitan dengan kumpulan itu di bawah Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda dan dilucutkan mana-mana item itu, jika sabit kesalahan.

Di hadapan Hakim Rozina Ayob, Saminathan, 34, pemandu teksi V. Balamurugan, 37, penghantar surat S. Teeran, 38, dan peniaga besi buruk A. Kalaimughilan, 28, masing-masing didakwa dengan pengetahuan memberi sokongan kepada kumpulan pengganas LTTE, menggunakan aplikasi media sosial Facebook atas nama berlainan.

Saminathan didakwa menggunakan nama “Gsami Nanthan Siva”, Balamurugan atas nama “BALAMURUGAN VEERASAMY”, Teeran dengan nama “TAMMIL KANNAMAH” dan Kalaimughilan dengan nama “Kalai Mugilan”.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di Pejabat Pegawai Penyiasat Bahagian E8(M) Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman, di Kuala Lumpur pada 7 Oktober dan 8 Oktober 2019 pada masa berlainan iaitu 9 pagi, 10 pagi dan 9.30 malam.

Teeran turut didakwa atas pertuduhan memiliki item berkaitan dengan kumpulan LTTE, di kawasan letak kereta B2, Mandarin Pacific Hotel, Jalan Sultan di sini, pada 11.40 pagi 10 Oktober lepas.

Kalaimughilan juga menghadapi pertuduhan memberi sokongan kepada LTTE dengan cara menggunakan aplikasi media sosial YouTube, pada 10 pagi 2 Jun 2014 di lokasi sama.

Beliau turut didakwa memberi sokongan kepada kumpulan itu dalam satu majlis di Dewan Tan Sri Soma, Wisma Tun Sambanthan No 2, Jalan Sultan Sulaiman, Kampung Attap di Kuala Lumpur, pada 8 malam hingga 11. 30 malam, 17 Mac 2014.

Kedua-dua pertuduhan mengikut Seksyen 130J (1)(a) Kanun Keseksaan.

Di hadapan Hakim Azman Ahmad, lima lelaki iaitu ketua pegawai perbadanan S. Chandru, 38, juruteknik S. Arivainthan, 27, penjaga stor S.Thanagaraj, 26, pengawal keselamatan M. Pumugan, 29, dan seorang guru sekolah menengah kebangsaan di Telok Panglima Garang, Selangor, Sundram Renggan@Rengasamy, 52 tahun, juga didakwa.

Kesemua mereka didakwa memberi sokongan kepada kumpulan pengganas LTTE dengan cara menggunakan aplikasi Facebook masing-masing atas nama “Ariventhan Subramaniam”, “Tamilarasan Sivam”, “Pumugan Tamilan”, “Chandru Suparmaniam” dan “Elilan Elilan”.

Mereka masing-masing dituduh melakukan kesalahan itu di Pejabat Pegawai Penyiasat Bahagian E8(M) Cawangan Khas Bukit Aman di Kuala Lumpur, pada 9 pagi dan 3 petang, antara 11 Januari dan 11 Oktober lepas.

Di hadapan Hakim Azura Alwi, Gunasekaran bersama Kalaimughilan didakwa atas pertuduhan tambahan berkaitan kumpulan itu.

Sementara itu ahli DAP, V Suresh Kumar, 43, dan peniaga B Subramaniam, 57, pula pertama kali dihadapkan ke Mahkamah Sesyen berhubung kumpulan LTTE.

Gunasekaran, Suresh Kumar dan Subramaniam masing-masing didakwa dengan pengetahuan memberi sokongan kepada kumpulan pengganas LTTE menggunakan aplikasi sosial Facebook atas  nama “DAP Guna Palanisamy”, “US SUBRA SUBRAMANIAM” dan “RocketSuresh DAP”.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di Pejabat Pegawai Penyiasat Bahagian E8(M) Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman, di Kuala Lumpur pada 7 Oktober dan 11 Oktober 2019 pada masa berlainan iaitu 2 petang, 5.30 petang dan 6 petang.  

Kalaimughilan pula didakwa mengedar item berkaitan dengan LTTE di Dewan Tan Sri Soma, Wisma Tun Sambanthan, No 2, Jalan Sultan Sulaiman, Kampung Attap, di Kuala Lumpur, lebih kurang 8 malam hingga 11.30 malam, 17 Mac 2014.

Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Iskandar Ahmad dan Aslinda Ahad tidak menawarkan jaminan ke atas kesemua tertuduh atas alasan penahanan mereka di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) tidak dibenarkan jaminan.

Salah seorang peguam Ramkarpal Singh memohon supaya tertuduh dibenarkan jaminan dan turut memohon agar permohonan jaminan dirujuk ke Mahkamah Tinggi.

Mahkamah menetapkan esok untuk keputusan permohonan jaminan.

Pada 29 Oktober di Mahkamah Sesyen Melaka, Saminathan, Gunasekaran dan Chandru didakwa memberi sokongan kepada kumpulan itu dalam satu majlis di Dewan Kasturi Ayer Keroh, Jalan Utama, Taman Ayer Keroh Heights di Kuala Lumpur pada 8.30 malam hingga 10.50 malam, 28 November 2018.

Saminathan turut didakwa dengan satu lagi pertuduhan memiliki item berkaitan dengan kumpulan pengganas LTTE di dalam sebuah telefon bimbit.

Chandru juga didakwa memiliki bahan berkaitan kumpulan itu, di Mahkamah Sesyen Alor Gajah, Melaka.

Di Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar, Arivainthan dan Balamurugan menghadapi pertuduhan memberi sokongan kepada LTTE dalam majlis di Dewan Majlis Perbandaran Kuala Kangsar Cawangan Sungai Siput (Utara), antara 6.30 petang sehingga 11.45 malam, 28 Disember 2014.

Di Mahkamah Sesyen Selayang Kalaimughilan didakwa atas dua pertuduhan memiliki item berkaitan dengan kumpulan LTTE  dan di Segamat, Johor, Teeran didakwa melakukan kesalahan sama.

Sundram Renggan pengajar subjek bahasa Inggeris dan fizik, didakwa di Mahkamah Sesyen Sepang, Selangor atas kesalahan serupa.

Di Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang, Pumugan dan Thanagaraj masing-masing menghadapi dua pertuduhan sama dan kesemua mahkamah itu menetapkan 18 November dan 16 Disember untuk sebutan semula kes.

Tiada pengakuan direkodkan daripada semua tertuduh, kerana mereka ditahan di bawah Sosma dan akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi. Pengakuan tertuduh akan direkodkan di Mahkamah Tinggi kemudian.

Kesemua tertuduh ditahan di Penjara Sungai Buloh. – Bernama, 31 Oktober, 2019.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen