Guan Eng nafi cuba hentikan siasatan LTTE


Setiausaha Agung DAP Lim Guang Eng berkata kenyataan awalnya diputarbelitkan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Oktober, 2019.

SETIAUSAHA Agung DAP Lim Guan Eng hari ini menafikan cuba menghentikan polis daripada menyiasat mengenai dakwaan sokongan kepada Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Beliau berkata orang ramai tidak sepatutnya memutar kenyataan baru-baru ini yang polis memberitahunya tiada lagi tangkapan dibuat terhadap wakil rakyat DAP.

“Saya tidak pernah mengatakan siasatan perlu dihentikan. Tolong jangan putar belit kenyataan saya. Saya mahu menekankan kita memberi sokongan penuh kepada polis dan berharap polis dapat menumpukan masa menyiasat perkara itu dan bukannya membuat komen tidak relevan mengenai kenyataan yang saya tidak buat,” kata Lim kepada pemberita di lobi Dewan Rakyat hari ini.

Lim menyebut Ketua Penolong Pengarah Bahagian Antikeganasan, Cawangan Khas Bukit Aman, Ayob Khan Mydin Pitchay dalam komennya hari ini yang baru-baru ini berkata polis akan terus memburu individu yang mempunyai hubungan dengan LTTE, tanpa menghiraukan hubungan politik.

Kenyataan Ayob Khan adalah tindak balas kepada kenyataan awal Lim bahawa tiada lagi pemimpin DAP atau wakil rakyatnya yang akan ditangkap dalam siasatan berterusan itu.

Ia selepas polis menahan tujuh individu pada Khamis, termasuk dua Adun Gadek G. Saminathan, yang juga seorang exco Melaka, dan Adun Seremban Jaya P. Gunasekaran. Kedua-duanya adalah wakil rakyat DAP.

Lima lagi ditangkap pada Sabtu, menjadikan jumlah kepada 12 orang. Siasatan itu memberi tumpuan kepada sokongan rakyat tempatan terhadap kebangkitan semula LTTE.

Ayob Khan berkata pihak polis tidak pernah berjanji kepada DAP bahawa tidak akan ada lagi tangkapan melibatkan pemimpin parti, kerana polis tidak menolak kemungkinan lebih banyak tangkapan.

Lim hari ini mendesak agar penyiasatan selesai dengan cepat agar mereka dapat dibebaskan atau didakwa di mahkamah.

Mereka ditahan ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (Sosma), yang membolehkan penahanan sehingga 28 hari tanpa pendakwaan.

“Biarkan bukti menjadi penentunya kerana LTTE adalah organisasi yang tidak lagi wujud, dan ini menimbulkan banyak persoalan daripada orang ramai,” kata Lim. – 14 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen