AKTA Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) masih diperlukan untuk membanteras keganasan dalam negara dan di peringkat antarabangsa, kata Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata manifesto Pakatan Harapan (PH) tidak menyatakan Sosma akan dimansuh, sebaliknya akan disemak semula.
“Kita berpendapat Sosma masih diperlukan. Isu keganasan sekarang ini membimbangkan.
“Kalau kita tidak ada instrumen undang-undang ini, mereka (pengganas) akan terlepas dan mengancam keselamatan negara,” kata Muhyiddin selepas merasmikan Hari Pendaftaran Negara di Putrajaya hari ini.
Minggu lepas polis menahan 12 individu termasuk dua wakil rakyat DAP iaitu G. Saminathan dan P. Gunasekaren kerana disayki mempromosi, menyokong, menyalur dana dan memiliki bahan berkaitan Harimau Pembebasan Tamil (LTTE).
Kesemua mereka ditahan selama 28 hari dibawah Sosma.
Muhyiddin juga menjelaskan bahawa manifesto PH menyatakan mereka akan menyemak bagaimana Sosma boleh ditambha baik, bukan dimansuhkan.
“Ada yang panggil undang-undang zalim dan tidak selari dengan hak asasi manusia serta kejam.
“Kita sudah membincangkan perkara ini dengan semua pihak berkepentingan dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia, dan mendapat maklum balas dari mereka mengenai pindaan yang perlu dibuat.” – 16 Oktober, 2019.
Komen