Komik dan hantu komunisme


Noor Amin Ahmad

SAYA mungkin antara yang rugi kerana belum menerima naskah buku komik Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama. Sebagai penggemar buku, sudah pastilah kritikan terhadap pengedarannya menimbulkan lebih keinginan untuk saya membacanya. 

Namun, ia telah diharamkan – sesuatu yang tidak pernah saya bayangkan boleh berlaku di bawah pentadbiran Pakatan Harapan yang cuba mendorong naratif Malaysia Baharu!

Ada beberapa persoalan timbul rentetan pengedaran buku ini dan mesti dibincangkan secara terbuka. Naratif Malaysia Baharu perlu dibentuk melalui proses terbuka wacana berterusan. Maka saya mahu mengambil bahagian dalam mencorakkan wacana ini.

Seni sebagai senjata

Pertama sekali, saya difahamkan komik ini diterbitkan oleh Muzium Kebudayaan dan Komik Asia di mana teksnya disediakan oleh Hew Kuan Yau dan lukisan pula dibuat oleh kartunis Tomato (nama pena Chong Po Ling, pengurus muzium tersebut).

Dengan kedudukan sebagai ketua pegawai eksekutif Majlis Perniagaan Malaysia-China (Nota: Hew telah meletak jawatan selepas isu ini), saya cuba mengagak latar belakang penerbitan komik ini.

Hew mungkin sahaja mahu memberikan imej positif China kepada masyarakat umum di Malaysia bagi meningkatkan kepercayaan dalam hubungan kedua-dua negara. Beliau cuba menunjukkan hubungan Malaysia dan China sudah lama terjalin. Pada masa yang sama beliau menggambarkan ada pandangan negatif terhadap negara itu. 

Saya juga penggemar komik. Abang saya bekas pelukis komik di beberapa majalah termasuk Ujang! dan adik saya lulusan dalam bidang animasi. Sejak kecil kami menikmati komik bukan hanya sebagai hiburan tetapi juga sebagai medium mengasah pemikiran. Jika sejak dulu seni sering digunakan sebagai senjata, maka komik tidak terlepas daripada fungsi tersebut. 

Pada November 2017, saya menganjurkan satu dialog mengenai kartun dan masyarakat. Fokus dialog ini adalah tentang kebebasan berekspresi.

Sebenarnya ada beberapa isu besar timbul berkaitan kartun sejak sedekad lalu misalnya karikartur yang dinisbahkan kepada Nabi Muhammad s.a.w., Charlie Hebdo dan lain-lain. Pelbagai isu dibincangkan. Sebagaimana senjata, ia mungkin sahaja digunakan secara tidak wajar. 

Saya akui belum membaca komik ini, justeru itu tidak tahu kandungan penuh yang mungkin dikhuatiri menggugat ketenteraman awam.

Namun saya ada melihat melalui perkongsian di media sosial beberapa kandungannya yang dianggap bersifat provokatif, misalnya gambaran Muslim menyokong keganasan yang dikaitkan dengan komuniti Uyghur, mengangkat agenda komunisme dan menyalahi fakta sejarah. Mungkin ada lagi kandungan yang boleh dipersoal namun ia hanya boleh ditentukan sekiranya kita berpeluang membacanya.

Terlepas apa pun, Zunar, tokoh seni kartun Malaysia yang pernah didakwa di bawah Akta Hasutan kerana lukisan-lukisannya menyifatkan ia sebagai menyalahi kebebasan berekspresi. Beliau menyifatkan kesalahan fakta dan beza pendapat, jika ada, boleh ditangani dengan cara lain. 

China 

Dalam hiruk-pikuk dunia terbahagi kepada blok-blok ekonomi selepas Perang Dunia Kedua, Malaysia memilih secara sedar untuk menjadi sebahagian daripada negara berkecuali. China, yang diiktiraf sebagai satu daripada kuasa besar dunia, memilih komunisme sebagai ideologi negara. 

Namun, ini tidak menghalang Malaysia menjadi antara negara demokrasi terawal di dunia bahkan yang pertama di Asia Tenggara menjalinkan hubungan diplomasi dengan negara tersebut.

Ia adalah petunjuk jelas keyakinan kita sebagai sebuah negara bebas dan berdaulat yang mahu bersahabat dengan semua sambil terus bersuara untuk keamanan dunia. 

Hakikat yang perlu kita sedari pada hari ini ialah negara China, yang kuat dikaitkan dengan ideologi komunisme sejak dulu, kini lebih terbuka dalam dasar ekonominya sehinggakan pertumbuhan dan kekayaan mereka dilihat sebagai ancaman di banyak negara. 

Jelas di sini keterbukaan adalah kunci kemakmuran ekonomi sesebuah negara. Malaysia mendapat banyak manfaat daripada limpahan kekayaan negara itu melalui pelancongan dan pelaburan.

Pada masa yang sama kita perlu merunding semula beberapa perjanjian semasa pentadbiran lalu yang dilihat membebankan ruang fiskal negara. 

Bagi saya, menceritakan kebaikan China tidak semestinya menjadikan ia agenda mempromosi komunisme. Dalam dunia diplomasi, kita mesti mampu memisahkan pelbagai isu yang boleh dan tidak boleh dipersetujui.

Sebagaimana tidak timbul soal kita berbaik-baik dengan negara komunis semasa Tun Razak memulakan hubungan diplomasi dulu, begitulah ia seharusnya ditanggapi pada hari ini. 

Bukan sesuatu yang pelik promosi untuk menggalakkan pelaburan, pelancongan dan sebagainya memberi fokus kepada perkara-perkara baik pada sesebuah negara. Ia tidak harus dianggap sebagai halangan untuk kita menyampaikan pandangan dalam pelbagai isu – lihat misalnya ketegasan perdana menteri dalam isu Kashmir meskipun ia pada masa yang sama boleh memberi kesan kepada perdagangan antara Malaysia dan India. 

Dalam isu Uyghur misalnya, manakala ramai Muslim percaya kumpulan minoriti ini ditindas di sana meskipun gambaran yang cuba diberi kepada kita bahawa pemerintah China melayan mereka secara adil, kita tertanya di manakah suara kecaman mereka yang membantah penerbitan komik ini ketika pada September 2017 kerajaan Malaysia menghantar pulang 29 orang etnik Uyghur yang didakwa sebagai militan. 

Jelas di sini, kita tidak wajar terburu-buru memainkan sentimen ketika fakta-fakta yang ada bercampur-baur. Bukan sahaja kes minoriti Uyghur, cara China menangani isu di Hong Kong juga wajar dipersoal. 

Namun daripada pelbagai teori yang pernah dikemukakan bagi menentukan punca keganasan Parti Komunis Malaya di Tanah Melayu satu ketika dulu oleh cawangan khas dan sejumlah ahli akademik, kesimpulan dicapai bahawa faktor pengaruh negara luar sama ada oleh Soviet dan China bukanlah yang paling kukuh (lihat misalnya Leon Comber, 2009). 

Lebih menarik lagi Tan Malaka, tokoh terkenal Gerakan kiri di Indonesia pernah datang ke Tanah Melayu dan mengakui kegagalan mengembangkan komunisme di sini (surat Tan Malaka sekitar November 1925, CO 537/3752; FCO 141/15672).

Perang ideologi

Saya masih ingat ketika bersama mendiang Profesor Emeritus Dr Khoo Kay Kim, sejarawan terkenal negara sejak 2013 kerana diminta menterjemah kumpulan tulisan-tulisan ilmiah beliau yang disiarkan di pelbagai jurnal sejak dekad 1960-an. 

Pada ketika itu beliau telah dipanggil untuk memberi keterangan dalam pendakwaan terhadap Mohamad Sabu, pemimpin pembangkang yang mahukan Mat Indera diiktiraf sebagai pejuang kemerdekaan. Untuk rekod, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang membebaskan Mohamad daripada dua pertuduhan memfitnah anggota keselamatan Bukit Kepong. 

Menurut Khoo, meskipun tidak bersetuju dengan tafsiran Mohamad, perbezaan tafsiran sejarah tidak patut dibawa ke mahkamah. Ada dua persoalan. Pertama, fakta. Kedua, tafsiran terhadap fakta.

Dunia akademik ada disiplin dan sekolah pemikiran tertentu yang menjadi panduan untuk mana-mana ahli akademik mengambil pendirian tertentu. Ini menjadikan tafsiran terhadap sesuatu peristiwa atau tokoh, misalnya, boleh pelbagai. 

Dalam konteks tafsiran rasmi pula, tentulah sejarawan yang mewakili ideologi berbeza di negara berbeza pada waktu itu berbeza pendapat bagi menegakkan kepentingan ideologi negara masing-masing. 

Dalam sejarah dunia kita dapat melihat ideologi rasmi negara boleh berubah bila pemerintahan bertukar – kita ambil misalnya negara-negara bekas Soviet atau bekas negara satelit Soviet, Iran bahkan negara-negara demokrasi yang saling bertukar pemerintah dari satu pilihan raya ke satu pilihan raya. 

Meskipun akar idea di sebalik ideologi-ideologi politik ekonomi yang kita kenal pada hari ini sebenarnya telah bermula lebih lama, kita hanya lebih mengenal perbezaannya pada abad ke-20. 

Ini mungkin kerana dunia mula terbahagi kepada negara bangsa dengan lebih jelas – berdaulat dan memerintah sendiri melalui sistem yang dipilih – berbanding menjadi bahagian daripada empayar yang lebih luas dengan kesetiaan kepada pemerintah yang berpusat di negara lain. 

Penentangan-penentangan terhadap empayar dan imperialisme kuasa besar kebanyakannya berpunca daripada apa yang disifatkan sebagai kezaliman, salah guna kuasa, rasuah bahkan persaingan antara kuasa-kuasa besar. Daripada semua ini muncul apa yang kita kenal sebagai nasionalisme, sosialisme, komunisme, kapitalisme dan pelbagai cabang pemikiran lain. 

Setiap ideologi ini mempunyai tarikan tersendiri kepada khalayak berbeza. Masing-masing menang dan kalah di tempat berbeza. Ada yang berjaya mencapai kemerdekaan melalui rundingan, ada yang menang melalui peperangan. Di tempat mereka menang, pemerintahan dibentuk dan di tempat mereka kalah, “perlawanan” dilanjutkan. 

Cara menang atau kalah, termasuk apa yang dilakukan selepas menang atau kalah, hanyalah bentuk. Yang lebih mendasar ialah idea yang membina pelbagai ideologi ini. Inilah latar asal yang perlu difahami kita semua. 

Meskipun perang dingin telah berakhir, ditandai dengan keruntuhan empayar komunisme, namun hantu komunisme terus ditakuti di banyak tempat. Malangnya ketakutan ini hanya bersandarkan sentimen. Maka cerita-cerita tindakan kejam anggota pergerakan komunis dulu kala diulang sebut. Ini mungkin petunjuk kegagalan kita mengangkat wacana ideologi ke tingkat lebih tinggi.

Bagi saya keruntuhan empayar komunisme boleh berlaku kerana 1) kelemahan ideologi itu sendiri secara praktikalnya dan 2) kelebihan ideologi tandingannya – buat masa ini demokrasi. 

Saya berharap masyarakat akan lebih sedar keruntuhan empayar komunisme didorong oleh kegagalan mereka menghargai demokrasi – bahawa manusia tidak mungkin bersetuju dalam semua perkara pada setiap masa. 

Kegagalan komunisme ditandai dengan keinginan mengawal rakyat dalam hampir semua aspek kehidupan – politik, ekonomi dan sosial. Ia diburukkan lagi bila disadur dengan fahaman perkauman atau agama yang sempit. 

Akhirnya, meskipun komunisme dilihat kuat bertahan mendepani kapitalisme, ia gagal menangani bantahan dalaman. Cita-cita yang lahir daripada keinginan kepada kebebasan melahirkan mimpi ngeri kepada mereka. Yang beruntung hanya sebahagian yang berkuasa. 

Inilah yang dikritik oleh George Orwell dalam naskah terkenal Animal Farm, “all animals are equal but some animals are more equals than others” (boleh diterjemah secara bebas sebagai semua orang sama tetapi sebahagian manusia lebih istimewa jika dibandingkan dengan yang lain). 

Hanya dengan kesedaran inilah kita akan lebih berwaspada dan tidak mengulangi kesilapan yang sama. (Nota: meskipun ada perbezaan tertentu antara sosialisme dan komunisme, ia boleh digolongkan sebagai kolektivisme).

Dalam bahasa mudah, demokrasi menyediakan ruang berbeza pendapat yang luas. Dari segi ekonomi pula, kebebasan pasaran adalah petunjuk jelas yang membezakan pendekatan dua ideologi yang berseberang ini. Ideologi lain boleh hidup dalam demokrasi selagi mana ia tidak diterjemahkan menjadi tindakan keganasan. 

Ideologi nasionalisme, sosialisme, komunisme, kapitalisme bahkan yang dikait dengan agama atau kaum yang diterjemah sebagai tindakan keganasan perlu ditentang dan dibasmi. 

Meskipun komunisme ‘telah’ kalah, kita mesti mengakui bagaimana ideologi ini sentiasa terus dimajukan untuk mengimbangi demokrasi. Kita mesti berani menerima bahawa idea-idea seperti hak asasi, hak pekerja, hak wanita, hak kanak-kanak, persoalan jurang ekonomi, pembasmian kemiskinan lebih banyak ditegaskan oleh penggerak ideologi ini.

Sudah tentu ia wajar dihargai meskipun kita mungkin tidak bersetuju dengan cadangan penyelesaian yang diusulkan. 

Pada pertengahan Februari 2019, majalah the Economist telah menyiarkan artikel “Millenial Socialism” yang memperihalkan kebangkitan idea-idea kiri di seluruh dunia. Sebenarnya, selain sosialisme, faham baru nasionalisme dan lain-lain idea juga muncul. Apakah puncanya? 

Bagi saya, ia berpunca daripada kemerosotan demokrasi itu sendiri. Corak kemerosotan ini memang telah dinyatakan oleh ramai pengkaji demokrasi di seluruh dunia sejak lewat 1990-an. 

Cara terbaik menangani komunisme adalah dengan mengukuh demokrasi melalui jaminan hak-hak kebebasan yang sudah termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia dan memastikan kecemerlangan ekonomi untuk semua. – 29 Oktober, 2019.

* Noor Amin Ahmad ialah ahli Parlimen Kangar. Baru-baru ini beliau dilantik menganggotai Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai Belanjawan. Beliau juga telah dipilih menjadi ahli jawatankuasa pemandu jaringan ahli Parlimen muda Bank Dunia.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen