Ahli akademik waspada dengan penubuhan persatuan pelajar


Mustafa K. Anuar

Ahli akademik dan pemimpin pelajar mengalu-alukan langkah terbaru Kementerian Pendidikan untuk menubuhkan persatuan pelajar di lima universiti awam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Oktober, 2019.

AHLI akademik dan pemimpin pelajar mengalu-alukan langkah terbaru Kementerian Pendidikan untuk menubuhkan persatuan pelajar di lima universiti awam, tetapi bimbang dengan pembabitan kementerian dan autonomi badan pelajar.

Secara asasnya, idea penubuhan semula persatuan pelajar adalah bagus, selaras dengan usaha untuk memperkasakan pelajar dan meluaskan ruang politik di kampus, kata ahli akademik Dr Azmil Tayeb dari Universiti Sains Malaysia. 

Bagaimanapun, beliau berasa tidak selesa hakikatnya kementerian mengetuai usaha itu “memandangkan ia membuka kemungkinan Kementerian Pendidikan akan menggunakan persatuan pelajar sebagai proksi di kampus atau cara untuk menangani pelajar yang kritikal terhadap kerajaan”.

Beliau berkata Kementerian Pendidikan perlu meminimumkan pembabitannya dalam penubuhan persatuan pelajar, termasuk peruntukan perbelanjaan, bagi mengelak persatuan itu dilabelkan sebagai pro kerajaan.

“Apa yang kementerian boleh buat ialah menggalakkan pelajar jadi proaktif, memastikan syarat jelas dan tanpa kompromi tentang kebebasan di kampus, dan juga persatuan pelajar akan ada tempat di peringkat tertinggi membuat keputusan di universiti.

“Jumlah besar dana untuk persatuan perlu datang daripada yuran biasa dibayar oleh pelajar sendiri dengan sebahagian sokongan infrastruktur dari universiti.”

Bagaimanapun, bekas pemimpin pelajar Adam Adli, yang terbabit dalam inisiatif kementerian untuk menubuhkan persatuan pelajar, berkata pembabitan kementerian penting dalam menggabungkan pengurusan tertinggi universiti awam dalam usaha ini.

“Dalam kata lain,  ia bagi memulakan transformasi daripada sistem Majlis Perwakilan Pelajar sekarang kepada persatuan pelajar, dan juga untuk meyakinkan universiti sudah tiba masanya pelajar dibenarkan bergerak sendiri.

“Kementerian juga membantu dalam mengendalikan mesyuarat antara kumpulan pelajar dan pemimpin dari semua universiti untuk membincangkan perkara membabitkan persatuan pelajar, di mana saya rasa amat membantu pada peringkat ini.

“Penubuhan, corak dan perlembagaan persatuan pelajar perlu terpulang kepada pelajar, bukan kerajaan atau kementerian,” katanya kepada The Malaysian Insight. – 29 Oktober, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen