Berbanggalah sinema nasional!


Daniyal Kadir

PERASAAN bangga terhadap sinema sendiri merupakan suatu hal yang sukar untuk diungkapkan di Malaysia. Terdapat pelbagai faktor yang boleh dibincangkan mengenai perkara ini.

Membangkitkan cinta seharusnya datang dari tingkat penghargaan yang tinggi, sehingga kini kita melihat filem tempatan masih bergelut di pentas sendiri.

Ekosistem pada masa kini tidak banyak membantu, walaupun sebenarnya kita sudah menyediakan pelbagai insentif berupa geran, bantuan kewangan, teknikal, latihan dan sebagainya, namun apabila filem siap, ia tidak memiliki waktu skrin yang mencukupi dan dalam masa sama sukar menarik kehadiran penonton ke pawagam.

Antara sebab yang selalu disebut-sebut ialah bagaimana filem tempatan terpaksa bersaing dengan filem asing yang jauh lebih besar dan menarik perhatian.

Ia sudah tentu berada pada gelanggang yang tidak sama, namun ini bukanlah semata-mata alasan untuk kita menjelaskan mengenai filem tempatan tidak mendapat sambutan.

Di samping itu, sistem pawagam di negara kita sebenarnya dikuasai oleh golongan pemodal yang sudah tentu meletakkan kepentingan untung berbanding kepentingan apresiasi filem.

Amat jarang kita melihat pawagam tempatan melaksanakan usaha retrospektif dan menayangkan semula karya penting tanah air, berbanding dengan usaha menganjurkan tayangan filem antarabangsa lain di skrin khas.

Misalnya ada pawagam yang membuat tayangan khusus filem Jerman, Itali, Jepun dan Poland pada minggu-minggu tertentu, namun kita tidak pernah melihat usaha tayangan semula Kaki Bakar, Abang, Pemburu dan sebagainya dilaksanakan di pawagam tempatan, sebagai minggu khas apresiasi sinema Malaysia.

Ini sebenarnya merupakan sumbangan kecil yang boleh dimainkan oleh pihak pawagam dalam meletakkan kepercayaan rakyat terhadap sinema nasional, ia juga secara tidak langsung membuka mata mereka untuk menghargai karya penting negara.

Kita faham hal ini mungkin tidak akan membuat untung dan disinilah datangnya peranan badan utama seperti Finas, menghidupkan tayangan dengan tujuan apresiasi adalah kerja mulia yang patut diutamakan.

Ia wajar disediakan dalam kerangka berkala dan kerap supaya fungsi pawagam itu dapat dijelaskan sebagai sebuah institusi mencelik minda dan mata penonton.

Pawagam merupakan institusi tunjang dan suci dalam sinema, tanpa pawagam kenikmatan terhadap filem akan hilang sama sekali.

Dahulu kita pernah diberikan peluang untuk menonton filem-filem tempatan yang baik dan penting dalam segmen apresiasi yang digerakkan di pawagam Coliseum.

Namun, usaha murni ini hanya berjalan separuh jalan, tidak lagi diteruskan. Sewajarnya usaha apresiasi seperti ini digerakkan dengan lebih aktif, bukan dimatikan sebegitu rupa.

Kita juga mahu melihat usaha apresiasi ini tidak bersifat KL centric semata-mata, ia wajar didedahkan ke luar kota besar ini.

Kita mahu merasakan semangat kebanggaan dan menghargai sinema turut dirasai warga di luar Kuala Lumpur misalnya di pekan kecil seperti di Kuala Kangsar, Baling, Kemaman dan Maran yang tidak ada sistem panggung wayang seperti di bandar.

Pendedahan ini amat penting kerana sinema bukan hanya milik warga Kuala Lumpur dan di bandar sahaja, ia wajar dinikmati oleh semua pihak dan melalui usaha menyeluruh dan konsisten ini, kita akan dihadiahkan dengan kelompok masyarakat yang celik sinema dari masa ke masa.

Baru-baru ini, rangkaian pawagam, TGV melaksanakan tayangan semula filem hebat P Ramlee. Pada asasnya ia usaha murni yang wajar dipuji.

Namun apabila kita pergi menonton, ternyata filem berkenaan adalah dalam format DVD dan apabila ditonton di layar besar ia tidak memberikan kepuasan, sebaliknya kita akan melihat sebuah filem tanpa restorasi.

Restorasi ialah kekurangan terbesar dalam sinema negara dan sebenarnya ia mempunyai pelbagai masalah berbangkit, misalnya restorasi filem-filem P Ramlee sukar untuk dilaksanakan memandangkan ia masih kepunyaan studio.

Baru-baru ini di Singapura berlangsung tayangan filem “Ibu Mertuaku” yang dipertingkatkan kualitinya dalam bentuk digital. Sesi tayangan ini diadakan di pawagam terbaru milik Shaw di Paya Lebar.

Jelas jika kita mahu melaksanakan usaha ini, kerjasama lebih erat wajar dijalinkan dengan studio di arkib perfileman utama seperti Asian Film Archive.

Salinan filem yang melalui proses baik pulih ini tidak sewajarnya dibiarkan untuk didiami di muzium atau arkib sahaja, sebaliknya ia perlu dipulangkan untuk tontonan umum.

Jika kita sukar untuk melihat filem-filem klasik Melayu dibawa semula untuk restorasi akibat kekangan di peringkat studio, kita boleh menumpukan perhatian kepada filem yang di bawah kawalan kita, misalnya filem terbitan di Malaysia bermula pada sekitar 1980an atau filem dokumentari milik Filem Negara seperti darurat di Tanah Melayu, kemerdekaan dan usaha pembentukan Malaysia dan mungkin tragedi Mei 1969.

Filem ternyata menjadi bekalan sejarah kepada kita, melihat memori yang pernah ada dalam negara yang kita cintai ini. Ia bukan sekadar bahan untuk kita berhibur, ia sebuah pengalaman, saat-saat kita menghargai negara sendiri.

Membangkitkan kebanggaan rakyat terhadap sinema nasional juga adalah sesuatu yang berharga, selain daripada menumpukan perhatian kepada usaha patriotisme plastik yang tak pernah mendatangkan hasil. – 26 Oktober, 2019.

* Daniyal Kadir ialah penulis buku Membedah P.Ramlee, Ahli Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur dan Anggota Sidang Komuniti Filem Titiwangsa.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen