Peguam cabar kewujudan sekolah jenis kebangsaan di mahkamah


Seorang peguam memfailkan saman mencabar kuasa Kementerian Pendidikan dan kerajaan membenarkan penubuhan sekolah jenis kebangsaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Oktober, 2019.

PEGUAM Mohd Khairul Azam Abdul Aziz memfailkan usul di mahkamah mencabar kuasa Kementerian Pendidikan mewujudkan sekolah jenis kebangsaan di Malaysia, yang katanya, bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Saman itu menamakan menteri pendidikan dan kerajaan Malaysia masing-masing sebagai defendan pertama dan kedua, lapor media.

“Ini bukan isu perkauman. Ini isu perundangan. Ini semata-mata isu perlembagaan dan undang-undang.

“Kita failkan tindakan di mahkamah. Kita bukannya bawa ke jalan raya. Kita fail di mahkamah paling tinggi di negara, di Mahkamah Persekutuan di bawah Perkara 4 (4) Perlembagaan Persekutuan,” katanya, seperti dipetik Malaysiakini.

Perkara 4 (4) menyentuh kuasa Mahkamah Persekutuan untuk memberi kebenaran sebelum sesuatu prosiding dimulakan bagi menentukan keabsahan sesuatu undang-undang.

Dalam usulnya, Khairul Azam yang juga naib presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) pimpinan Ibrahim Ali, mencabar kuasa Parlimen menggubal Seksyen 17 dan Seksyen 28 Akta Pendidikan 1996.

Akta berkenaan diluluskan sebagai ganti kepada Akta Pelajaran 1961 yang menggantikan Ordinans Pelajaran 1956.

Seksyen 17 menyentuh soal bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar di sekolah, manakala Seksyen 28 memperihalkan penubuhan dan penyelenggaraan sekolah jenis kebangsaan. 

Saman dikemukakan melalui Tetuan Azam Aziz Shaharudinali & Co, firma guaman yang Khairul Azam adalah salah seorang rakan kongsinya.

Shaharudin Ali, yang mewakili plaintif, dipetik berkata Parlimen tiada kuasa untuk menurunkan kuasa kepada menteri pendidikan dengan kuasa budi bicara untuk menubuhkan sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil.

Katanya, Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan menyekat menteri pendidikan daripada berbuat demikian.

Sementara itu, Khairul Azam juga dipetik berkata beliau mengemukakan tindakan ini di mahkamah selepas Belanjawan 2020 menyediakan RM127 juta untuk sekolah jenis kebangsaan.

Katanya, beliau ada hak sebagai pembayar cukai untuk mempersoalkan cara wang rakyat dibelanjakan. – 23 Oktober, 2019.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen