Filem tentang tokoh: Jujur atau bodek?


Daniyal Kadir

NEGARA kita kaya dengan kisah-kisah hebat untuk diangkat ke layar lebar. Kita tidak pernah sunyi daripada melahirkan tokoh terkenal dalam pelbagai bidang dan perjalanan hidup mereka sudah tentu menarik apabila dapat ditonton sebagai filem.

Baru-baru ini terdapat pelancaran dua filem mengenai tokoh di negara kita. Pertama mengenai Dr Mahathir Mohamad yang bakal diarahkan oleh Dr Hatta Azad Khan dan diterbitkan oleh Yusof Kelana yang sebelum ini menghadiahkan kita filem Bidong.

Kedua, filem mengenai Dr Siti Hasmah Ismail. Namun apa yang agak misteri, filem mengenai Dr Siti Hasmah ini belum ada skrip dan pengarahnya.

Dengan kos sekitar RM6 hingga RM7 juta, kita pasti akan menerima hasil yang baik dan bukan semata-mata sebuah propaganda. Semoga kedua-dua filem ini dapat dijayakan dan kita dapat menontonnya dengan gembira nanti.

Mengangkat tokoh ke sebuah filem bukanlah kerja mudah. Ia sudah tentu memerlukan penyelidikan dalam jangka masa panjang, mematuhi segala fakta dan paling utama mampu memberikan kita sebuah pengalaman menyeluruh.

Memberikan pengalaman menyeluruh ini bukanlah satu usaha yang boleh berlaku dengan sekelip mata. Kita mahu melihat segala-galanya tentang kehidupan seseorang tokoh itu, bukan sahaja sisi cerahnya, malah sisi gelapnya.

Ini membawa makna bahawa sesebuah filem yang mengangkat seseorang tokoh tidak boleh menjadi sebuah filem bodek semata-mata. Ia harus jujur dan benar.

Kita ambil contoh tokoh besar dari India, Mahatma Gandhi.

Banyak filem telah dihasilkan melibatkan karakter dan watak Gandhi ini sendiri dan ia muncul dalam pelbagai bentuk. Ada yang menampilkan Gandhi sebagai wira dan sanjungan perjuangan, ada pula yang menampilkan kegagalan Gandhi dalam membina keluarga, ada yang melihat Gandhi dalam bentuk lebih sinikal dan ada pula yang memaparkan Gandhi dalam jalur perjuangan berbeza.

Kebebasan dalam memaparkan tokoh besar menjadi sesuatu yang dinamik dan amat menarik untuk diperhatikan. Apabila seseorang tokoh mahu difilemkan, maka menjadi hak dan tanggungjawab pengarah untuk membentuknya, berasaskan kepada kreativiti dan lunas-lunas fakta yang dinyatakan pada awal tadi.

Kita ambil bagaimana Gandhi dalam filem arahan Richard Attenborough pada 1982. Ia jelas sebuah filem berskala besar dengan memberikan susur galur perjuangan Gandhi sejak dari awal dan memaparkan Gandhi sebagai wira yang harus sentiasa dikenang dalam sejarah panjang perjuangan manusia.

Berbeza pula Gandhi dalam filem Gandhi, My Father arahan Feroz Abbas Khan pada tahun 2007 yang mengambil sisi sedikit kontroversial apabila memaparkan permasalahan hubungan Gandhi dan anak lelakinya, Harilal.

Filem ini sekali gus memberikan kejutan kepada kita bahawa di sebalik kekuatan Gandhi sebagai seorang tokoh besar, pembina negara India, beliau dilihat tidak mampu menjadi seorang bapa yang baik kepada Harilal.

Pemaparan psikologi dan hubungan lebih kompleks ini membuatkan kita mampu memahami sisi tokoh dari sisi berlainan dan sudah tentu meninggalkan pemahaman yang mendalam untuk kita memahami karakter tokoh berkenaan.

Rajkumar Hirani pada 2006 memberikan kita Lage Raho Munna Bhai sebuah komedi yang turut memaparkan Gandhi, namun dalam sisi yang lain. Gandhi dalam filem ini merupakan bayangan halusinasi, kepada watak Munna Bhai, seorang gangster yang terlalu mendalami semangat dan ketokohan Gandhi.

Filem ini bermain dengan ruang yang lebih dekat dengan falsafah perjuangan Gandhi. Ia memberikan semangat kepada warga India dan dunia untuk mencontohi idea dan pandangan Gandhi bagi menyelesaikan sesuatu masalah.

Filem ini meningkatkan kembali kesedaran terhadap semua falsafah hidup Gandhi dan meraikan tokoh sejagat itu dalam bentuk yang berbeza.

Dalam Hey Ram (2000) arahan Kamal Haasan dan The Legend of Bhagat Singh (2002) arahan Rajkumar Santoshi, Gandhi dipaparkan sebagai watak yang berlembut dan berbeza latar perjuangan dengan watak-watak utamanya.

Dari satu segi, kedua-dua filem ini memaparkan pendekatan perjuangan Gandhi tidaklah sepadan dengan segelintir pejuang lain yang memilih langkah lebih radikal.

Malah dalam Bhagat Singh, Gandhi dilihat seperti lemah apabila tidak mampu membantu untuk membela pembunuhan Bhagat oleh penjajah Inggeris.

Kerencaman seperti ini membuatkan pengalaman memahami tokoh berkenaan menjadi lebih menarik dan kita tidak hanya diberikan perspektif yang menjulang semata-mata.

Seseorang tokoh apabila difilemkan harus disambut dengan kepelbagaian sisi pandang seperti ini dan ia sekali gus mampu membuka kritikan lebih baik dalam kita mendekatkan diri dengan sejarah dan menggunakannya untuk melihat dunia dengan lebih positif.

Sehubungan itu, kita mengharapkan kedua-dua filem ini nanti memaparkan sebuah gaya pembikinan yang kritikal dan berkualiti tinggi serta mampu memaparkan kebenaran dan kejujuran, bukan sekadar menjulang dan memuji.

Kita percaya pada era Malaysia baharu ini, pembikinan filem dengan tujuan bodek sudah wajar terhapus dengan sendiri. – 12 Oktober, 2019.

* Daniyal Kadir ialah penulis buku Membedah P.Ramlee, Ahli Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur dan Anggota Sidang Komuniti Filem Titiwangsa.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen