Benarkah tiada perubahan di bawah Pakatan? (Bahagian 3)


Noor Amin Ahmad

[Klik untuk Bahagian 1  dan Bahagian 2]

BELANJAWAN 2019 memakai tema Malaysia Wibawa, Ekonomi Dinamik, Rakyat Sejahtera. Ia adalah belanjawan pertama yang dibentang oleh kerajaan yang ditadbir oleh Pakatan Harapan (PH).

Sebagaimana ditulis sebelum ini, rancangan kerajaan untuk dua tahun pertama akan terikat dengan Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11) yang dirancang oleh Barisan Nasional (BN).

Itu bagaimanapun tidak menghalang kerajaan untuk melakukan beberapa pembaharuan di mana boleh. 

Antara pendekatan baru Belanjawan 2019 ialah “zero based budgeting” atau belanjawan bermula sifar. Saya masih ingat semasa perbahasan tahun lalu, Khairy Jamaluddin yang mengetuai perbahasan bagi pihak pembangkang BN juga memuji pendekatan ini yang disifatkan lebih cekap. 

Apakah maksud pendekatan belanjawan bermula sifar ini? Sebelum ini, perancangan belanjawan kerajaan ditentukan oleh unjuran pertumbuhan pada tahun berikutnya. 

Pendekatan lama 

Sebagai contoh, sekiranya pada tahun berikutnya kerajaan menjangkakan pertumbuhan ekonomi akan berlaku sebanyak 5%, maka tambahan belanjawan untuk setiap kementerian akan dibuat sekitar 5%.

Tidak semestinya semua kementerian akan mendapat jumlah tambahan belanjawan yang sama. Ada kementerian mungkin diberi tambahan lebih, dan ada yang kurang. Namun secara kasarnya tambahan keseluruhan adalah sekitar 5%. 

Seterusnya, ia juga mengambil kira pendekatan fiskal kerajaan, sama ada kerajaan mahu mengamalkan dasar mengembang (expansionary) atau menguncup (contractionary). 

Semasa pentadbiran Najib Razak dari 2009 ke 2018 (iaitu kira-kira sembilan tahun), umumnya dasar fiskal mengembang dilaksanakan. Hutang kerajaan persekutuan meningkat dari kira-kira RM306 bilion (akhir 2008) kepada RM725 bilion (Jun 2019), iaitu RM319 bilion, lebih sekali ganda.

Nisbah hutang ini berbanding KDNK pula mencecah sekitar 20%. Bayangkan, sejak merdeka sehingga akhir perhidmatan Abdullah Ahmad Badawi, hutang kerajaan persekutuan adalah kira-kira 32%, di zaman Najib hutang kerajaan ditambah lagi 20% hanya dalam tempoh sembilan tahun.

Ini tentulah agak mengejutkan kerana semasa kita belum lupa Idris Jala pernah menyatakan negara akan bankrap pada 2019 sekiranya kita mengamalkan belanjawan seperti ini. 

Ini adalah jumlah hutang kerajaan mengikut asas tunai. Ia bukanlah jumlah keseluruhan hutang sebagaimana yang diumumkan oleh kerajaan mengikut asas akruan di mana jumlah hutang dan liability disekalikan – iaitu kini mencecah lebih RM1 trillion atau 79.3% KDNK. Saya akan membincangkan hal ini dalam tulisan lain. 

Dalam beberapa tahun terakhir pentadbiran BN, meskipun dasar mengembang dipakai, kerajaan mula mengamalkan konsolidasi fiskal, atau secara mudahnya langkah berjimat. 

Pendekatan baru

Belanjawan bermula sifar umumnya bermaksud belanjawan tahunan dianggap bermula dari sifar dan perlu dirunding secara tahunan. Ia tidak lagi mengamalkan tambahan atau pengurangan berbanding belanjawan sebelumnya.

Ini khususnya bagi mengelak adanya lebihan peruntukan yang dihabiskan semata-mata kerana ada lebihan, bukan kerana ada keperluan sebenar untuk membelanjakannya.

Jika merujuk kepada perbandingan belanjawan 2018 dan 2019, kita patut sedar bahawa belanjawan untuk tujuan subsidi dan bantuan sosial sebenarnya lebih besar, iaitu dari kira-kira RM26.6 bilion kepada RM37.4 bilion. 

Apabila langkah pemutihan dilaksanakan dan pendekatan bersasar ditingkatkan, kita mendengar ada aduan daripada pihak tertentu yang merungut kerana mereka tidak lagi menerima bantuan kerajaan, atau menerima kurang daripada sebelumnya. 

Aduan ini tidak semestinya salah, tetapi satu siasatan lanjut perlu dibuat untuk pengesahan. Pada masa yang sama kita mesti mengakui bahawa langkah pemutihan dan pendekatan bersasar ini penting untuk memastikan bantuan kerajaan sampai kepada mereka yang layak. 

Dalam pendekatan baru pemberian bantuan tunai, perkiraan bukanlah secara umum, tetapi mengambil kira tangga gaji dan jumlah isi rumah (bilangan anak terhad sehingga empat orang, kecuali OKU. 

Sebagai contoh, isi rumah berpendapatan RM2,000 ke bawah layak menerima Bantuan Sara Hidup sebanyak RM1,000. Sekiranya mempunyai empat orang anak, maka jumlah bantuan yang akan diterima ialah RM1,480, iaitu tambahan RM120 bagi setiap orang anak. 

Sebahagian daripada dana bantuan ini dialih kepada dasar dan program baru misalnya kenaikan gaji minima, peduli kesihatan (PeKa) dan MySalam, rebat elektrik RM40 setiap bulan, i-Suri untuk suri rumah dan sebagainya.

Kerajaan juga membuat keputusan bagi menstabilkan harga runcit petrol dengan menetapkan had paras harga runcit produk petroleum RON95 dan diesel. 

Kerajaan juga komited membuat bayaran balik GST dan cukai pendapatan yang gagal dibayar semula pada waktunya oleh pentadbiran BN sebelum ini iaitu masing-masing RM19 bilion dan RM18 bilion.

Peningkatan perbelanjaan pendidikan dan kesihatan masing-masing 2.6% dan 3.7% jelas menunjukkan keutamaan kerajaan bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Sehingga akhir t2018 juga, kerajaan mengurangkan tahap hutang dan liabiliti dari 79.3% kepada 75.4%. – 8 Oktober, 2019.

* Noor Amin Ahmad ialah ahli Parlimen Kangar. Baru-baru ini beliau dilantik menganggotai Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai Belanjawan. Beliau juga telah dipilih menjadi ahli jawatankuasa pemandu jaringan ahli Parlimen muda Bank Dunia.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen