Ahli akademik beri amaran campur tangan kerajaan di universiti awam


Mustafa K. Anuar

Mereka bimbang penglibatan empat universiti awam dalam Kongres Maruah Melayu semalam menunjukkan ruang akademik akan terus menjadi alat propaganda politik. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 7 Oktober, 2019.

AHLI akademik bimbang penglibatan empat universiti awam dalam Kongres Maruah Melayu menunjukkan ruang akademik kekal menjadi alat propaganda politik.

Campur tangan kerajaan di universiti, kata mereka, adalah kebiasaan lama yang menjadi amalan pemerintahan Barisan Nasional.

Universiti tidak boleh menjadi alat propaganda kerajaan, terutama sekali perkara yang bertentangan dan sempit seperti “maruah Melayu”, kata Haris Zuan yang merupakan seorang penyelidik di Institut Pengajian Malaysia dan Antarabangsa Universiti Kebangsaan Malaysia.

“Walaupun universiti mempunyai hak untuk melaksanakan program mereka sendiri, mereka harus lebih intelektual dan tidak disogok dengan emosi dengan mengambil tema itu,” kata Haris kepada The Malaysian Insight.

“Sudah lama universiti digunakan sebagai alat untuk memberikan legitimasi politik kepada propaganda kerajaan. Malangnya, perkara yang sama berlaku dalam kerajaan baru.

“Mungkin ini adalah manifestasi kegagalan kerajaan untuk menentang kebangkitan etnik-nasionalis Melayu sehingga ia harus menggunakan universiti untuk mempromosikan tema yang serupa di bawah nama kongres akademik.”

Haris menambah bahawa menganjurkan program ini hanya akan mengesahkan naratif etnik-nasionalis Melayu bahawa orang Melayu berada dalam ancaman, yang menimbulkan persoalan tentang siapa yang mengancam orang Melayu ini.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad adalah penceramah utama dalam acara tersebut di mana beliau memberi jaminan kepada pemimpin pelajar Melayu Putrajaya akan mempertimbangkan resolusi yang diserahkan kepadanya yang mengandungi agenda memperkasa ekonomi, politik, pendidikan, agama dan budaya.

Dr Mahathir juga mempertahankan keputusannya untuk menerima undangan kongres itu selepas pengkritik membantahnya dengan mengatakan perdana menteri harus mewakili semua rakyat Malaysia, bukan hanya satu kaum.

Sementara itu, seorang lagi ahli akademik, Dr Azmil Tayeb dari Universiti Sains Malaysia, berkata universiti awam tidak sepatutnya membenarkan diri mereka digunakan ahli politik yang tidak bertanggungjawab dan tidak menggembirakan ahli politik dengan menganjurkan acara sedemikian.

“Ini kembali seperti zaman BN apabila amalan sedemikian menjadi kebiasaan. Walau bagaimanapun, adalah baik bagi organisasi pelajar terlibat dalam acara tersebut kerana hak mereka untuk menjalankannya demi kebebasan bersuara dan berpersatuan.

“(Namun) peraturan yang sama tidak terkait dengan universiti secara keseluruhan kerana universiti mempunyai misi dan tanggungjawab yang melangkaui agenda perkauman sempit. Ia perlu memenuhi keperluan pelajar dan kakitangannya, yang mungkin berasal daripada pelbagai latar belakang.”

Penganjuran Kongres Maruah Melayu hanya akan mengesahkan naratif etnik-nasionalis Melayu bahawa orang Melayu berada dalam ancaman, kata ahli akademik. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 7 Oktober, 2019.

Universiti awam, Menurut beliau, tidak ada sebab terlibat dalam politik hak Melayu kerana mereka harus mewakili cita-cita tanggungjawab sosial, perpaduan, keadilan dan inklusif, yang bertentangan dengan semangat eksklusif dalam acara tersebut.

“Saya tidak dapat bayangkan universiti awam di luar negara, seperti universiti saya sendiri, University of Wisconsin, menganjurkan acara Kongres Maruah Kulit Putih. Ia akan menyebabkan kegemparan besar dan universiti akan dihukum dengan sangat keras oleh kerajaan!” Tegasnya.

Akademik Dr Por Heong Hong dari Universiti Sains Malaysia menjelaskan bahawa walaupun universiti-universiti awam dijalankan dengan tahap autonomi tertentu, penyertaan empat universiti dalam acara yang menumpukan satu kaum sahaja “mencerminkan satu episod sejarah panjang campur tangan negara dan kebanggaan rejim etnokratik di universiti-universiti ini.

“Menjalankan acara yang berpusat pada satu kaum sahaja tanpa tujuan akademik yang jelas tidak syak lagi membuang sumber-sumber universiti awam, yang dibiayai oleh wang pembayar cukai.”

Walau bagaimanapun, beliau memberi amaran, bahawa acara itu tidak mencerminkan pandangan ahli akademik yang bekerja di universiti-universiti tersebut.

Prof Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia berpendapat bahawa sebuah universiti awam boleh memilih untuk membedah dan membincangkan apa-apa topik, dan oleh itu ia boleh membuat keputusan untuk menganjurkan Kongres Maruah Melayu, tetapi dengan syarat kepimpinan universiti itu “Cukup terbuka pada masa akan datang untuk melibatkan diri dalam wacana intelektual mengenai martabat masyarakat bukan Melayu dan Orang Asli juga”.

“Apa yang membimbangkan Kongres ini, adalah cetusan politiknya yang jelas, menjadi kenderaan untuk menaikkan imej Bersatu sebagai pertahanan sah bagi kepentingan Melayu.

“Apa lagi dengan pengecualian Anwar Ibrahim daripada senarai jemputan, menjelang tahun kedua Dr Mahathir sebagai perdana menteri menghampiri penamatnya, di samping menteri pendidikan yang merupakan ahli parti Dr Mahathir,” katanya kepada The Malaysian Insight

“Bersatu nampaknya tidak bersedia menerima hakikat bahawa nasibnya mungkin akan memudar dalam Malaysia yang dipimpin Anwar.

“Menggunakan institusi pengajian tinggi sebagai alat politik untuk mempromosikan imej parti kecil dalam gabungan pemerintah, dengan pengecualian dari rakan-rakan gabungan lain, tidak baik untuk masa depan perpaduan Pakatan Harapan sebagai pemerintah yang bertanggungjawab,” jelasnya lagi. – 7 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen