SPRM tahan menantu Hamid Apdal


Jason Santos

MENANTU lelaki Hamid Apdal ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malsyai (SPRM) berkaitan penyelewengan dana awam untuk projek luar bandar Sabah berjumlah RM1.5 bilion.

Ahli perniagaan berusia 33 tahun itu adalah orang kelapan ditahan SPRM dalam siasatan yang masih berjalan itu.

Hamid adalah adik kepada Presiden Parti Warisan Sabah, Shafie Apdal. Dia ditahan pada 11 Oktober lalu.

Menurut sumber, penahanan itu berlaku sekitar 5.15 petang tadi.

Ahli perniagaan itu ditahan bagi membantu siasatan SPRM berkaita penyelewengan berjumlah RM1.5 bilion dana awam yang diperuntukkan untuk projek pembangunan air, elektrik dan jalan raya di luar bandar Sabah.

Wang itu adalah sebahagian daripada peruntukan sebanyak RM7.5 bilion kepada negeri itu pada 2009 hingga 2015 menerusi Kementerian Pembangunan Wilayah dan Luar Bandar.

Shafie yang merupakan menteri bertanggungjawab ketika itu mendakwa siasatan Putrajaya itu adalah pendakwaan terpilih.

Beliau menafikan dakwaan wujudnya korupsi dan salah guna kuasa ketika berada dalam kerajaan.

SPRM sudah membekukan sejumlah RM180 juta dalam 10 akaun bank dan menyiasat 70 projek berkaitan skandal itu.

Mereka yang lain masih ditahan ialah Naib Presiden Warisan Peter Anthony, Ketua Pemuda Warisan Azis Jamman, ahli perniagaan Yu Sin Kong, seorang kakitangan awam dengan Kementerian Pembangunan Wilayah dan Luar Bandar, Ketua Pemuda Tenom Jamawi Jaafar dan Ketua Pemuda Tawau Ariffin Kassim.

Anthony dirawat di hospital selama tiga hari dalam tempoh tahanan remannya selama lapan hari sebelum dibebaskan dengan jaminan SPRM pada 13 Oktober. – 14 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen