Pemimpin Pakatan lantang seru rakyat berani jatuhkan BN


Barisan pimpinan Pakatan Harapan pada himpunan 'Sayangi Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi' di Padang Timur, Petaling Jaya, malam ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 14 Oktober, 2017.

PERHIMPUNAN “Sayangi Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi” anjuran Pakatan Harapan (PH) bersedia dilancarkan di bawah matahari terik di Padang Timur, Petaling Jaya, Selangor.

Suasananya tidak ubah seperti karnival ketika orang ramai memasuki padang dengan disambut bendera parti-parti PH, yang berkibar sepanjang Persiaran Barat.

Ramai yang mengeluarkan tikar dan menghamparkannya di padang, menunggu acara seterusnya dimulakan. Program seperti konsert dan pidato sudah disusun yang akan bermula dari jam 4 petang hingga 11 malam.

Polis sebelum ini menasihati penganjur perhimpunan untuk memindahkan acara itu ke stadium Kelana Jaya kerana meramalkan orang ramai akan mengganggu aliran lalu lintas di kawasan itu.

Mereka juga memberi amaran kepada penganjur yang tindakan akan diambil di bawah Akta Perhimpunan Aman jika mereka terus mengadakan perhimpunan di Padang Timur.

Bagaimanapun, para peniaga sudah mendirikan 10 khemah di padang yang menjual pelbagai barangan cenderamata parti seperti baju-t, topi dan bendera.

Pentas besar juga didirikan di tengah padang, yang menjadi tempat para pemimpin PH berucap kepada semua penyokong yang hadir pada petang nanti.

Beberapa lori makanan dilihat berbaris di sepanjang padang. Polis dan pegawai penguatkuasa Majlis Perbandaran Petaling Jaya sedang bersedia untuk mengawal lalu lintas.

Perhimpunan hari ini menandakan berakhirnya jelajah tiga bulan di seluruh negara yang menyaksikan para pemimpin PH menjelaskan kepada penduduk kampung danbandar bagaimana dana dicuri daripada firma pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk membeli aset mewah, seperti hartanah, lukisan dan barang kemas.

The Malaysian Insight akan menyediakan liputan langsung sepanjang acara hari ini:

11:40PM: Keadaan menjadi lengang dengan pemimpin dan hadirin meninggalkan padang kecuali pihak media dan beberapa petugas yang sedang membersihkan padang serta kawasan sekitar.

Pegawai MBPJ dan polis turut kelihatan menunggu aktiviti selesai.

Seorang wakil penganjur yang ditemui berkata mereka telah berjaya mengutip semua sampah di padang tanpa bantuan MBPJ.

Pengerusi Pakatan Harapan, Dr Mahathir Mohamad semasa berucap pada himpunan 'Sayangi Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi' di Padang Timur, Petaling Jaya, malam ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 14 Oktober, 2017.

11.10PM: Acara tamat. Khalayak mula bersurai dan pemimpin PH turut beredar.

10.25PM: Dr Mahathir dalam ucapannya berkata PH berikrar akan meletakkan Malaysia dalam 10 teratas negara “terbersih” di dunia menjelang 2030.

“Berbilion ringgit telah hilang akibat Najis Rasuah yang diamal pimpinan utama Umno-BN.

“Skandal-skandal mega yang dibongkar sejak Najib Razak menjadi perdana menteri membuka mata rakyat bahawa Rasuah itu Najis yang mengotori dan menghancurkan badan-badan seperti 1MDB, Mara, Felda, Tabung Haji, KWAP dan Yapeim. Negara boleh bankrap kerana najis rasuah.

“SPRM sekarang melapor terus kepada perdana menteri. Mereka hanya berani menangkap dan mendakwa ‘ikan bilis’ - pegawai-pegawai rendah kerajaan atau pimpinan pertengahan kerajaan. ‘Ikan-ikan jerung’ seperti MO1 yang merasuah masih bebas.

Beliau juga menggariskan lima tindakan yang akan diambil pembangkang dalam tempoh 100 hari sekiranya berjaya merampas kuasa pada PRU14 nanti, iaitu menangkap MO1 dan “ikan-ikan jerung” lain; menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Di-Raja (RCI) terhadap penyelewengan wang rakyat melalui 1MDB dan Felda; menubuhkan sebuah badan bebas yang akan berusaha mengembalikan aset dan wang rakyat yang telah dicuri atau diseleweng melalui rasuah; menjadikan SPRM sebuah badan bebas yang melapor terus kepada Parlimen; dan menghapuskan amalan runding terus untuk semua kontrak kerajaan.

Para peserta membawa pelekat bertulis 'Sayangi Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi' di Padang Timur, Petaling Jaya, hari ini. Penganjur menganggarkan sebanyak 10,000 hadir. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 14 Oktober, 2017.

10.16PM: Mesej video selama empat minit daripada pemimpin politik de facto Anwar Ibrahim dimainkan di skrin besar.

Video itu, yang digelar “Mesej Anwar Dari Penjara”, memaparkan ucapan pemimpin-pemimpin yang dipenjarakan yang menyeru rakyat untuk menjatuhkan kerajaan yang dipimpin oleh Umno.

Hadirin – penganjur menganggarkan sehingga 10,000 orang hadir, angka yang disangkal oleh polis – menerima “boo” apabila imej Najib dipaparkan dalam klip itu.

10.05PM: Presiden PKR, Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata tidak kira apa bangsa seseorang itu, sama ada orang Cina, Melayu, India atau Kadazan, rakyat harus bersatu padu.

“Mengapa dia (Najib) pergi ke Amerika dan membeli Boeing ketika pelajar perubatan kita sendiri tidak cukup untuk makan.

“Kita perlu bersatu untuk menukar kerajaan pada pilihan raya akan datang.”

Presiden PKR, Dr Wan Azizah Wan Ismail menyampaikan ucapan pada himpunan 'Sayangi Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi' di Padang Timur, Petaling Jaya, hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 14 Oktober, 2017.

10.00PM: Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin bimbang dengan keadaan negara akan lebih gelap di bawah pimpinan Najib Razak dan mengajak rakyat menumbangkan kerajaan BN.

“Kes rasuah, skandal seleweng besar Najib sebagai PM. Saya berada dalam kerajaan, saya saksi sendiri rompakan harta rakyat yang dilakukan Najib. Bukti sah kerana saya tidak berbohong.

“Negara berhadapan krisis besar yang tidak pernah berlaku dalam sejarah Malaysia. Dulu kita pernah lalui senang dan susah tapeti tekanan tidak dirasai seperti hari ini.

“Undang-undang dalam negara sepatutnya melindungi hak rakyat. Hari ini, kuasa tiada pada rakyat, kuasa di bawah Najib disalah guna.

“Sebab itu bila ada kes sudah dibawa kepada peguam negara, SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia), satu tindakan pun tidak diambil,” ucap bekas timbalan perdana menteri itu di hadapan ribuan hadirin.

Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin menyampaikan ucapan pada himpunan 'Sayangi Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi' di Padang Timur, Petaling Jaya, hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 14 Oktober, 2017.

9.50PM: Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata jika rakyat Malaysia tidak mahu kehilangan Malaysia di tangan BN maka rakyat perlu menghapuskan kleptokrat itu.

“Mereka adalah kerajaan yang gila dan kita memerlukan perubahan. Kita mahu Malaysia menjadi normal sekali lagi. Kita akan menggantikan BN dengan PH.

“Mari kita bersatu untuk anak-anak kita dan masa depan mereka dan turunkan kerajaan BN.”

9.45PM: Pimpinan tertinggi PH menyambut hari jadi Mat Sabu yang ke-63 tahun di atas pentas, selepas beliau selesai berucap.

Pimpinan tertinggi Pakatan Harapan membuat kejutan menyabut harijadi Mohamad Sabu selepas beliau menyampaikan ucapan pada himpunan 'Sayangi Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi' di Padang Timur, Petaling Jaya, hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 14 Oktober, 2017.

9.40PM: Presiden Amanah, Mohamad Sabu semasa berucap secara sinis berkata pentadbiran kerajaan BN dicemburui Singapura yang diperintah oleh kaum Cina.

“Singapura parti negara Cina cemburu dengan ekonomi Malaysia.

“Bolehkah mereka (penyokong BN) jawab isu (rasuah)? Kalau tidak boleh, sokong PH. Nah! ambil mikrofon!”

9.30pm: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng tiba di atas pentas ketika A Samad Said sedang mendeklamasikan puisinya.

9.25pm: Peguam yang juga aktivis hak asasi terkenal negara, Ambiga Sreenevasan mengatakan kerajaan BN sudah terlalu lama memerintah dan perlu disingkirkan pada pilihan raya akan datang.

“Jika kita ada kerajaan yang jujur kita akan jadi rakyat paling gembira di dunia. Kita tak wajar dilatan sebegini rupa oleh kerajaan yang sudah 60 tahun memerintah.

“Jangan beri mereka penggal seterusnya. Kuasa di tangan rakyat. Jika kita sayangkan Malaysia kita perlu lakukannya pada pilihan raya akan datang.

“Kita perlu bangga dengan negara yang akan kita tinggalkan pada anak-anak kita.”

9.17PM: Aktivis Hishamuddin Rais pula mengajak rakyat untuk tumbangkan kerajaan Najib untuk menyelamatkan negara.

“Kita tiada pilihan jika Najib terus berkuasa negara kita akan tergadai.

“Sebelum pilihan raya kita wajib turun ke jalan raya. Reformasi! Reformasi!” Katanya dalam ucapan dengan laungannya disambut hadirin.

Kita tiada pilihan jika Najib terus berkuasa negara kita akan tergadai, kata aktivis Hishamuddin Rais pada himpunan 'Sayangi Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi' di Padang Timur, Petaling Jaya, hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 14 Oktober, 2017.

9.10PM: Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah berkata rakyat perlu menghentikan orang atasan yang selama ini menyalah gunakan kuasa mereka terutama sekali Perdana Menteri Najib Razak.

“Kita perlu perubahan kerajaan dan terpulang kepada rakyat untuk bangkit dan membebaskan Malaysia daripada tirani ini.

“Satu-satunya cara mereka boleh lakukan ialah melalui pengundian.

“Jangan boikot pilihan raya, kerana jika semua rakyat Malaysia turun mengundi kita boleh ubah kerajaan.”

9.10PM: Presiden PKR, Dr Wan Azizah Wan Ismail tiba di perhimpunan. Beliau seterusnya naik ke pentas utama dan melaungkan “Reformasi!”.

8.55PM: Dr Mahathir Mohamad tiba di tapak perhimpunan.

8.50PM: Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub mahu rakyat bangkit untuk menyingkirkan pemimpin rasuah Najib Razak demi masa depan negara.

“Najib adalah pemimpin yang gila untuk mencuri, merompak duit rakyat Malaysia.

“Kita tidak ada pilihan melainkan memilih pemimpin untuk membina kembali rakyat ini,” katanya dalam ucapan di himpunan malam ini.

8.38PM: Pemimpin Bersih, Maria Chin Abdullah tiba dan diikuti dengan Ketua Penerangan Amanah, Khalid Samad, peguam Ambiga Sreenevasan dan Sasterawan Negara A. Samad Said.

8.30PM: Koordinator pasukan perubatan himpunan ini, Gengta Tan, 37, berkata setakat jam 4 petang tadi, mereka telah merawat lima pesakit kerana strok haba.

“Tiada yang dihantar ke hospital. Kebanyakannya, kita hanya menyejukkan badan dan memeriksa tekanan darah serta tanda vital mereka. Semua keadaan baik. Hanya satu yang agak serius dan kami masukkan beliau ke dalam ambulans untuk berehat dalam penghawa dingin,” katanya.

Gengta yang banyak memberi khidmat kepada himpunan aktivis dan PH turut berkata ramai profesional turut bersedia membantu pasukannya dan setiap mereka berkhidmat secara sukarela.

8.25PM: Muhyiddin Yassin, Mohamad Sabu dan Mukhriz Mahathir dilihat kembali ke tempat perhimpunan.

8.00PM: Acara dimulakan dengan kumpulan persembahan kumpulan rap 5forty2.

6.50PM: Pemimpin PH mula bergerak meninggalkan Padang Timur. Berhenti bagi solat hajat dan Maghrib. Program akan disambung semula selepas 7.30 malam.

Orang ramai menunaikan solat Maghrib di padang semasa himpunan 'Sayangi Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi' di Padang Timur, Petaling Jaya, hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 14 Oktober, 2017.

6.45PM: Naib Presiden Amanah, Mujahid Yusof Rawa berkata PH tidak mempunyai masalah dengan orang Melayu, Cina dan India tetapi mereka mempunyai masalah dengan kleptokrat.

“Kami tidak mempunyai sebarang masalah dengan pemimpin daripada mana-mana kaum tetapi kami menghadapi masalah dengan pemimpin yang korup dan kleptokrat.”

Ketua Wanita Pakatan Harapan, Zuraida Kamaruddin berucap semasa himpunan 'Sayangi Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi' di Padang Timur, Petaling Jaya, hari ini. – Gambar The Malaysian Insight, 14 Oktober, 2017.

6.40PM: Naib Presiden Bersatu, Abdul Rashid Abdul Rahman berkata rakyat perlu menjatuhkan kerajaan semasa.

“Hak rakyat dirompak, dicuri, semua yang dikatakan oleh rakan-rakan saya semasa ceramah di seluruh negara adalah betul,” katanya.

Beliau berkata sentiasa memantau aktiviti kerajaan dan tidak membenarkan mereka mengatur pilihan raya.

“Selagi saya berada dalam Bersatu, jangan risau. Saya akan mengerahkan jentera untuk memantau persediaan untuk pilihan raya.”

6.30PM: Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali bergerak meninggalkan perhimpunan.

6.20PM: Ketua Wanita PH, Zuraida Kamaruddin berkata, “Kenapa kita di sini? Kita hendak selamatkan Malaysia. Kita wanita dengan Amanah, Bersatu, PKR dan DAP akan bersama menumpaskan kerajaan Barisan Nasional.”

Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali meninggalkan perhimpunan 'Sayangi Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi' di Padang Timur, Petaling Jaya, hari ini sekitar jam 6.30 petang. – Gambar The Malaysian Insight, 14 Oktober, 2017.

6.15PM: Timbalan Ketua Wanita Pakatan Harapan, Dr Mariah Mahmud menyatakan perlunya mengukuhkan sokongan rakyat dengan memberitahu perubahan yang akan dibawa kepada rakyat.

Firdaus, 28, dari Negeri Sembilan mengakui datang ke himpunan untuk memberi sokongan kepada pemimpin Pakatan Harapan dan menolak kepimpinan Najib atas kezaliman yang dilakukan terhadap negara dan rakyat. – Gambar The Malaysian Insight, 14 Oktober 2017.

6.15PM: Muhyiddin Yassin bergerak meninggalkan perhimpunan.

Timbalan Ketua Wanita PH, Rina Harun bercakap mengenai kos barangan yang semakin mahal sehingga menyebabkan rakyat menderita.

“Kita tertindas. Semua harga barang naik. Setakat satu hari nak jualan murah, boleh selesai masalah rakyat? Apa ketua Wanita Umno buat?” Soalnya.

6.05PM: Timbalan Ketua Wanita PH, Chong Eng mengajak kaum wanita bersatu menyokong PH yang memperjuangkan dasar wanita.

“Kita mesti ada ramai wanita dalam Kabinet. Kita boleh berjaya. Wanita perlu balik dan sebarkan untuk mendapatkan sokongan bagi mengundi PH. Pakatan menyokong dasar wanita.”

6.01PM: Timbalan Presiden Bersatu Mukhriz Mahathir tiba di Padang Timur.

6.00PM: Dr Mahathir Mohamad meninggalkan tapak perhimpunan dan dilihat Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali hadir.

Sementara itu, ratusan orang masih berada di Amcorp Mall, menunggu acara yang bakal berlangsung malam ini.

5.53PM: Seorang peserta himpunan tiba-tiba pengsan semasa mendengar ucapan yang berlangsung di pentas utama. Dia diberi rawatan dengan segera oleh pasukan perubatan.

Petugas kecemasan sedang memberikan rawatan kepada peserta yang tiba-tiba pengsan di himpunan 'Sayangi Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi' di Padang Timur, Petaling Jaya, hari ini. – Gambar The Malaysian Insight, 14 Oktober, 2017.

5.35PM: Presiden Amanah, Mohamad Sabu meminta orang ramai dan penyokong PH menderma untuk menampung kos perhimpunan hari ini.

“Ia menelan belanja ribuan ringgit untuk menganjurkan perhimpunan ini.

“Kami akan mengadakan tiga pusingan bagi kutipan sepanjang acara berlangsung.

“Tolong menderma bagi membantu kami menanggung kos.”

5.30PM: Sekretariat Bersih 2.0, Mandeep Singh dalam ucapannya berkata, rakyat tidak akan dapat menghukum Barisan Nasional pada pilihan raya akan datang jika mereka tidak mendaftar sebagai pengundi.

“Masih ada 3.7 juta orang yang belum mendaftar sebagai pengundi.

“Tiada gunanya kita terus mengadakan demonstrasi jika kita tidak mendaftar sebagai pengundi dan menukar kerajaan.”

5.25PM: Muhyiddin Yassin menandatangani kain rentang Pakatan Harapan.

Dr Mahathir Mohamad dan Mohamad Sabu menyaksikan persembahan tarian singa di perimpunan 'Sayangi Malaysia, Hapus Kleptokrasi' yang diadakan di Padang Timur, Petaling Jaya, hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 14 Oktober, 2017.

5.15PM: Persembahan tarian singa di pentas menarik perhatian orang ramai yang hadir.

5.05PM: Kira-kira 3,000 orang hadir pada perhimpunan ini.

5.00PM: Ketua Pemuda DAP, Wong Kah Woh, dalam ucapannya berkata larangan polis terhadap program yang diadakan di Padang Timur disebabkan “tekanan daripada Barisan Nasional”.

“Tetapi hari ini, kita akan tunjukkan kepada mereka yang kita boleh berhimpun secara aman.”

4.50PM: The Malaysian Insight diberitahu yang seramai 40 orang dari Kulai, Johor, menyewa bas untuk pergi ke Petaling Jaya, dengan setiap orang membayar RM35 bagi perjalanan pergi balik.

4.43PM: Hanif, seorang anggota Bersatu dari Merbok, Kedah, berkata sebuah bas disediakan untuk membawa penyokong ke perhimpunan tersebut.

Katanya, bas bertolak dari Merbok pada jam 8.30 pagi, dan para penyokong akan menunggu sehingga acara berakhir.

4.27PM: Hadirin menyanyikan lagu Negaraku bersama pemimpin PH Dr Mahathir Mohamad, Mohamad Sabu dan Tony Pua yang berada di atas pentas.

4.10 PM: Pembantu kepada pemimpin Baju Merah, Jamal Md Yunos mengesahkan kepada The Malaysian Insight bahawa ketua Umno Sungai Besar itu masih berada di rumahnya di Ampang.

“Tidak dapat disahkan lagi sama ada beliau datang atau tidak.”

Seorang lagi pembantunya, Durrany Izam, yang dilihat berada berhampiran sebuah restoran, juga mengatakan perkara yang sama. 

“Tak dapat disahkan lagi,” katanya kepada pemberita yang bertanya tentang Jamal, sebelum meninggalkan restoran terbabit bersama beberapa lagi pengikutnya beberapa minit kemudian. – 14 Oktober, 2017.

Deretan bendera yang mewakili parti-parti dalam Pakatan Harapan berkibar megah di sepanjang jalan menuju ke lokasi perhimpunan 'Sayangi Malaysia, Hapus Kleptokrasi' yang diadakan di Padang Timur, Petaling Jaya, hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 14 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen