Formula baharu kerjasama politik Malaysia


Haris Zuan

DI Malaysia tidak ada parti tunggal yang mewakili satu segmen pengundi sahaja – atau mengabaikan mana-mana segmen pengundi – mampu mendapat mandat rakyat untuk memerintah.

Mahu tidak mahu, dikotomi segmen yang paling berpengaruh hingga kini ialah etnik meskipun kelas sosial dikatakan semakin signifikan namun masih tidak dapat menandingi dikotomi etnik ini.

Tambahan pula parti politik kita – sama ada mereka mengaku ataupun tidak – masih membahagikan diri mereka mengikut garis etnik ini. Justeru, mana-mana parti harus membentuk gabungan bagi mendapatkan majoriti undi daripada segmen-segmen pengundi yang berbeza ini.

Antara resepi kejayaan Umno-Barisan Nasional (BN) mengekalkan kuasa untuk tempoh yang agak lama – sehingga melayakkannya menjadi parti pemerintah paling panjang di dunia terpilih melalui demokrasi pilihan raya – ialah kemampuannya mengakomodasi kuasa dalam kalangan parti politik yang mewakili etnik berbeza di negara ini, kata beberapa pakar politik demokrasi dan pilihan raya. Mekanisme perkongsian ini sering dirujuk sebagai consociationalism atau politik permuafakatan.

Model muafakat Umno-BN

Model Umno-BN ini secara mudahnya adalah suatu permuafakatan bersama dengan sebuah parti politik Melayu dominan di mana semua keputusan dibuat secara kesepakatan bersama (consensus).

Model ini berjaya membawa kestabilan kepada politik Malaysia meskipun di sana-sini ada yang tidak bersetuju tentang itu dan ini, namun segalanya diselesaikan melalui perbincangan di peringkat elit politik.

Ya, konsep ini banyak dikritik sebagai tidak demokratik dan elitis. Namun, oleh kerana efektifnya model ini, Pakatan Harapan (PH) juga sehingga kini masih bergelut untuk mencari model mereka sendiri dan keluar daripada bayang-bayang consociationalism Umno-BN.

Malah, pergelutan itu, yang seharusnya dirayakan atas semangat demokrasi, sesekali dibuat dengan tergopoh-gapah dan sembrono sehingga dikatakan seolah menggugat sifat dominan parti politik Melayu dalam gabungan parti pemerintah lalu dengan mudah dimanipulasi sebagai ‘tindakan DAP naik junjung’.

Maka, adalah menarik untuk melihat apakah Umno dan PAS melalui kerjasama Penyatuan Ummah ini akan membina suatu model baharu yang bakal diterima baik oleh rakyat Malaysia – meskipun bukanlah sempurna.

Umno selama ini – khasnya pada era presidennya yang kelima – pada tahap tertentu berjaya membuatkan sebahagian besar rakyat percaya model consociationalism ini sebagai model yang menawarkan bukan sahaja kestabilan tetapi juga kesederhanaan dalam berpolitik.

Umno-BN ketika itu berjaya menggunakan model consociationalism mereka untuk memperlihatkan betapa gabungan pembangkang bersifat ekstrem dan tidak mampu melakukan perkongsian kuasa dengan baik.

Benar, kejayaan Umno-BN ketika itu bukan hanya atas kekuatan model consociationalism mereka semata-mata tetapi juga disokong oleh mekanisme kerajaan yang kuat dan ruang demokrasi yang terbatas – media massa dikawal dan media sosial belum benar-benar wujud sebagaimana kini.

Model Pakatan Harapan lawan model Umno-PAS

Oleh yang demikian, sia-sia bagi PH untuk secara berterusan tanpa lelah mengingatkan Umno dan PAS (atau mengingatkan diri mereka sendiri?) bahawa mereka tidak akan dapat menguasai Malaysia dengan hanya mengumpulkan sokongan daripada satu segmen pengundi semata-mata. Mereka terlebih maklum.

Pastinya Umno dan PAS sedar akan kelebihan model consociationalism Umno-BN sebelum ini dan akan memikirkan konfigurasi politik yang baharu bagi menyesuaikan diri mereka dengan realitik politik kini.

Jika mereka gagal, itulah risiko yang harus mereka tanggung. Apa perlunya PH yang khuatirkan hidup mati Umno dan PAS?

Jawapan yang sering diberikan ialah khuatirnya peningkatan politik perkauman di negara ini dengan penggabungan dua parti politik Melayu terbesar ini. Meskipun kekhuatiran ini punya asasnya yang tersendiri namun kita juga jangan terlalu terkejut beruk seolah-olah ini merupakan hal yang tidak pernah terjadi dalam sejarah politik Malaysia.

Bukankah politik Malaysia ini memang bersifat perkauman? Parti komponen dalam PH juga memanfaatkan kesedaran etnik dalam kalangan penyokong mereka. Lebih daripada itu, bukan sahaja parti politik, malah dasar kerajaan juga sentiasa memiliki dimensi etnik yang jelas.

Malah, tindakan mengkritik yang sering juga membawa kepada perlecehan ini boleh sahaja dengan senang dilihat oleh para penyokong atau simpatisan Umno dan PAS sebagai penghinaan terhadap hasrat ‘penyatuan orang Melayu’ yang menyebabkan defisit sokongan Melayu terhadap PH semakin melebar. Mudahnya jangan overkill.

Barangkali strategi yang boleh digunakan oleh PH bukanlah berterusan mengkritik gabungan Umno dan PAS – meskipun mudah untuk kita faham mengapa pemimpin PH khasnya daripada Amanah paling geram untuk memulangkan kembali paku buah keras.

Sebaliknya, PH mungkin boleh membina konfigurasi model perkongsian kuasa yang lebih konkrit dan, jika mampu, keluar terus daripada model consociationalism Umno-BN.

Jika diperhatikan, kebanyakan isu yang melingkari PH kini, selain kegagalan komunikasi yang teruk, ialah ia tidak memiliki mekanisme perkongsian kuasa yang jelas. Sementara PH lambat belajar menjadi parti pemerintah, Umno lekas-lekas menyesuaikan diri sebagai parti pembangkang dan PAS kekal istiqamah sebagai secondary (atau penyokong PAS sebut sebagai king maker) dalam gabungan pembangkang.

Komposisi kerusi antara parti dalam PH pasti menjadi isu yang melelahkan jika formula yang ia guna masih model lama Umno-BN.

Justeru, PH harus memanfaatkan masa yang ada untuk membina formula terdiri dan bukannya merisaukan parti lama masing-masing. Hal ini jika mampu dilakukan pastinya akan mengembalikan keyakinan rakyat terhadap parti pemerintah yang mampu menawarkan kestabilan dan kesederhanaan – dua nilai yang kadang-kala sukar ditemukan dalam gabungan kini. – 16 September, 2019.

* Felo Penyelidik di Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (Ikmas), Universiti Kebangsaan Malaysia dengan minat kajian dalam bidang identiti politik dan politik identiti. Beliau bercita-cita mahu dikenali sebagai penulis.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen