Jerebu bukan budaya hidup kita


Mustafa K. Anuar

Keadaan berjerebu yang dialami negara ketika ini mencetuskan kebimbangan akan kesan jangka panjangnya selepas ia datang berulang-ulang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 September, 2019.

JEREBU rentas sempadan sekali lagi datang bertandang ke Malaysia, menyebarkan udara tercemar yang menjejaskan kesihatan, alam sekitar dan kehidupan sehari-hari.

Di tempat yang indeks pencemaran udara (IPU) melonjak ke paras bahaya seperti Sarawak dan beberapa bahagian di Semenanjung Malaysia, jerebu mencekik dan melumpuhkan kanak-kanak, orang tua dan mereka yang ada masalah pernafasan.

Ini belum masuk lagi hakikat bahawa banyak sekolah, tadika dan pusat penjagaan yang terpaksa tutup, perniagaan yang terbantut, nelayan yang tidak dapat turun ke laut, serta waktu yang rugi kerana pekerja sakit dan masuk hospital.

Bagi banyak rakyat Malaysia, apa yang berlaku sekarang adalah episod ulangan pengalaman buruk sejak 1997. Itu sebabnya kesabaran mereka menipis ketika jerebu semakin tebal. Ini bukan masanya untuk rasa ceria.

Tambahan pula, keadaan berjerebu ini mencetuskan kebimbangan akan kesan jangka panjangnya selepas ia datang berulang-ulang.

Dengan latar belakang ini, rakyat biasa boleh mengharapkan, bukannya menuntut, satu penyelesaian tuntas kepada masalah alam sekitar ini terutamanya daripada pihak berkuasa yang berkenaan.

Sudah, sudahlah.

Perjanjian mengenai jerebu rentas sempadan yang dimeterai oleh Asean pada 2002 sepatutnya membantu menyediakan kaedah yang tegas dan berkesan untuk mencegah dan mengawal jerebu di rantau ini.

Mesti ada keazaman politik dalam kalangan kerajaan serantau yang terlibat untuk menguatkuasakan undang-undang bagi menghukum tindakan berterusan membakar ladang untuk pertanian oleh petani kecil dan lebih serius lagi oleh syarikat besar.

Kementerian Pendidikan dalam pekelilingnya memaklumkan mana-mana sekolah di kawasan dengan bacaan IPU melebihi 200 akan ditutup. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 September, 2019.

Malah, laporan menyebut bahawa syarikat kepala sawit gergasi serta kilang kertas punca hutan ditarah dan pembakaran hutan di Indonesia.

Kaedah penghasilan seperti ini menjejaskan alam sekitar serta menyumbang kepada perubahan iklim yang diperakui oleh banyak negara sebagai memberikan kesan buruk kepada bumi.

Tiada gunanya bagi kerajaan, dalam hal ini Indonesia dan Malaysia, untuk bertelagah mencari salah kerana pada akhirnya ia langsung tidak menguntungkan rakyat jelata. Pihak yang berkenaan mesti bertanggungjawab.

Laporan yang bercanggah mengenai beberapa anak syarikat milik syarikat kelapa sawit Malaysia terlibat dalam pembakaran hutan di Indonesia juga kurang menyenangkan di telinga. Sekurang-kurangnya sebuah syarikat dikaitkan dengan kerajaan Malaysia.

Imej Malaysia, terutamanya industri kelapa sawit, akan tercemar sekiranya terbukti syarikat ini terlibat.

Biar apapun keadaannya, kerajaan Malaysia perlu memberikan komitmen tegas untuk mengambil tindakan terhadap syarikat tempatan yang didapati terlibat.

Kerajaan Asean yang berkenaan juga diharapkan dapat menggembleng sumber daya untuk mengatasi masalah rentas sempadan bersama ini, dengan cara yang paling berkesan dan menyeluruh.

Setiap satu kerajaan ini bertanggungjawab pada rakyat masing-masing untuk melindungi kesihatan dan kebajikan mereka dengan memastikan tiada mana-mana syarikat yang mengaut keuntungan atas penderitaan rakyat.

Pada masa sama, kerajaan Malaysia harus memastikan amalan pembakaran terbuka di negara ini, yang disyaki berlaku dalam skala kecil, akan menerima hukuman yang sewajarnya.

Tiada yang lebih mustahak bagi kebanyakan rakyat di negara ini (serta di negara lain di rantau ini) selain melihat jerebu yang memayungi langit sejak awal bulan ini luput segera. – 15 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen