Wakil rakyat Perak mengaku radiasi Bukit Merah kali terakhir diperiksa pada 2017


Noel Achariam Lee Chi Leong

Penduduk Kampung Bukit Merah masih tertanya-tanya keselamatan mereka selepas pencemaran radioaktif berlaku di kawasan itu sejak tiga dekad lalu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 10 September, 2019.

WAKIL rakyat Perak tidak mengetahui tahap radiasi di Kampung Bukit Merah masih berada di tahap berbahaya atau tidak kerana kali terakhir ia diperiksa adalah tiga tahun lalu.

Adun Menglembu Steven Chaw Kam Foon memberitahu The Malaysian Insight bahawa pada 2017, sekumpulan pakar dari Jepun datang memeriksa kawasan itu dan mendapati tahap radiasi masih tinggi.

“Mereka buat ujian di tapak (kilang) dan mendapati tahap (radisasi) masih sangat tinggi.

“Bacaan melebihi tahap selamat. Pakar kemudian mengambil sampel tanah dan bawa pulang ke negara mereka (Jepun) untuk ujian lanjut,” katanya selepas menghadiri festival tanglung di Kampung Bukit Merah pada hujung minggu lalu.

Chaw berkata itulah kali terakhir kawasan itu diuji dan tiada tindakan lanjut diambil sejak itu.

“Untuk kilang pula, kami tidak tahu sama ada pakar lain menjalankan ujian. Kami juga tidak pasti sama ada tahap radiasi sudah selamat atau tidak.”

Kenyataan wakil rakyat itu mengesahkan kebimbangan penduduk tentang tahap keselamatan kampung mereka seperti dilapor The Malaysian Insight.

Kampung itu dicemari pencemaran sisa radioaktif yang berlaku pada 1982, lebih tiga dekad lalu.

Ahli Parlimen Batu Gajah V Sivakumar juga berkata, tiga tahun lalu sebuah kumpulan alam sekitar ada datang dan melakukan kajian, mendapati kilang itu masih beradioaktif. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 10 September, 2019.

Penduduk kampung mendakwa kerajaan negeri tidak memaklumkan mereka sama ada pemeriksaan berkala sudah dilakukan di tapak kilang kimia yang kini sudah tutup itu bagi memastikan kawasan itu selamat diduduki.

Kilang Asia Rare Earth Sdn Bhd (ARE, syarikat milik Mitsubishi Chemicals) yang dipaksa tutup pada 1990-an kerana sisa radioaktif.

Siasatan pada 1984 mendedahkan sisa radioaktif itu berasal dari kilang yang terletak hanya 100 meter dari perkampungan penduduk.

“Kami tak lupa penderitaan penduduk di sini. Kami tidak ambil tindakan (sejak Pakatan Harapan mengambil alih Perak pada PRU14), tetapi kami akan teliti isu ini. Kami bimbangkan (keselamatan) penduduk di sini.

“Kami juga perlukan lebih banyak maklumat daripada kerajaan negeri,” kata Chaw.

Selepas lebih tiga dekad, penduduk Kampung Bukit Merah terus diburu bimbang kesan pencemaran radioaktif di kawasan mereka.  – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 10 September, 2019.

Tambahnya, kerajaan negeri tidak pernah mahu menyembunyikan isu itu dan beliau akan membangkitkannya kepada Exco Pendidikan, Sains, Teknologi dan Alam Sekitar Perak Dr Abdul Aziz Bari.

“Saya akan bawa isu itu kepadanya (Abdul Aziz) secepat mungkin.

“Kami juga akan melawat kawasan itu kerana kami tahu ia membimbangkan rakyat,” katanya.

Ahli Parlimen Batu Gajah V Sivakumar juga berkata, tiga tahun lalu sebuah kumpulan alam sekitar ada datang dan melakukan kajian, mendapati kilang itu masih beradioaktif.

“Kami ditunjukkan bacaan itu dan ia sangat minimum. Kami tak fikir ia akan menyebabkan sebarang masalah. Bukan pada masa sekarang.

“Buat masa sekarang, kami masih tidak menerima sebarang aduan berkaitan kilang itu,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Bagaimanapun, Sivakumar berkata beliau akan menghubungi Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (LPTA) meminta agensi itu menghantar pegawai untuk melakukan pemeriksaan ke atas kilang itu.

“Saya akan hubungi LPTA secepat mungkin. Saya akan minta mereka datang dan periksa kawasan itu.”

Adun Menglembu Steven Chaw Kam Foon memberitahu The Malaysian Insight bahawa pada 2017, sekumpulan pakar dari Jepun datang memeriksa kawasan itu dan mendapati tahap radiasi masih tinggi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 10 September, 2019.

Ditanya bilakah kali terakhir tahap pencemaran radioaktif Bukit Merah diperiksa, Sivakumar berkata tiada pemeriksaan dilakukan.

Bekas Adun Menglembu Lim Pek Har juga mengakui kawasan Bukit Merah tidak diperiksa secara berkala oleh pihak berkuasa.

“Kali terakhir kami tahu adalah tiga tahun lalu apabila sebuah badan bukan kerajaan anti radioaktid datang dan buat bacaan.

“Kami tak periksa (Bukit Merah) sejak sisa dipindahkan ke Bukit Kledang.

“(Tetapi) Sekarang, kerajaan negeri perlu periksa (ujian radiasi di kawasan itu) dan memberitahu penduduk (hasilnya).”

Bekas Adun Menglembu Lim Pek Har juga mengakui kawasan Bukit Merah tidak diperiksa secara berkala oleh pihak berkuasa. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 10 September, 2019.

Katanya, kebimbangan penduduk mungkin timbul kembali kerana isu perlombongan nadir bumi oleh Lynas di Gebeng, di Kuantan, Pahang.

“Saya rasa mereka bimbang tentang sisa radioaktif kerana isu Lynas.”

Penduduk di Gebeng dan Kuantan umumnya membantah operasi Lynas kerana ia mengeluarkan sisa radioaktif. – 10 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen