Selepas 30 tahun, penduduk Bukit Merah masih bimbang kesan radioaktif


Noel Achariam Lee Chi Leong

Papan tanda amaran kawasan bahaya diletakkan di tapak bekas kilang Asian Rare Earth Sdn Bhd yang mencemarkan kawasan itu dengan sisa radioaktif. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 10 September, 2019.

PENDUDUK Kampung Bukit Merah, Perak masih tidak pasti sama ada kawasan itu sudah bebas daripada pencemaran radioaktif yang berlaku lebih 30 tahun lalu.

Mereka mendakwa kerajaan negeri masih tidak memberitahu mereka sama ada pemeriksaan berkala sudah dilakukan di tapak kilang yang sudah dikosongkan itu bagi memastikan ia selamat.

Kehidupan mereka berubah selama-lamanya selepas Asian Rare Earth Sdn Bhd (ARE) memulakan operasinya pada Julai 1982 untuk melombong ytrium, sebuah logam nadir bumi daripada monazit.

Dua tahun selepas kilang yang hanya berjarak 100 meter dari kampung mereka beroperasi, penduduk kampung mengesan kecacatan fizikal pada bayi baharu lahir mereka, dan sekurang-kurangnya lapan kes leukemia dilaporkan.

Siasatan mendapati ia disebabkan sisa radioaktif dari kilang itu.

Perjuangan panjang penduduk kampung dan kumpulan alam sekitar bermula, termasuklah mengheret kes itu ke mahkamah. Walaupun perjuangan berjaya dan kilang sudah dirobohkan, penduduk kampung masih terus diselubungi ketakutan dan kebimbangan tentang tahap keselamatan kawasan itu.

“Kami tak boleh kata sama ada ia selamat atau tidak, sebab kami tak tahu apa-apa selepas ia diserahkan kepada kerajaan negeri.

“Terserah kepada wakil rakyat dan ahli Parlimen untuk periksa,” kata Pengerusi Jawatankuasa Anti Radioaktif Perak Hew Yoon Tat kepada The Malaysian Insight.

Sekurang-kurangnya lapan kes leukemia yang dikesan berlaku kerana pencemaran radioaktif di Bukit Merah dan beberapa kes pencemaran fizikal kanak-kanak berlaku. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 10 September, 2019.

Katanya, Perbadanan Menteri Besar (MB Inc) mengambil alih pemantauan kawasan itu pada 2014.

Selepas lebih tiga dekad, penduduk Bukit Merah masih bimbang kesan pencemaran sisa radioaktif yang berlaku di kampung mereka. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 10 September, 2019.

Hew yang juga penduduk Bukit Merah, berkata beliau sebelum ini terlibat dalam pemantauan perobohan kilang itu.

“Cara mereka tangani perobohan dan tindakan berjaga-jaga yang banyak diambil menunjukkan memang ada yang tidak kena dengan kilang itu.

“Mereka mula dengan menyahjangkit dinding dan bahan-bahan di dalamnya sebelum dirobohkan.

“Pengurus kata mereka melakukan proses itu dengan hati-hati kerana mereka tidak mahu debunya mencemarkan kawasan penduduk.

“Kami bukan pakar, tetapi kami tahu kilang itu berbahaya (kepada penduduk).”

Pusat rawatan sisa radioaktif tetap dibina di Bukit Kledang untuk menangani sisa berbahaya terhasil daripada kilang di Bukit Merah. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 10 September, 2019.

ARE ditubuhkan pada 1979 untuk perlombongan ytrium. Proses itu menghasilkan sisa radioaktif thorium hydroxide, dan monazit dan sisa mengandungi thorium yang jangka separuh hayatnya adalah 13.9 bilion tahun.

Peralatan kilang dan semua binaannya bersama-sama ratusan ribu tan sisa radioaktif dipindahkan sepenuhnya oleh kerajaan negeri ke tapak rawatan selamat di Bukit Kledang pada 2015.

Sisa itu kini dikawal dan diselia oleh Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (LPTA) dan dipantau MB Inc.

ARE ditubuhkan pada 1979 untuk perlombongan ytrium. Proses itu menghasilkan sisa radioaktif thorium hydroxide, dan monazit dan sisa mengandungi thorium yang jangka separuh hayatnya adalah 13.9 bilion tahun. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 10 September, 2019.

Ketua Kampung Bukit Merah Choo Choon Kee, 66, turut meluahkan kebimbangan tentang tahap radioaktif yang masih wujud walaupun kilang itu sudah ditutup lebih tiga dekad lalu.

“Ada penduduk yang meninggal dunia tetapi kami tak pasti sama ada ia berkaitan dengan kilang itu. Semua mungkin nampak baik sahaja di sini, tetapi kami masih tak pasti sekiranya kami sudah bebas sepenuhnya daripada pencemaran.

“Kami tak pasti jika kawasan sudah bebas daripada radiasi, kerana kami tak nampak pihak berkuasa memerika kawasan, mereka juga tak beritahu kami yang kawasan sudah selamat.”

Ketua Kampung Bukit Merah Choo Choon Kee, 66, turut meluahkan kebimbangan tentang tahap radioaktif yang masih wujud walaupun kilang itu sudah ditutup lebih tiga dekad lalu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 10 September, 2019.

Tambahnya, buat masa sekarang terdapat 800 keluarga tinggal di kampung itu.

“Ramai berpindah keluar semasa kejadian. Tetapi, mereka pulang selepas tahun 2000.

“Kami tahu mereka sudah pindahkan sisa radioaktif, tetapi kami tidak tahu tentang kesan jangka panjangnya,” katanya.

Ramai penduduk berpindah dari kawasan itu sejak ia sah dicemari sisa radioaktif lebih tiga dekad lalu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 10 September, 2019.

Penduduk Choo Sew Koon, 66, berkata mereka masih menganggap kawasan kilang itu berbahaya.

“Kami terletak sangat dekat dengan kilang itu. Kami tak rasa selamat sebab kami tak tahu kesan jangka panjang.

“Kami tahu sudah bertahun (sejak kilang ditutup), tetapi kami harap pihak berkuasa boleh datang dan periksa kawasan itu sebab kami tak tahu ia selamat atau tidak.” – 10 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen