Kempen boikot untungkan siapa?


Haris Zuan

PADA awalnya kempen ini bermula sebagai kempen memboikot produk bukan Islam (baca: Cina) dan kemudiannya dengan segera menjadi kempen mengutamakan produk Muslim. 

Maka, tidak aneh kedua-dua mesej ini masih saling lintas-melintas dalam media sosial. Tidak sukar juga untuk mengesan orang yang sama membawa dua mesej yang berbeza bergantung kepada siapa audiens mereka. 

Pertama, kita harus mengiktiraf hak pengguna untuk memilih produk mereka. Mempromosi atau memboikot adalah hak pengguna.

Malahan, budak punk yang kita tuduh sebagai sesat barat itu sesungguhnya lebih istiqamah dalam memboikot McDonald’s berbanding kita. 

Boikot adalah satu tindakan politik yang sah untuk mengirimkan mesej politik.

Soalannya,  apakah mesej politik yang ingin disampaikan dengan kempen anti barangan bukan Muslim alias kempen mengutamakan produk Muslim ini? 

Hal ini kerana jika bukan bertujuan untuk menzahirkan kebencian terhadap bukan Melayu (baca: Cina) kempen ini amat janggal kerana kempen untuk membeli produk Muslim bukanlah baru (seperti kempen halal), malah kempen membeli produk Bumiputera juga bukan asing.

Amat mudah untuk kita lihat di mana-mana papan tanda iklan mahupun label produk yang menyatakan ‘produk keluaran Bumiputera’ atau ‘produk keluaran Muslim’, sebaliknya amat susah untuk kita memikirkan akan ada orang lain yang mahu atau tergamak  meletakkan label ‘produk keluaran bukan Bumiputera’ atau ‘produk keluaran Cina Ipoh’. 

Praktis memboikot barangan tertentu bukanlah baru di Malaysia – apatah lagi di dunia ini.

Dr Mahathir Mohamad sendiri pernah memulakan kempen Buy British Last pada tahun 1980-an dan kemudiannya kempen Belilah Barangan Buatan Malaysia.

Berbangga dengan produk keluaran negara sendiri, bangsa sendiri dan sesama agama sendiri tidak salah selagi tidak menzalimi orang lain. Jadi apa bezanya? 

Beza paling ketara adalah sentimen yang dibawa dalam kempen ini seakan untuk menzahirkan kebencian.

Jika fokus kempen ini untuk memperkukuhkan ekonomi Bumiputera (Melayu dan India Muslim – banyak kempen suruh beli barangan Pasar Raya Mydin) bukankah sewajarnya mewar-warkan kebaikan atau kelebihan produk-produk Muslim ini?

Bukan hanya menyeru pengguna memberi produk atas sentimen kebencian kepada pengeluar produk lain. 

Tapi jika atas dasar menzahirkan kemarahan terhadap etnik/agama lain sekalipun, apa masalahnya? Bukankah ini juga hak sivil pengguna? 

Ya, benar. Tapi kempen sebegini lebih menekankan kepada kebencian politik yang hanya akan merugikan bukan sahaja bukan Islam tetapi orang Islam sendiri kerana sistem ekonomi kita bukanlah semudah yang kita fikirkan – hanya ada dikotomi produk Muslim dan non-Muslim. 

Dalam menghasilkan sesuatu produk atau perkhidmatan susah tentu akan melibatkan interaksi dengan produk dan perkhidmatan lainnya.

Penghasilan kicap, contohnya, adakah kacang soya yang digunakan ditanam oleh orang Islam? Bagaimana pula dengan bajanya? Adakah ia diangkut oleh orang Islam juga? Siapa pula pengimportnya? 

Justeru, apakah akan ada pula produk yang lebih ‘Islam’ berbanding produk lain?

Bagaimana pula jika sebaliknya? Adakah kita terfikir bahawa ada kemungkinan produk yang kita boikot kerana taukenya ‘kafir’ itu memiliki hubungan ekonomi dengan perniagaan orang Islam? Atau setidaknya pekerja Islam? 

Jangan-jangan sikap marah-marah semberono kita itu akan membuatkan kita berlaku zalim pula pada saudara Islam kita yang lain.

Lebih malang lagi, impak ekonomi ini bukanlah kesan paling teruk yang harus kita khuatirkan kerana jika benarlah kita ikhlas memboikot barangan atas nama agama sudah tentu banyak jenama rokok akan gulung tikar kerana Muslim negara ini pasti memboikot produk yang bukan sahaja dimiliki oleh non-Muslim malah telah difatwakan haram juga oleh mufti. 

Akan tetapi, impak terhadap hubungan etnik di negara ini yang lebih menggusarkan kita kerana mesej-mesej yang berhamburan di alam maya kini sangat tidak sihat dan mempromosikan kebencian. Akhirnya apa yang ingin kita capai?

Tidakkah lebih baik jika kita menyokong produk Muslim atas dasar kualiti (bukan kerana sentimen kebencian) dan memastikan produk ini dapat menyaingi produk bukan Islam lalu akhirnya pengguna bukan Islam sendiri menggunakan produk Muslim ini? 

Mudahnya tiada lagi perkiraan kaum atau agama tetapi kualiti serta nilai pada wang kita. Bukankah pendekatan ini lebih baik dalam memberdayakan ekonomi orang Islam sendiri?

Tambahan pula, jika kita bersungguh-sungguh mahu membantu ekonomi orang Islam, mengapa daya usaha kempen serta emosi yang sama tidak kita salurkan dalam membantu meningkatkan literasi kewangan orang Melayu Islam di negara kita ini?

Sedarkah kita bahawa yang menjadi hambatan besar kepada orang Melayu Islam kini adalah budaya konsumeris yang menjerumuskan ramai daripada kalangan kita dalam jerat hutang – bahkan sehingga ramai pula yang muflis. Sekitar separuh dari mereka yang muflis di negara ini ialah orang Melayu Islam.

Hutang isi rumah di Malaysia kini pada kadar 82.1% daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK). Angka ini jauh lebih tinggi daripada negara dengan pendapatan per kapita lebih tinggi, seperti Itali (40.3% daripada KDNK), Jepun (58.1% daripada KDNK) dan Amerika Syarikat (76.3%3 daripada KDNK).

Budaya konsumeris ini jika tidak dikawal – tidak kisah saudara Muslim kita itu membeli di kedai Ah Seng atau Haji Sahak – tetap akan memberi kesan terhadap ekonomi keluarganya.

Apakah hidup dengan belenggu hutang ini menjadikan kita lebih Islamik hanya kerana hutang kita itu atas sebab membeli produk keluaran Muslim?

Barangkali kita harus menarik nafas sebentar dan mula merenungkan dengan akal yang lebih jernih, apakah ada kemungkinan niat suci kita untuk mempromosikan ‘ekonomi Muslim’ ini ditunggangi oleh anasir-anasir politik yang dengan mudah ingin mendapat laba singkat?

Marilah kita manfaatkan kuasa beli umat Islam negara ini untuk membina Malaysia yang lebih baik untuk semua. – 5 September, 2019.

* Felo Penyelidik di Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (Ikmas), Universiti Kebangsaan Malaysia dengan minat kajian dalam bidang identiti politik dan politik identiti. Beliau bercita-cita mahu dikenali sebagai penulis.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen